Halaman

28 September 2013

Kempen keselamatan jalan raya berterusan

Oleh; Esah Abdullah

Pertandingan Sketsa Petronas Street Smart merupakan platform terbaik bagi golongan pelajar di sekolah rendah untuk mendapatkan pendedahan mengenai keselamatan jalan raya yang mula dilaksanakan sejak tahun 2007.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Dato’ Dr Tam Weng Wah berkata, kempen keselamatan jalan raya perlu diadakan sepanjang masa dan tidak hanya pada musim-musim perayaan sahaja.

“Kempen keselamatan jalan raya perlu diberi penekanan kepada setiap golongan masyarakat terutama pelajar dari sekolah rendah dan menengah agar mereka mendapat pendedahan awal,” katanya pada program Pertandingan Akhir Sketsa Pertonas Street Smart 2013 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu beliau menyambut baik program yang dianjurkan oleh Petronas ini dalam usaha memupuk minat masyarakat menjaga keselamatan di jalan raya serta tidak memandang remeh isu-isu keselamatan jalan raya.

Pada pertandingan akhir sketsa itu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Pertonas , Kemaman diumumkan sebagai johan dengan menerima wang tunai RM3,000, piala, sijil dan cenderamata.

Tenpat kedua dimenangi SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu yang menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala, sijil dan cenderamata.

Manakala SK Bukit Payong pula yang mewakili daerah Marang mendapat tempat ketiga dan menerima wang tunai RM1,000 piala, sijil dan cenderamata.

Sementara itu empat buah sekolah lagi menerima hadiah saguhati masing-masing menerima wang tunai RM500 dan sijil. Semua hadiah oleh disampaikan Ketua Pengarah JKJR.
 

Peserta Walk4Malaysia teruskan cabaran hari ketujuh

Oleh: Noraini Jusoh

Misi peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) menamatkan perjalanan hingga ke Putrajaya kini memasuki hari ketujuh dengan jarak laluan asal sejauh 63.5 kilometer (km), bermula dari Hentian Sebelah, Kuantan ke RnR Gambang, Pahang.

Walau bagaimanapun, seperti yang dilaporkan dalam laman facebook rasmi Walk4Malaysia, cabaran pada hari keenam terpaksa ditamatkan lebih awal dan menyebabkan lokasi permulaan cabaran pada pagi ini turut berubah.

“Alhamdulillah... sebentar tadi para peserta cabaran Walk4Malaysia telah menyambung kembali perjalanan mereka bermula di Plaza Tol Jabor selepas semalam perjalanan mereka terpaksa ditamatkan lebih awal atas sebab-sebab faktor keselamatan berada di Lebuhraya Pantai Timur.

"Perjalanan pagi ini akan menuju ke Hentian Sebelah Kuantan terlebih dahulu kemudiannya akan terus menuju ke RnR Gambang dan ianya bergantung kepada keadaan semasa,” ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang perjalanan menuju ke Putrajaya yang dijangka mengambil masa lebih kurang dua minggu secara keseluruhannya, peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat tidak berseorangan berjalan kaki kerana sentiasa diiringi atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) secara bergilir-gilir untuk menamatkan perjalanan sejauh 600 km seperti yang disasarkan.

Bermula hari ketujuh, peserta Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.

 

Jadikan Kampung Fikri tumpuan Pelancong-Mohd Jidin

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ihsan MCA Setiu.

Mohd Jidin(baju batik), Che Zulkifli(baju merah) hadir meriahkan pesta tanglung.

SETIU: Kampung Fikri , di sini, bakal menjadi tumpuan pelancong apabila kerajaan negeri bersetuju membangunkan satu tempat di kampung itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti permainan tradisi rakyat kaum Cina Tiong Hoa dan Siam.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Mohd Jidin Shafee , berkata pihaknya bersedia membantu dari pelbagai aspek untuk memajukan pelancongan di kampung itu termasuklah menguruskan kemasukan pelancong luar.

“Kalau boleh mulai tahun ini kita buat satu permainan tradisi. Kalau pelancong datang kita akan beritahu mereka, ini kebudayaan kaum Tiong Hoa dan ini kebudayaan Siam. Ini makanan tradisional Tiong Hoa, ini makanan tradisi Siam. Di sini juga terdapat beberapa tempat sejarah kita akan beritahu pelancong.

