Halaman

29 September 2013

Stage 7: TOL JABOR - HENTIAN GAMBANG











Mangsa kebakaran dapat rumah baru

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Ahmad (dua dari kanan) bersama YB Dato' Mohd Jidin, YB Zulkifli dan YB Dato' Sabri.
SETIU: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Bintang, di sini terharu dan gembira apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee mengumunkan kelulusan segera sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuknya bagi mengantikan rumahnya yang hangus dalam kebakaran lima hari lalu.

Ahmad Zakaria, 47 dan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 tengahari itu, mengucap berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri dan Adun Permaisuri itu kerana cakna dengan kesusahan yang dia alami sekarang.

“Saya diberitahu sebuah rumah PPRT diluluskan oleh Dato’ Mohd Jidin untuk saya dan keluarga dan akan dibina dalam masa terdekat ini. Terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh kerana turut menyumbang RM3,000 bagi pihak Parlimen Setiu.

“Juga kepada YB Jabi, Iskandar dan YB Langkap, Dato’ Sabri yang turut menghulurkan sumbangan peribadi selain orang-ramai yang turut menghulurkan bantuan kewangan kepada kami sekeluarga. Semoga Allah akan membalas jasa baik mereka semua,” katanya.

Zulkifli menyerahkan cek kepada Ahmad.
Ahmad berkata, akibat kebakaran rumah yang disebabkan litar pintas itu, dia kehilangan harta benda berjumlah kira-kira RM80,000.00 termasuklah sebuah kereta dan beberapa mesin jahit , wang tunai dan barang kemas.

“Ketika kejadian saya keluar bekerja manakala isteri dan seorang anak berada di sungai berhampiran rumah untuk mandi, apabila diberitahu rumah saya terbakar, isteri terus pulang dan ketika itu, api belum marak lagi tetapi dalam masa beberapa minit rumah kami habis hangus terbakar,” katanya

Ketika ini Ahmad dan keluarga menumpang di rumah abangnya di sebuah kampung berhampiran sementara rumah baru mereka siap dibina.

Sementara itu, Dato’ Mohd Jidin berkata, kerajaan negeri sentiasa perihatin dengan masalah dan nasib yang menimpa penduduk sebagaimana yang di alami ahmad kerana itu, pihaknya dengan segera meluluskan pembinaan rumah PPRT untuk keluarga terbabit dan akan dibina secepat mungkin.

“Setakat ini beberapa sumbangan kita sudah hulurkan kepada beliau termasuklah sebuah rumah PPRT yang akan dibina segera, sumbangan RM3 ribu dari Parlimen Setiu.

“Kita juga akan meminta tambahan lagi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diberi kepada mangsa kebakaran ini,” katanya ketika mengunjungi rumah Ahmad bersama Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh dan Adun Langkap, Dato’ Sabri Mat Nor, petang semalam.


Perkhemahan Pengakap Lepasan UPSR.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Sebahagian peserta mendengar taklimat

SETIU: Seramai kira-kira 80 murid lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari seluruh daerah ini, menyertai Perkhemahan Pengakap bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka di Kem Merbau Menyusut.

Perkhemahan bertujuan untuk menambah ilmu di luar bilik darjah itu bukan sahaja untuk mengajar peserta untuk berdikari malah ianya boleh memberi disiplin yang tinggi di kalangan peserta serta bagi menghadapi cabaran yang lebih ketika melangkah ke sekolah menengah.

Ahli jawatankuasa kerja, Zainuddin Dollah, berkata antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan gubahan tuala, pertandingan ikatan, pertandingan masakan roti, latihan kawad dan pertandingan model berhalangan,

"Semua murid dapat melakukan setiap aktiviti dengan baik malah mereka kelihatan begitu bersemangat menyertainya.

"Kita mengharapkan aktiviti ini banyak memberi manfaat kepada peserta terutamanya bagi menghadapi kehidupan yang semakin mencabar pada masa depan,” katanya.

