Halaman

15 September 2013

Kerajaan serius wujudkan keseimbangan hutan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berusaha mewujudkan keseimbangan peranan hutan terhadap pembangunan sosio-ekonomi, pengekalan kestabilan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan pengekalan budaya masyarakat seiring dengan pertambahan penduduk di masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Terengganu merupakan negeri yang masih memiliki kawasan berhutan yang luas dengan 0.544 juta hektar Hutan Simpan Kekal atau 42 peratus daripada keluasan tanah negeri ini.

 “Daripada jumlah keluasan Hutan Simpan kekal itu, seluas 177,676 hektar dalam tindakan pewartaan oleh kerajaan negeri sebagai kawasan perlindungan mengikut fungsi hutan.

“ Ia merangkumi hutan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar, hutan lipur, hutan penyelidikan dan sebagainya,” katanya ketika berucap sempena Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Ahmad Razif mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu . Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (Dasar dan perancangan), Dato’ Masran Salleh dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin.

Hadir sama, Ketua Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad.

Dato’ Ahmad Razif berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan emndadak kesedaran masyarakat setempat dan antarabngsa mengenai ekpentingan hutan untuk diuruskan dengan lebih cekap bagi emnjamin kesejshteraan kehidupan manusia sejagat.

 “Hutan tidak lagi dilihat sebagai sumber utama untuk pengeluaran kayu balak sahaja. Sebaliknya permintaan terhadap hutan untuk tujuan perlindungan, pemeliharaan, rekreasi dan juga gedung ilmu dalam pelbagai bidang yang berasaskan ekologi hutan semakin mendesak dan bertambah penting.

 “Perubahan ini amat ketara sekali dan bertepatan dengan perkembangan globalisasi masa kini,” katanya.

Selain itu, menurutnya, menyedari keunikan dengan kepelbagaian ekonomi landskap semulajadi yang menarik di negeri, turut menjadi produk dan destinasi pelancongan utama negara.

Katanya, kawasan popular sebagai produk pelancongan termasuk Gunung Tebu, Air Terjun Chemerong, selain gugusan pulau yang indah seperti Redang, Perhentian, Bidong, manakala pembentukan batu yang unik seperti Gua Bewah, selain flora dan fauna serta panorama indah yang mempunyai kecantikan semulajadi dan nilai estetika tersendiri.

 

Usaha Terengganu lahir atlet cemerlang dipuji

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memuji usaha gigih Kerajaan Terengganu memajukan bidang sukan hingga membolehkan negeri ini muncul sebagai kuasa sukan negara ini.

Beliau berkata, hasil kegigihan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan untuk atlet tempatan dan usaha berterusan melahirkan atlet cemerlang, Terengganu muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) selama empat tahun berturut-turut.

Tahun ini, katanya, walaupun Terengganu kurang bernasib baik apabila sekadar menjadi naib juara Sukma di mana Selangor telah muncul sebagai juara, ia masih pencapaian yang membanggakan.

“Bagaimanapun, apa yang penting, kementerian ini sangat kagum dengan usaha dilakukan oleh Kerajaan Terengganu dalam melahirkan atlet yang cemerlang dalam pelbagai bidang sukan.

 “Saya harap usaha seumpama ini diteruskan bagi kebaikan dan kepentingan bidang sukan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia) di pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, kelmarin.

YB Khairy Jamaluddin turut memuji usaha kerajaan negeri membantu Mohd Noor Mat, menunaikan niatnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya melalui program Walk4Malaysia.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Beberapa anak syarikat kerajaan negeri menjadi penaja utama bagi menjayakan misi berkenaan dengan sumbangan dana berjumlah RM650,000.

YB Khairy Jamaluddin meminta negeri-negeri lain mencontohi Terengganu dalam usaha memperkasakan bidang sukan bagi membantu meningkatkan mutu sukan negara.

