Canggih -mesin pengait tandan sawit
TDM Berhad akan terus memberi tumpuan kepada dua bidang iaitu perladangan (plantation) kelapa sawit dan perkhidmatan kesihatan/perubatan atau khidmat hospital pakar (healthcare),
lapor Ruslan Abdul Rahman.
Industri perladangan dengan kepelbagaian aktiviti hiliran akan diberi keutamaan, di samping memberi tumpuan kepada amalan mampan, penambahan aset dan kilang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata, matlamatnya ialah agar tercapai sasaran 100 000 hektar ladang kelapa sawit menjelang tahun 2022.
Manakala dalam bidang kesihatan (hospital) mahu menjadi pembekal perkhidmatan kesihatan (healthcare) nombor satu di Pantai Timur.
Beliau berkata demikian dalam taklimatnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn.Bhd,(Terengganu Inc), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda di Sungai Tong baru-baru ini.
TDM adalah di antara 16 syarikat yang berada di bawah Terengganu Inc dan tersenarai di BSKL.
Katanya, strategi TDM adalah melakukan perkara-perkara yang berbeza atau melakukan perkara yang sama dengan cara yang berbeza dengan pesaing dan memberi fokus kepada apa yang kita mahu dan mengorbankan yang lain yang bukan menjadi fokus kita.
“Kami mewujudkan perbezaan yang tidak boleh ditiru oleh pesaing kami, kedudukan sumber , kedudukan produk pasaran, kedudukan inovasi kita cukup diberi perhatian,” katanya menjelaskan rahsia bagaimana TDM boleh mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
Katanya, TDM kini banyak pencapaiannya berbanding sebelumnya.
“Sebelum ini, TDM adalah sebuah konglomerat mini tetapi setelah melalui kejayaan pengurusan kewangan dan selepas pemulihan,
TDM hari ini adalah sebuah syarikat yang sangat fokus yang begitu baik rekod prestasi kewangannya’’ katanya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dividen sebanyak RM138 juta dibayar kepada agensi-agensi kerajaan dan RM204 juta yang dibayar kepada semua pemegang saham.
Selain itu TDM juga telah membayar beratus-ratus juta kerugian sebelumnya melalui keuntungan yang diperolehi pada masa kini.
Secara puratanya kebelakangan ini kemajuan hasil TDM ialah sebanyak RM330 juta setahun, berbanding masa-masa lalu hanyalah RM182 juta sahaja.
Pada masa ini beberapa syarikat perladangan yang aktif di bawah TDM ialah TDM Plantation Sdn.Bhd., Kumpulan Ladang-Ladang Terengganu Sdn.Bhd., TDM Trading Sdn.Bhd., TDM Capital Sdn.Bhd., PT Rafi Kamajaya Abadi (Kalimantan) dan PT Rafi Sawit Lestari (Kalimantan).
Manakala, hospital atau kesihatan/perubatan (healthcare) ialah Kumpulan Mediiman Sdn.Bhd., Kuala Terengganu Specialist Hospital Sdn.Bhd., Kuantan Medical Centre Sdn.Bhd., Kelana Jaya Mecidal Centere Sdn.Bhd., dan TDMC Hospital Sdn.Bhd.
TURUN PADANG LIHAT OPERASI -JUMPA PEGAWAI DAN PEKERJA
Lawat Kilang Sawit Sg Tong dan Ladang Jaya
Dato' Wan Ahamad selaku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc. merasakan betapa perlu beliau turun ke bawah melihat operasi dan prestasi syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Terengganu Inc., sebagai suatu usaha untuk memastikan kejayaan berterusan.
"Ini syarikat milik kerajaan dan milik rakyat yang perlu kita pastikan kemajuan dan pencapaiannya kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita untuk menguruskannya," katanya.
Dalam lawatan itu, beliau melawat Ladang Jaya, termasuk kawasan perumahan pekerja dan ladang.
Beliau juga turut melawat Kilang Sawit Sungai Tong yang merupakan kilang bersejarah diwujudkan sejak tahun 1973 yang dibuka oleh bekas Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak Hussein.
Dato' Haji Wan Ahamad mahu pastikan prestasi dan rekod cemerlang syarikat-syarikat kerajaan negeri Terengganu pada era kepimpinan kini terus kekal cemerlang sebagaimana yang dicapai sekarang ini.