Halaman

05 September 2013

Penuntut di IPT elak jadi pemusnah kepada bangsa sendiri

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut di Instituti Pengajian Tinggi (IPT) negara diminta menjadi penyebar maklumat kerajaan kepada masyarakat dan bukannya bertindak sebagai pemusnah kepada negara dan bangsa sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, mahasiswa perlu merebut peluang menimba ilmu sepanjang berada di IPT sebagai persiapan diri menghadapi dunia pekerjaan apabila tamat belajar.

“Semasa di IPT beri tumpuan terhadap pelajaran dan jangan sekali-kali melibatkan diri dalam agenda lain yang boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya ketika merasmikan Program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ’13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

 
Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Cempaka /Maras, Encik Khairul Anuar Hashim; Pengarah MIT ’13 Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

 Katanya, peserta MIT tidak harus mensia-siakan peluang bersama penduduk kampung untuk menyelami kehidupan masyarakat serta memahami adat resam yang mungkin tidak terdapat di daerah lain.

“Sebagai orang yang terpelajar, penuntut perlu tahu menilai yang mana kaca dan mana permata serta sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara,” katanya.

Program enam hari yang berakhir Sabtu ini (7 September) disertai 64 orang ( 37 wanita dan 27 lelaki) penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Pelbagai program diatur sepanjang berkampung di kampung berkenaan termasuklah lawatan ke rumah warga emas, sukaneka,  mendaki, motivasi, ruang bicara bersama pemimpin, pengurusan jenazah, kenduri sekampung dan malam kebudayaan.

 

Lata Belatan tetap dikunjungi ramai walaupun dikenakan bayaran.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


PUSAT perkelahan Lata Belatan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi tetap dikunjungi ramai walaupun caj bayaran di kenakan ke atas pengunjung yang datang ke tempat itu sebanyak RM2 untuk dewasa dan RM1 kanak-kanak. 

Tinjauan Teganukita ke pusat itu, baru-baru ini mendapati rata-rata pengunjung tidak merungut dengan bayaran sejak awal tahun itu kerana ia berpatutan sebagai kos untuk menguruskan kawasan itu supaya sentiasa kelihatan bersih dan terpelihara.

Seorang pengunjung Hashim Mat, 40-an berkata, pada mulanya ia menjangkakan jumlah pengunjung ke tempat itu akan berkurangan kerana bayaran yang dikenakan untuk memasuki pusat perkelahan itu dianggap membebankan tetapi ia adalah sebaliknya kerana orang ramai tetap memenuhi Lata Belatan terutama pada Jumaat dan Sabtu.

“Jumlah pengunjung yang datang tidak Nampak berkurang malah adakalanya ia semakin ramai terutamanya pada hari Jumaat dan Sabtu. Caj yang dikenakan itu agak wajar kerana ia tidaklah mahal berbanding kos untuk menjaga selia pusat itu supaya ia kelihatan sentiasa bersih dan cantik,” katanya.

Kemudahan gerai di Lata Belatan.
Balqis Amar, 20, pula menyifatkan sejak bayaran dikenakan, Lata Belatan kelihatan bertambah bersih dan ceria malah pelbagai kemudahan yang ada diselia dengan baik menjadikan tempat itu sebuah pusat itu antara yang tercantik di Terengganu.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata Lata Belatan akan terus dipromosikan supaya pusat perkelahan itu dikenali bukan sahaja penduduk di Terengganu malah akan dikunjungi oleh pelancong luar.

Pemandangan Indah Lata Belatan-(gambar ehsan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.)

04 September 2013

50 kenderaan sertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang


ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan CK Rahman..melepaskan peserta konvoi

Oleh: Mohammad Ishak 

Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu bermula di daerah Besut apabila 50 kenderaan membawa Jalur Gemilang merentasi beberapa kampung sekitar daerah itu hari ini.

Majlis pelancaran program yang diadakan dalam suasana dan mood hari raya yang berlangsung di Kampung Bukit Payong,Hulu Besut, menyaksikan penyertaan penduduk pelbagai peringkat termasuk pelajar dan kanak-kanak tadika di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, diberi penghormatan melakukan upacara pelepasan konvoi kenderaan termasuk 30 motosikal yang ditunggang pemuda.

Sejurus berlepas kenderaan terbabit melalui laluan utama Jertih-Keruak menuju ke Bandar Jertih dan singgah di Dataran Jertih Souq untuk mengagihan jalur gemilang kepada pemilik premis perniagaan di perhentian bas.

Peserta konvoi kemudian menyusuri jalan utama Jertih-Kuala Terengganu dan singgah di Pekan Jabi yang kemudian mengagihkan jalur gemilang kepada penduduk setempat.