Untuk rekod, selain juara Sukma Terengganu juga muncul negerui pertama menubuhkan pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Cycling Team (TSG) dan melahirkan ramai atlet lumba basikal yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

 

Penggiat seni jadi ejen transformasi minda masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggiat seni di seluruh Marang diharap menjadi penggerak kepada transformasi minda, membangunkan ideologi, interaksi dan kebudayaan masyarakat bagi memastikan daerah itu tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata golongan itu mampu menjadi ejen yang boleh mengubah minda masyarakat supaya lebih berdaya saing dan tidak hanya berada di takuk lama.

“Sebagai Exco tunggal dari Bahagian Marang, saya rasa bertanggungjawab untuk mengajak dan menggerakkan usaha bagi memastikan masyarakat di Marang berintegriti dan menjalani transformasikan minda dari segi pemikiran dan juga hala tuju yang lebih jelas.

 “Saya percaya semua usaha itu boleh dilaksanakan bukan sahaja melalui kegiatan kesenian dan kebudayaan, malah penggemblengan tenaga serta sumber yang ada oleh semua pihak termasuk belia, wanita, imam dan bilal,” katanya di Program Merakyatkan Seni Budaya Malam Kesenian Daerah Marang, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya Marang, kelmarin.

Majlis anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Terengganu turut dihadiri penggiat seni di seluruh Marang.

YB A Latiff berkata, sebagai wakil kerajaan beliau akan berkongsi pandangan dan perancangan lebih jitu dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk membincangkan hala tuju pembangunan Marang yang lebih mapan dan jelas.

Katanya, semua pihak harus meningkatkan perpaduan, duduk semeja dan mengelakkan perselisihan demi manfaat bersama serta kemajuan Marang dari pelbagai aspek khususnya sosial, modal insan, kemahiran dan kebolehan masyarakat di daerah itu.

“Kita berhasrat untuk melihat Marang membangun dari aspek fizikal dan ekonomi dengan lebih menyeluruh lagi.

 “ Pada masa yang sama kita perlu menjana dan memajukan sumber yang ada sebaik mungkin kerana kita tidak mahu lagi Marang berada terkebelakang,” katanya.


Fama kempen makan buahan tempatan

Oleh; Esah Abdullah

Lambakan buah-buahan seperti durian, rambutan, duku dan manggis di negeri ini menimbul kegusaran kalangan pengusaha kebun dan juga orang persaorangan menyebabkan harganya turut merudum.

Sehubungan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meminta para petani di negeri ini yang mengalami masalah untuk memasarkan buah-buahan tempatan bermusim menghubungi pihaknya bagi mengelakkan masalah lambakan buah.

 Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majib (gambar) berkata, permintaan buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan juga duku sangat tinggi di sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan juga Putrajaya.

 “Fama bersedia membantu para petani untuk memasarkan buah-buahan tersebut sebelum tibanya musim tengkujuh ke negeri ini tidak lama lagi.

 “Para petani yang mempunyai masalah untuk memasarkan buah-buahan bermusim ini, sila datang berjumpa atau berhubung terus dengan Fama supaya kita boleh aturkan pasarannya dimana.

“Kita galakan para petani untuk menjual terus sama ada di sekitar Lembah Klang atau mana-mana negeri yang dirasakan sesuai termasuk di Kedah dan Perlis dan Fama pula bersedia untuk mengaturkan lokasi-lokasinya. Insya-ALLAH, kita tidak akan alami lambakan buah seperti tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Program Sambutan & Seranta Sempena Bulan Kemerdekaan ke- 56 tahun peringkat negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Hadir sama, Pengarah Fama negeri Terengganu, Hasan Jusoh.

Hanya bayar RM5 boleh makan semua jenis buah
Katanya, Fama juga kini telah mula membeli buah duku dari Besut dan juga Setiu bagi tujuan pemasaran.

Menurutnya, bersempena dengan sambutan kemedekaan, Fama telah mengadakan kempen makan buah-buah tempatan di Pasar Tani Mega Padang Hiliran dengan hanya membayar RM5 sahaja setiap orang boleh makan sebanyak mana buah yang diinginkan tanpa had.
 