“Kita akan uruskan kedatangan pelancong ke tempat ini dengan menaiki bot dari Penarik,” katanya ketika merasmikan Pesta Tanglung MCA Setiu, di Kampung Fikri, malam, semalam.

Mohd Jidin melancarkan Pesta Tanglung.
Sehubungan itu, Mohd Jidin mengharapkan kaum Cina dan Siam di Setiu terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional supaya pihaknya boleh terus membantu memajukan masyarakat itu dan menjayakan pelbagai aktiviti mereka.

Cantik..peserta melepaskan tanglung ke udara.
Sementara itu, Pengerusi MCA Setiu, Wee Beng Hai, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan peruntukan kepada pihaknya untuk mengadakan pelbagai aktiviti masyarakat Cina dan Siam termasuklah Pesta Tanglung ini yang menjadi acara tahunan.

Kira-kira 200 masyarakat Cina Tiong Hua dan Siam hadir menjayakan pesta tanglung itu, Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh dan bekas exco negeri Toh Chin Yaw.



Sultan Mizan titah jawatankuasa masjid berdikari urus masjid

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menintahkan agar jawatankuasa masjid di seluruh negeri ini tidak hanya bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau kerajaan semata-mata dalam urusan pentadbiran institusi berkenaan.

Sebaliknya, baginda mengingatkan bahawa mereka telah diberi kepercayaan oleh Maidam untuk mengurus tadbir masjid dalam segenap aspek pengurusan mengikut landasan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, baginda meminta jawatankuasa masjid menggunakan wang sumbangan orang ramai yang dihulurkan melalui tabung masjid untuk kegunaan rumah ibadat berkenaan dan program pengimarahannya.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Masjid As-Saalikin Sungai Udang, Dungun, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Masjid As-Saalikin yang berharga RM3.938 juta mula dibina di atas tanah kerajaan seluas 3.5 ekar pada tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Masjid yang dibina bagi menggantikan masjid asal yang diperbuat daripada kayu cenggal itu mampu menampung 1,500 jemaah dan memberi keselesan kepada jemaah di sekitar kawasan tersebut.

20 negara sertai TIIAF 2013

Kira-kira 100 peserta dari 20 buah negara dijangka menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) selama tiga hari dari 15 Nov di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Zubir Embong berkata sehingga kini, peserta dari 12 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu Jordan, Iraq, Algeria, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Pakistan, Yaman, Brunei, Palestin, Thailand dan Arab Saudi.

 "Penganjuran pertandingan kaligrafi kali ini ialah penganjuran peringkat antarabangsa berbanding tahun lepas penganjurannya terhad kepada peserta rantau Asia sahaja.

"Penganjuran di Terengganu ini juga telah diiktiraf terbaik setaraf penganjuran di Turki dan Dubai oleh Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Islam Dunia (IRCICA) yang berpusat di Turki dan mereka akan memberi sijil pengiktirafan itu dalam masa terdekat," katanya.

 Nilai hadiah keseluruhan bagi pertandingan peringkat antarabangsa adalah US$20,000 (RM64,400). Tarikh tutup penyertaan bagi peringkat antarabangsa 24 Okt manakala bagi peringkat kebangsaan 30 Okt. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 09-6278807, 013-2626061 atau 019-9776499.



Sinar Baru Peserta Agropolitan Setiu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Kandang biri-biri yang serba lengkap.
Kawasan perumahan peserta.
SETIU: Seramai 100 peserta yang menyertai Projek Agropolitan di Panchor Menderu, Bukit Putera, di sini sejak Jun lalu, gembira dan mendapat sinar baru kerana mereka terpilih menyertai projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu.

Tinjauan Teganukita semalam, mendapati kebanyakan peserta menganggap pemilihan mereka menyertai projek itu adalah satu tuah dan mengharapkan dapat mengubah masa depan mereka menjadi lebih baik berbanding sebelum itu.

Amaran Mat Nor.
Seorang peserta, Amaran Mat Nor, 41, dari Kampung Bukit Putera berkata dia begitu gembira kerana dipilih menyertai projek itu kerana selain dapat tinggal di sebuah rumah baru yang dilengkapi perabot, dia juga sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

“Dulu saya kerja sendiri dan pendapatannya tidak tetap tetapi selepas menyertai projek ini, saya rasa sangat gembira kerana saya diberi gaji sebanyak RM40 sehari dan pendapatan bulanan boleh mencapai RM1,200 sebulan.