ADUN Jabi,Mohd Iskandar Jaafar kemudian menyambut konvoi terbabit di Kampung Anak Ikan, sempadan Besut/Setiu sebelum peserta meneruskan perjalananan ke daerah Setiu.

Peserta kemudian meneruskan konvoi menuju ke Hulu Terengganu. Pada 5 September konvoi bermula di perhentian kereta sewa Kemaman untuk meneruskan perjalanan ke Dungun dan Marang.

Manakala penutup program peserta konvoi akan berlangsung di Tapak Pasar Pagi, Kampung Telok Ketapang,Kuala Terengganu.

20 pelajar UniSZA selami kehidupan masyarakat di Aceh

Oleh; Esah Abdullah 

Seramai 20 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan Program Warga Sihat Masyarakat Sejahtera Meulaboh, Aceh Barat, Indonesia selama seminggu bermula 30 Ogos dan berakhir esok.

Program anjuran Pusat Pembangunan Komuniti dan Kualiti Hidup itu melibatkan pelajar jurusan Perubatan dan Sains Kesihatan itu dalam usaha memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat di Acheh.

Pengarah Program, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, semua pelajar yang terlibat akan ditempatkan dengan keluarga angkat untuk memberi peluang kepada mereka mengenali lebih dekat penduduk di situ.

Katanya, antara program yang akan dilaksanakan di negara jiran itu ialah lawatan ke Rumah Sakit Umum Cut Nyak Dhien Meulaboh dan mengadakan Program Warga Sihat di kampung berkenaan.

 ``Melalaui Program Warga Sihat itu pelagai aktiviti akan dilaksanakan termasuk pemeriksaan kesihatan seperti tekanan daerah, kandungan gula dalam darah, body mass index dan kaunseling pemakananan,'' ujarnya.

Serentak dengan kunjungan itu juga, UniSZA akan turut menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Fakultas Kesihatan Masyarakat, Universiti Teuku Umar, Bandar Acheh.

Rombongan yang diketuai oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Madya Dr. Yahaya Ibrahim turut mengadakan lawatan ke Sekolah Tinggi Agama Islam Meulaoh dan Universitas Syiah Kuala Bandar Acheh.

Terengganu sedia RM17.3 juta untuk pelajar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM17.3 juta bagi bantuan persediaan pembelajaran yang membabitkan 22,851 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke asrama penuh serta pengajian peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah, sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Haji Razali Mahmud, berkata jumlah itu termasuk pembiayaan bagi pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah dalam dan luar negara.

 Katanya, daripada jumlah itu 8,836 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dengan peruntukan RM8.7 juta dan peringkat diploma (6,876 orang) membabitkan kos RM5.6 juta.

“Terdapat 2,966 pelajar mengikuti matrikulasi dengan kos RM1.5 juta, sijil (1,865 orang) RM816 ribu dan Sekolah Berasrama Penuh pula seramai 2,269 orang membabitkan perbelanjaan RM1.2 juta,” kepada Teganukita .

 Beliau berkata, setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam negeri menerima RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) diploma (RM750) dan matrikulasi, sijil dan SBP (RM500) manakala ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.

 “Sejak bantuan ini diperkenalkan pada 2006 kerajaan telah membelanjakan RM105.6 juta membabitkan 145,079 pelajar anak tempatan,” katanya.

 Katanya, seramai 21,880 pelajar terima bantuan itu pada 2006 membabitkan peruntukan RM15.5 juta; 22,513 orang (2007) RM15.8 juta; 22,813 orang (2008) RM16.1 juta; 26,205 orang (2009) RM19.7 juta; 26,801 orang (2010) RM20 juta; dan 24,867 orang (2011) RM18.4 juta dan 22,851 orang dengan peruntukan 17.3 juta bagi tahu lalu.

 “Kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat khusus untuk melanjutkan pelajar ke mana-mana IPT dan sedia mengeluarkan berapa banyak belanja pun asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

 

Lif HSNZ akan dinaiktaraf semula

Oleh: Aida Abd Rahman

Hospital Sultanah Nur Zahirah akan menaik taraf dan melakukan kerja pembaikian semula lif di bangunan itu yang seringkali rosak dan menimbulkan ketidakselesaan orang ramai.

Timbalan Pengarah (Klinikal) II HSNZ, Dr Saifur Rahman Muhammad, berkata permohonan menaik taraf lif berkenaan sudah dibuat dan kini dalam proses menunggu kelulusan untuk tindakan segera

"“Kami mengambil perhatian serius dengan masalah itu dan sudah menjalankan siasatan terhadap aduan dan rungutan orang ramai itu.