842 terbabit kemalangan di Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

DSP Ab.Rahman
SETIU: Kecuaian pemandu dan tidak mematuhi peraturan lalulintas adalah antara punya utama berlakukan sebanyak 842 kemalangan jalan raya di seluruh daerah Setiu sejak Januari lalu sehingga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Polis, Ab.Rahman Raja Mohammed, berkata daripada jumlah itu 25 orang maut dan 60 lagi mengalami kecederaan parah.

“Ia membabitkan Motokar 501 kes, motosikal 180 kes, MPV /Perodua 90 kes dan lori sebanyak 45 kes,” katanya. Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap pemandu lebih berhati-hati ketika memandu terutamanya bagi menghadapi musim hujan yang akan bermula tidak lama lagi.

“Jalan raya di daerah ini kebanyakanya sudah baik dan sempurna, sikap pemandu ketika di jalan raya adalah antara punca utama berlakunya kemalangan. Memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan cuai ketika mengendalikan kenderaan adalah faktor berlakunya kemalangan.

“Saya mengharapkan jumlah kemalangan di daerah Setiu ini akan dapat diturunkan lagi dan kalau boleh juga kami mengharapkan kemalangan yang membabitkan kematian dapat diturunkan seminimun yang mungkin,” katanya.

Ab.Rahman berkata, anggota bahagian trafik akan sentiasa menjalankan tugas meronda dan mengenakan saman ke atas pesalah lalu lintas supaya memandu akan lebih berhemah di jalan raya dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan lalulintas.


14 September 2013

Pemilihan Ketua Umno Cawangan Kuala Tengah cipta rekod

Oleh: Aida Abd Rahman

Kampung Kuala Tengah di Marang merekod sejarah tersendiri dalam negara apabila mesyuarat pemilihan Ketua Umno Cawangan kampung itu memihak kepada orang kurang upaya (OKU), Encik Tahir Ismail.

Encik Tahir, 57 yang buta kedua-dua mata, menetap di Taman Rahmat mendapat 75 undi dengan majoriti tujuh undi untuk menyingkirkan seorang lagi calon yang diketengahkan  pada pemilihan yang berlangsung jam 9 pagi, semalam.

Setiausaha cawangan itu, Encik Ibarahim Osman, berkata cawangan yang mempunyai 285 ahli dengan 109 daripada mereka merupakan penghuni di Taman Rahmat, Pulau Kerengga sepakat memilih Tahir untuk menerajui pergerakan itu bagi penggal baru itu.

 “Kita menghormati keputusan 145 ahli Umno yang menghadiri mesyuarat pemilihan pucuk pimpinan cawangan pagi ini apabila menyokong Tahir sebagai ketua cawangan yang baru.

“Pemilihan beliau sekaligus mencipta rekod dan sejarah dalam negara apabila menjadi orang buta dan juga OKU pertama dilantik sebagai Ketua Umno Cawangan,"katanya kepada Teganukita, semalam.

Encik Ibarahim berkata, semua ahli jawatankuasa khususnya beliau sendiri akan membantu Encik Tahir bagi melancarkan setiap aktiviti dan menjayakan matlamat cawangan itu selaras dengan kehendak dan keperluan majoriti masyarakat di kawasan itu.

Katanya, kepimpinan baru Umno cawangan itu berhasrat untuk membantu masyarakat khususnya golongan muda meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi,selain memastikan penghuni di Taman Rahmat yang terdiri dari kalangan OKU dan miskin terus mendapat pembelaan kerajaan serta berupaya keluar dari kepompong kemiskinan.


Bangunkan hab kesenian di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebuah hab kesenian akan dibangunkan di Marang dalam usaha memastikan daerah itu memiliki identiti tersendiri dalam menyemarakkan budaya dan warisan setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata kawasan strategik untuk membangunkan pusat itu adalah berdekatan jeti Marang berikutan tarikan alam semula jadi dan persekitaran yang menarik.

“Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Marang baru-baru ini, saya mencadangkan satu hab kesenian diwujudkan di daerah ini, berdekatan jeti Marang.

“Saya berharap cadangan saya ini mendapat sokongan semua pihak termasuk Pegawai Daerah dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah Marang untuk melihat kawasan yang sesuai di muara sungai itu untuk kita bangunkan pusat yang akan menempatkan aktiviti kesenian lebih terancang dan terus bersemarak,” katanya di Program Merakyatkan Seni Budaya Malam Kesenian Daerah Marang, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya Marang, malam tadi.

Majlis anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Terengganu turut dihadiri penggiat seni di seluruh Marang.

YB A Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, kewujudan pusat kesenian itu kelak bukan sahaja memberi identiti tersendiri kepada aktiviti seni sosial dan budayaan yang ada di Marang, malah dapat dipentaskan untuk tatapan ramai supaya terus dikenali generasi muda.

“Inisiatif menghidupkan aktiviti budaya juga dapat menghalang seni kita hilang ditelan dek zaman, memupuk semangat kekitaan dan perpaduan lebih jitu, sekaligus mewujudkan budaya patriotisme serta perasaan cintakan tanah air di kalangan semua generasi.

“Marang mempunyai banyak kesenian tetapi tidak dieksploitasi dengan betul dan secara sistematik, malah kita juga mempunyai keadaan muka bumi yang menarik, dengan bukit-bukau, muara sungai, pantai, lagun, pedalaman dan juga pekan yang menyimpan pelbagai khazanah dan budaya tersendiri,” katanya.


Doktor pakar turun padang bantu pesakit di daerah Besut


Wan Shariman (tengah) bersama Idris dan Dr Zaki

Oleh:Mohammad Ishak 

Penderitaan seorang pemuda,Wan Shariman Wan Salleh,36, dari Kampung Kubang Bemban, dekat sini,yang menderita sakit tulang lutut sejak dua tahun lalu mendapat perhatian sekumpulan doktor pakar yang datang melawat di rumah beliau pagi semalam.

Wan Shahriman bekas tenaga pengajar sebuah pusat komputer yang sakit tulang lutut selepas terjatuh ketika bermain futsal Februari tahun lalu tidak dapat berjalan sebaliknya mampu bergerak secara mengesok di dalam rumah.

Kehadiran sekumpulan doctor pakar yang sedang mengadakan program turun padang anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di rumahnya mengembirakan beliau dan terubat apabila pihak terbabit sanggup datang ke rumah.

Kehadiran rombongan yang turut disertai Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut,Pengerusi MPN, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zaki Abdul Hamid dan Pakar Ortopedik,Dr Ahmad Tajudin dari Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ),Kuala Terengganu, disambut ahli keluarganya.

Wan Shariman sebelum ini pernah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,Kelantan, akan dipindah ke HSNZ di bawah pengawasan Dr Ahmad Tajudin.

Dr Ahmad Tajudin berkata, pesakit terbabit akan dirujuk ke HSNZ bagi membolehkan pemeriksaan lanjut tehadap masalah yang dihadapi pesakit berkenaan.

Program turun padang membabitkan pelbagai doktor pakar berada dua hari di sekitar daerah Besut dan mengadakan sesi pertemuan secara langsung dengan pesakit di beberapa kampung terpilih.

Seramai 50 petugas termasuk jururawat menyertai program berkenaan bertujuan mendekati masyarakat selain mendidik orang ramai menjaga kesihatan.

 Idris ketika ditemui berkata, program komuniuti antara MPN dengan penduduk satu usaha baik dan patut diteruskan kerana doktor pakar akan berkunjung ke rumah pesakit dan membuat pemeriksaan awal.

“Selepas diperiksa pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan diminta datang ke Hospital Paker Kerajaan untuk mendapat khidmat rawatan selanjutnya,” katanya.