“Anak-anakpun suka tinggal di sini kerana mereka dapat berkenalan dengan jiran-jiran yang ramai. Rumahpun agak selesa dan mempunyai tiga bilik. Saya akan terus tinggal di sini dan bekerja dengan baik bagi meningkatkan pendapatan projek ini,” katanya.

Rosman Mohd Nor, 34, dari Kampung Che Muhid, berkata, dia terlalu gembira kerana terpilih menyertai projek itu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan kurang mampu sepertinya untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Terima kasihlah kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja di sini, saya mempunyai tiga orang anak, jika sebelum ini saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu, selepas ini saya harap akan dapat hidup dengan selesa,” katanya.

Seorang lagi peserta Mohd Nasir Hamid, 37, berkata dia berpuashati dengan pendapatan yang diperolehinya dan mengharapkan dapat mengubah kehidupan keluarganya kepada yang lebih baik dan selesa.

Muhaimim..peserta termuda.
Peserta paling muda, Muhamim Mahassan, 22, berkata, dia amat bertuah dan gembira kerana terpilih menyertai projek itu dan berjanjikan akan bekerja dengan baik serta tidak mensia-siakan peluang yang diberi kerajaan.

"Ini adalah hadiah perkahwinan saya kerana saya baru tiga bulan kawin, kalau boleh saya mahu tinggal di sini sampai tua. Terima kasih kepada ECER, Felda dan kerajaan negeri Terengganu," katanya.

Abd. Rahim, Pengurus Projek.
Sementara itu, Pengurus Projek Abd Rahim Maulud, berkata kesemua pekerja menunjukan komitmen yang baik untuk bekerja dan beliau yakin peserta dapat bersama-samanya membantu menjayakan projek Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECER) itu sekaligus dapat mempertingkat taraf hidup masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, persiapan untuk menyambut kedatangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk merasmikan projek itu, Esok berjalan lancar dan semua peserta sudah bersedia menyambut kedatangan Tuanku.

“Selain merasmikan Projek Agropolitan ini, Tuanku juga akan menyampaikan Sijil Penyertaan kepada setiap peserta dan melawat beberapa tempat kawasan ini termasuklah ladang kambing biri-biri,” katanya.
Sebahagian biri-biri yang diternak.



27 September 2013

Bebaskan masjid dari pengaruh kepartian – Sultan Mizan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menintahkan agar masjid-masjid di seluruh negeri dijadikan sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik kepartian yang boleh membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan umat Islam.

Baginda bertitah larangan tersebut perlu dipatuhi semua pihak kerana ia bertentangan dengan Maqasid as-Syar’iyyah atau tujuan masjid didirikan.

 “Beta berharap supaya unsur atau simbol yang melambangkan politik kepartian hendaklah dibersihkan daripada masjid dan kawasan sekitarnya,” titah baginda sewaktu merasmikan Masjid As-Saalikin Sungai Udang, Dungun hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Sultan Mizan turut menitahkan supaya umat Islam di negeri ini memelihara imej masjid sebagai rumah Allah yang mulia dan suci.

 “Peranan dan imej masjid hendaklah dipulihkan kembali sebagai institusi yang bukan sahaja kawasan aman, suci, tenangdan indah, tetapi lebih utama berperanan sebagai penggerak utama dalam proses perubahan sikap ummah dalam membentuk akhlak yang mulia,” ujar beliau.

Baginda turut meminta rakyat negeri ini supaya kembali menghayati ajaran al-Quran terutama bagi memupuk dan mengukuhkan roh perpaduan di kalangan umat Islam.

 

Cabaran hari keenam bermula

Oleh: Aida Abd Rahman

Misi Mohd Noor Mat menamatkan perjalanan hingga ke Putrajaya kini memasuki peringkat keenam melibatkan laluan sejauh 44.4 kilometer (km), bermula dari Padang Astaka, Chukai, ke Hentian Sebelah, Kuantan, di Lebuhraya Pantai Timur, pagi ini.

 Peserta utama Walk4Malaysia itu memulakan langkah sebaik selepas majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, YB Wan Hakim Wan Mokhtar, kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha.

Orang ramai turut membanjiri tapak majlis pelancaran itu, selain menyertai senamrobik dan cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur program.