"Hasil siasatan kami mendapati kerosakan lif berpunca dari kegagalan brek berfungsi yang perlu diganti dengan peralatan baru," katanya.

Dr Saifur berkata, HSNZ sedang dalam proses memperoleh peralatan berkenaan dan kerja membaiki akan dilaksanakan segera.

Selain itu, kerosakan lif itu berlaku juga berpunca faktor usia lif yang sudah beroperasi selama 27 tahun serta penggunaan maksimun melebihi bebanan yang dietapkan, iaitu 1,630 kilogram bersamaan 24 orang pada satu-satu masa.

 “Pihak kami juga sentiasa memantau dan memastikan penyelenggaraan lif oleh pihak konsesi dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan supaya masalah kerosakan lif dapat dielakkan,” katanya.

 

UMNO, CABARAN DAN PEMILIHAN- JANGAN TERLALU GHAIRAH

Bahagian kedua:

 Oleh: Ruslan Rahman 

 Pemilihan yang bakal menjadi fokus ialah di peringkat bahagian dan majlis tertinggi.
  Kali ini perwakilan di peringkat cawangan diberi mandat untuk memilih kepimpinan Bahagian dan Majlis Tertinggi sekaligus.
  Perkara ini bukanlah mudah, kerana kalau tidak ‘kena gaya’ boleh membawa keretakan dan melahirkan ‘puak-puak; dalam parti. Umno sebagai parti yang sudan matang tidak wajar melalui peristiwa yang boleh menjejaskan kekuatannya.
 Yang sedang diusahakan ialah kekuatan parti dan untuk kelemahan parti. Justeru itu sekiranya didapati ada unsur-unsur yang boleh membawa kelemahan parti, seharusnya diberi perimbangan kearah perbincangan dan perundingan untuk kebaikan kebaikan parti dan jadikan pertandingan sebagai jalan terakhir.
  Yang perlu difikirkan, jika hati kita ikhlas dan jujur ialah tentang masa depan parti, kekuatan parti dan bukannya masa depan dan kekuatan diri.
 Ini sebagaimana pesanan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin: "Pemimpin lama juga perlu bermuhasabah kerana apabila tiba waktunya, mereka perlu memikirkan tentang masa depan parti dan bukan masa depan peribadi mereka"
 Ataukah kata-kata ini sekadar retorik dan teori sahaja, tetapi praktikkal sukar direalisasikan. Bagaimana pun konsep pemimpin dan kepimpinan perlu juga dihayati oleh semua orang, sama ada di peringkat pemimpin atau ahli biasa supaya ia berada di landasan yang sebenar.
 Apatah lagi sebagai muslim, kita mempunyai ajaran tertentu dalam kaedah ini supaya tidak sampai terikut-ikut dengan konsep dan kaedah yang lain. Terdapat perbezaan yang amat ketara antara konsep kepimpinan Islam dengan konsep kepimpinan sekular Barat.
  Kepimpinan Islam adalah merupakan amanah ketuhanan (divine trust) yang merangkumi urusan duniawi-ukhrawi dengan dwi peranan utama iaitu إقامة الدين وسياسة الدنيا به memelihara agama dan mengurus dunia. Ia berbeza dengan konsep kepimpinan sekular Barat yang hanya menjurus kepada urusan duniawi-manusiawi yakni kepimpinan dianggap sebagai proses bagaimana seseorang mempengaruhi orang lain atau kumpulan ke arah pencapaian matlamat dalam situasi tertentu.
  Keadaan ini amat berbeza dengan Islam yang menganggap kepimpinan adalah merupakan taklif atau bebanan tanggungjawab dan bukannya satu tasyrif atau pun satu keistimewaan yang perlu diburu. Pemimpin diibaratkan sebagai "pengembala" yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya.
 Kepimpinan atau pemerintahan dalam Islam adalah alat dan bukan sebagai tujuan. Pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan menguruskan dunia.
  Lantaran itu, Islam menempatkan kepimpinan di tempat yang tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam yang adil, dan yang paling dibenci Allah adalah imam yang zalim" (HR:Ahmad).
  Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah menunjukkan contoh teladan yang sesuai iaitu tidak akan bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno pada Oktober ini.
  Katanya, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, beliau turut hadir dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno.
 “Oleh itu saya tidak perlu bertanding,” katanya sambil menyokong dua orang calon dari negeri Terengganu mempertahankan jawatan mereka iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh.
  Contoh dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar amatlah dihargai dan dihormati.