Hari Keluarga Banyak Manfaat...PPD Setiu

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Kipayatuallah ketika berucap merasmikan hari keluarga MGBDS.
SETIU: Sambutan hari keluarga banyak memberi faedah kepada masyarakat untuk memupuk hubungan persaudaraan antara satu sama lain dan membina insan yang kamil terutamanya bagi kanak-kanak yang menyertainya bersama ibubapa, kata Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Kipayatuallah Dato’ Mohd Said. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Majlis Guru Besar Daerah Setiu (MGBDS) yang diadakan di Tapak Perkhemahan Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusut, Langkap, di sini, hari ini.

Cenderahati kepada setiap guru besar yang hadir.
Sebahagian keluarga yang hadir.
Menurutnya, kanak-kanak dan ibu-bapa yang menyertai hari keluarga itu dapat belajar melalui banyak perkara seperti sikap bantu membantu antara satu sama lain sebagaimana dalam beberapa acara pertandingan manakala anak-anak pula akan melihat apa yang dilakukan ibubapa mereka dan akan belajar daripadanya.

“Anak-anak kita ini mereka bukan sahaja mendapat didikan di sekolah secara formal tetapi melalui hari keluarga ini, mereka dapat belajar sesuatu termasuklah ukhwah Islamiah dan persaudaraan itu sangat penting yang mereka boleh perolehi dari hari keluarga ini.

“Kalau di sekolah anak-anak ini akan belajar melalui guru tetapi hari keluarga ini mereka belajar mengikut ibubapa secara tidak formal, mereka akan amanah melalui majlis-majlis yang diadakan sebagaimana sambutan hari keluarga pada hari ini di mana sesiapa yang menang dalam setiap pertandingan akan mendapat hadiah,” katanya.

Dalam pada itu, Kifatuallah meminta agar semua warga pendidik dan ibubapa menghayati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia kerana ia banyak memberi manfaat kepada mereka terutamanya dalam pembentukan akhlak kanak-kanak untuk menjadi manusia berguna suatu hari ini.

Antara acara sukaneka yang diadakan.
Sebahagian guru besar bergambar kenangan bersama Kipayatuallah (3 dari kanan)
Sementara itu, beberapa acara diadakan sempena sambutan hari keluarga itu antaranya ialah pemberian cenderahati kepada semua guru besar yang hadir dan beberapa acara sukaneka antaranya termasuklah boling kelapa dan sepak bola.


OUM beroperasi di Bukit Tunggal

Pusat Pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Terengganu kini beroperasi di bangunan sendiri dalam suasana lebih kondusif di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, selepas ditempatkan di beberapa di premis yang disewa sejak tujuh tahun lalu.

 Mula beroperasi sejak 1 Ogos lalu, bangunan yang dibina dengan kos sekitar RM7 juta itu dilengkapi 26 bilik kuliah dan tutorial serta ruang legar dan pejabat yang lebih luas dan selesa di samping kemudahan surau.
OUM bertapak di negeri ini sejak 2004 bermula di bangunan hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang kini dijadikan Kampus Kota Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sebelum menyewa di dua lokasi berasingan pada 2006.

Menurut Timbalan Pengarahnya, Hanafi Mamat, OUM kemudiannya menyewa ruang pejabat dan kuliah pada hujung minggu di premis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu dan Institut Pendidikan Guru Dato' Razali Ismail di sini.

 "Bangunan baharu ini akan memberi impak besar kepada gerak kerja kami dan paling penting memberi keselesaan kepada pelajar dan tenaga pengajar.

 "Ketika ini, kami mempunyai kira-kira 1,150 pelajar pengajian jarak jauh (PJJ) dan separuh masa serta 185 tenaga pengajar yang sebahagian besarnya adalah pensyarah sambilan meliputi peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana," katanya

 Dalam pada itu, beliau berharap kewujudan OUM di sini dengan peluang yang disediakan lebih disedari ramai orang dan mencambahkan minat mereka menyambung pelajaran secara PJJ dan separuh masa.

Apatah lagi, katanya, institusi itu juga telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tahun lalu yang memberi jaminan kualiti pendidikan yang ditawarkan.