Penyampaian Sijil Penyertaan oleh Alias.
Majlis penutup dilakukan oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Alias Husin
.

28 September 2013

Stage 6: KEMAMAN - TOL JABOR











Penduduk Pulau Perhentian akan dapat bekalan elektrik 24 jam


Oleh: Mohammad Ishak

Impian penduduk Pulau Perhentian untuk mendapatkan bekalan elektrik 24 akan menjadi kenyataan apabila kerajaan akan   menyediakan bekalan elektrik kepada penduduk pusat Pelancongan Pulau Perhentian.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata, tender untuk kerja menyalurkan bekalan dari darat ke pulau itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap permintaan penduduk pulau itu untuk mendapatkan bekalan elektrik 24 jam kerana pulau itu menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya,bekalan elektrik di pulau akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk pulau sebahagian besarnya nelayan.

Selain itu,katanya, pengusaha chalet juga turut menghadapi masalah bekalan elektrik menyebabkan pengusaha terbabit terpaksa menggunakan generator sendiri untuk mendapatkan bekalan tenaga.

Beliau juga mengingatkan pengguna elektrik diminta tidak mempercayai kabar angin yang disebarkan pihak tertentu kononya Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengenakan caj baru bagi tarif bekalan elektrik tidak lama lagi.

Katanya, dakwaan kononya TNB akan menaikakn kadar baru elektrik kepada pengguna adalah tidak benar dan berniat jahat.

Beliau berkata, kementerian belum menerima apa-apa cadangan daripada TNB mengenai cadangan mengenakan caj baru bekalan elektrik berikutan kenaikan harga petrol baru-baru ini.

“Jika ada sekalipun sudah tentu kerajaan akan meneliti cadangan itu sebelum membenarkan pihak terbabit mengenakan caj baru,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sultan Mizan berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kejohanan LAJSM 2013

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.
Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2013 di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.





Sebelum itu, YB Rozi Mamat meyempurnakan majlis pelepasan peserta LAJSM 2013 dimulai dengan kategori antarabangsa lelaki dan wanita 42 kilometer (km) di lokasi sama kira-kira jam 5.30 pagi.

Seramai 8011 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan serta Indonesia menyertai larian tersebut.






Kejohanan LAJSM 2013 menawarkan hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan RM329,700 bagi 18 kategori dipertandingkan yang terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan terbuka antarabangsa.

Bagi kategori terbuka lelaki antarabangsa diungguli peserta dari Kenya iaitu Josphat Kiptanui Too Chobei dengan catatan masa 2:07:31.Johan bagi kategori tersebut layak membawa pulang wang tunai sebanyak RM24,000.

Sementara bagi kategori lelaki OKU berkerusi roda dimenangi Daniel Lee, dari Setapak, Kuala Lumpur dan layak membawa pulang wang tunai RM2,000.

 

Kempen keselamatan jalan raya berterusan

Oleh; Esah Abdullah

Pertandingan Sketsa Petronas Street Smart merupakan platform terbaik bagi golongan pelajar di sekolah rendah untuk mendapatkan pendedahan mengenai keselamatan jalan raya yang mula dilaksanakan sejak tahun 2007.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Dato’ Dr Tam Weng Wah berkata, kempen keselamatan jalan raya perlu diadakan sepanjang masa dan tidak hanya pada musim-musim perayaan sahaja.

“Kempen keselamatan jalan raya perlu diberi penekanan kepada setiap golongan masyarakat terutama pelajar dari sekolah rendah dan menengah agar mereka mendapat pendedahan awal,” katanya pada program Pertandingan Akhir Sketsa Pertonas Street Smart 2013 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu beliau menyambut baik program yang dianjurkan oleh Petronas ini dalam usaha memupuk minat masyarakat menjaga keselamatan di jalan raya serta tidak memandang remeh isu-isu keselamatan jalan raya.

Pada pertandingan akhir sketsa itu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Pertonas , Kemaman diumumkan sebagai johan dengan menerima wang tunai RM3,000, piala, sijil dan cenderamata.