Malah, warga Kemaman ternyata memberi sokongan jitu kepada peserta Walk4Malaysia yang tetap bersemangat menyahut cabaran itu, selepas berjaya mengharungi peringkat kelima, dari Paka ke Chukai sejauh hampir 54 km, semalam.

Dengan sokongan pasukan pengiring dan peserta yang turut berjalan bersama beliau, kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu turut mendapat suntikan semangat dari orang awam yang ditemui sepanjang perjalanan itu.

Mohd Noor bersama 40 peserta lain yang turut mengiringi langkah beliau, berhenti rehat dan menunaikan solat Jumaat di Cherating, Kuantan pada tengahari tadi, sebelum meneruskan perjalanan yang dijangka akan tamat bagi peringkat itu pada jam 10 malam ini.

Beliau diiringi atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sudah menamatkan misi berjalan kaki sejauh kira-kira 260 kilometer (km) daripada jumlah 600 km yang disasarkan.

Bermula peringkat dan hari ketujuh, Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari entian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.


Keselamatan jalan raya tanggung jawab bersama - JKJR

Oleh; Esah Abdullah 

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) meminta syarikat-syarikat swasta terus memainkan peranan dalam meningkatkan kempen keselamatan jalan raya serta tidak hanya tertumpu pada musim perayaan dan sebagainya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Tam Weng Wah berkata, kempen keselamatan jalan raya perlu diadakan sepanjang masa bagi mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati ketika memandu.

“Isu keselamatan jalan raya adalah tanggung jawab semua pihak, sama ada kerajaan, swasta dan anggota masyarakat dan sikap saling mengingati antara satu sama lain harus menjadi amalan harian.

“Cara pemanduan yang tidak selamat dan kenderaan yang tidak diselengara dengan baik boleh menyebabkan kemalangan berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira tempat dan waktu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Program Pertandingan Akhir Sketsa Pertonas Street Smart 2013 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Kuala Terengganu. Hadir sama Pengarah Program Petrosains Sdn Bhd Encik Kamarudin Kassim

Katanya, selain hebahan secara berterusan melalui media cetak dan elektronik, program kempen keselamatan jalan raya juga perlu dilaksanakan di peringkat kakitangan, orang awam sehingga kepada kanak-kanak sekolah.

`Kata perpatah melentur buluh biarlah dari rebung’ iaitu memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di peringkat awal lagi termasuk kepada pelajar sekolah rendah,’’ katanya.

 Menurutnya, mengikut statistic, sebanyak 6,917 kematian dicatatkan pada tahun lalu yang membawa kerugian kira-kira RM8.3 billion.

Tambahnya, mengikut kadar kemalangan yang dilaporkan di Terengganu ia meningkat berdasarkan 10,000 kenderaan yang didaftarkan sebanyak 5.61 peratus terlibat dalam kemalangan jalan raya berbanding kadar nasioal 3.01 peratus.
 

YB Iskandar mahu tarik belia sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar, yang baru disahkan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Setiu, berazam untuk menarik golongan muda di daerah Setiu agar menyokong Umno, sekaligus menguatkan lagi kedudukan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Beliau menyifatkan pemilihannya untuk menerajui pergerakan Pemuda Bahagian itu merupakan cabaran besar bagi menarik golongan muda yang terdiri daripada hampir separuh pengundi di Setiu.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memenangi keempat-empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Setiu, termasuk DUN Jabi yang ditandingi oleh YB Iskandar yang juga muka baru.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan pilihan raya lalu sokongan daripada generasi muda kepada calon-calon BN agak merosot dan Ketua Pemuda Umno Bahagian yang baru itu bertekad untuk meraih sokongan mereka sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

YB Mohd Iskandar menang jawatan tersebut selepas beliau menjadi calon tunggal untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan Umno kali ini. Beliau amat berharap akan mendapat kerjasama daripada pengurusan Umno bahagian dan sayap-sayap Umno bahagian berkenaan bagi menjayakan misi tersebut.

“Saya harap dengan gandingan mantap pemimpin bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri, kita dapat meraih sokongan generasi muda bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi laluan kepadanya untuk menduduki jawatan berkenaan tanpa bertanding.

“Saya akan bekerja keras mulai sekarang bagi menguatkan kedudukan Umno dan BN sebagai membalas kepercayaan pemimpin dan ahli Umno bahagian Setiu kepada saya untuk menerajui pergerakan Pemuda,” katanya.