OMG5 himpun kereta lama di Lagun Kuala Ibai

Oleh; Esah Abdullah 

 Olskool Mega Gathering 5 (OMG5) akan mengadakan forum komuniti bertempat di Taman Awam Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 15 September depan mulai jam 7 pagi hingga 6 petang.

Pengerusi Program, Encik Abdul Aziz Mokhtar berkata, program yang julung-julung kali diadakan di negeri ini bertujuan menghimpunkan ahli forumer olskool.my dan peminat kereta lama dari seluruh negara dan juga luar negara di dalam acara tahunan yang amat bermakna ini.

“Ianya akan dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti dan dijangka akan menarik perhatian bukan sahaja forumer, peminat kenderaan lama malah juga masyarakat setempat,” katanya.

Secara tidak langsung katanya, program ini menjadi satu lagi tarikan pelancongan ke negeri ini sambil mendokong usaha kerajaan dalam menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Katanya, tahun lepas OMG4 diadakan di Terminal Bersepadu Selatan, Cheras, Kuala Lumpur yang menyaksikan penyertaan sebanyak 655 buah kereta lama seluruh negara termasuk Thailand dan Singapura dan dikunjungi lebih 10,000 orang peminat kereta lama.
 

50 buah rumah dibaikpulih

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Iskandar beramah mesra dengan penduduk kampung di Pekan Jabi, semalam.
KECAKNAAN kerajaan Barisan Nasional terhadap nasib golongan kurang bernasib baik terbela apabila sebanyak 50 buah rumah mendapat bantuan untuk dibaikpulih dan 10 buah rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT) dibina di seluruh Dewan Undangan Negeri (dun) Jabi, Setiu sepanjang tahun ini.

Pegawai Khas Ahli Dun itu, Hazali Mat,berkata kebanyakan rumah-rumah itu siap sepenuhnya dan kira-kira 20 peratus lagi dalam pembinaan dan dijangka akan disiapkan tidak lama lagi untuk memberi keselesaan kepada penghuninya.

Hazali berkata, semua projek itu adalah kesinambungan daripada wakil rakyat terdahulu dan diteruskan oleh Ahli dun yang baru iaitu Mohd Iskandar Jaafar yang memegang jawatan itu selepas memenangi pilihanraya umum tidak lama dulu.

“Yang Berhormat akan mempastikan apa yang dilakukan oleh wakil rakyat dahulu akan diteruskan manakala beberapa agenda barunya akan dilaksanakan untuk mempastikan Dun Jabi ini akan menjadi sebuah kawasan yang maju terutamanya dalam bidang pendidikan.

Hazali..pembantu khas Iskandar di Dun Jabi.
Sementara itu, Hazali berkata, kebanyakan cawangan UMNO Dun Jabi sudah selesai mengadakan mesyuarat bagi memilih ahli jawatankuasa masing-masing manakala selebihnya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat sebelum pemilihan di peringkat bahagian berlansung.

“Semua mesyuarat berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang perpecahan walaupun bertukar wakil rakyat dan ini membuktikan YB Iskandar diterima semua penduduk di Jabi ini. Ini memudahkan YB untuk menjalankan tugasnya bagi membantu seluruh penduduk,” katanya.


Gembira terima duit raya

Teks dan gambar: Aminudin Ismail

Iskandar dan isteri (kanan) sempat berjenaka dengan penerima sumbangan raya.
SERAMAI kira-kira 30 kanak-kanak dan orang dewasa Orang Kurang Upaya (OKU) gembira menerima duit raya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar di majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kampung Jabi, Besut di PDK itu, semalam.

Iskandar yang datang bersama isterinya, Dr Asmawati Wahab disambut meriah oleh ibubapa OKU serta penduduk kampung kerana kedatangan wakil rakyat itu adalah pertama kali sejak menjawat jawatan Adun selepas memenangi pilihanraya umum lalu.

Antara pelajar OKU yang menikmati juadah hari raya
Penyelia PDK itu, Wan Nor Rafidah, berkata kehadiran Wakil Rakyat baru ke PDK Kampung Jabi mengembirakan pelajar PDK itu kerana selain dapat menerima duit raya mereka juga dapat menikmati jaudah hari raya antarnya ialah nasi minyak, satay, ketupat, tapai dan lain-lain.

“Saya dan ibu bapa berterima kasih kepada YB kerana sudi datang memeriahkan majlis dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada pelajar di PDK ini, “ katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan sumbangan hari raya itu, beliau sempat bergurau dan berjenaka dengan beberapa pelajar dan mengharapkan penyelia dan pembantu PDK tidak mudah jemu mendidik pelajar OKU itu yang kebanyakanya mempunyai masalah pembelajaran.