Tenpat kedua dimenangi SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu yang menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala, sijil dan cenderamata.

Manakala SK Bukit Payong pula yang mewakili daerah Marang mendapat tempat ketiga dan menerima wang tunai RM1,000 piala, sijil dan cenderamata.

Sementara itu empat buah sekolah lagi menerima hadiah saguhati masing-masing menerima wang tunai RM500 dan sijil. Semua hadiah oleh disampaikan Ketua Pengarah JKJR.
 

Peserta Walk4Malaysia teruskan cabaran hari ketujuh

Oleh: Noraini Jusoh

Misi peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) menamatkan perjalanan hingga ke Putrajaya kini memasuki hari ketujuh dengan jarak laluan asal sejauh 63.5 kilometer (km), bermula dari Hentian Sebelah, Kuantan ke RnR Gambang, Pahang.

Walau bagaimanapun, seperti yang dilaporkan dalam laman facebook rasmi Walk4Malaysia, cabaran pada hari keenam terpaksa ditamatkan lebih awal dan menyebabkan lokasi permulaan cabaran pada pagi ini turut berubah.

“Alhamdulillah... sebentar tadi para peserta cabaran Walk4Malaysia telah menyambung kembali perjalanan mereka bermula di Plaza Tol Jabor selepas semalam perjalanan mereka terpaksa ditamatkan lebih awal atas sebab-sebab faktor keselamatan berada di Lebuhraya Pantai Timur.

"Perjalanan pagi ini akan menuju ke Hentian Sebelah Kuantan terlebih dahulu kemudiannya akan terus menuju ke RnR Gambang dan ianya bergantung kepada keadaan semasa,” ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang perjalanan menuju ke Putrajaya yang dijangka mengambil masa lebih kurang dua minggu secara keseluruhannya, peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat tidak berseorangan berjalan kaki kerana sentiasa diiringi atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) secara bergilir-gilir untuk menamatkan perjalanan sejauh 600 km seperti yang disasarkan.

Bermula hari ketujuh, peserta Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.

 

Jadikan Kampung Fikri tumpuan Pelancong-Mohd Jidin

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ihsan MCA Setiu.

Mohd Jidin(baju batik), Che Zulkifli(baju merah) hadir meriahkan pesta tanglung.

SETIU: Kampung Fikri , di sini, bakal menjadi tumpuan pelancong apabila kerajaan negeri bersetuju membangunkan satu tempat di kampung itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti permainan tradisi rakyat kaum Cina Tiong Hoa dan Siam.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Mohd Jidin Shafee , berkata pihaknya bersedia membantu dari pelbagai aspek untuk memajukan pelancongan di kampung itu termasuklah menguruskan kemasukan pelancong luar.

“Kalau boleh mulai tahun ini kita buat satu permainan tradisi. Kalau pelancong datang kita akan beritahu mereka, ini kebudayaan kaum Tiong Hoa dan ini kebudayaan Siam. Ini makanan tradisional Tiong Hoa, ini makanan tradisi Siam. Di sini juga terdapat beberapa tempat sejarah kita akan beritahu pelancong.

“Kita akan uruskan kedatangan pelancong ke tempat ini dengan menaiki bot dari Penarik,” katanya ketika merasmikan Pesta Tanglung MCA Setiu, di Kampung Fikri, malam, semalam.

Mohd Jidin melancarkan Pesta Tanglung.
Sehubungan itu, Mohd Jidin mengharapkan kaum Cina dan Siam di Setiu terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional supaya pihaknya boleh terus membantu memajukan masyarakat itu dan menjayakan pelbagai aktiviti mereka.

Cantik..peserta melepaskan tanglung ke udara.
Sementara itu, Pengerusi MCA Setiu, Wee Beng Hai, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan peruntukan kepada pihaknya untuk mengadakan pelbagai aktiviti masyarakat Cina dan Siam termasuklah Pesta Tanglung ini yang menjadi acara tahunan.

Kira-kira 200 masyarakat Cina Tiong Hua dan Siam hadir menjayakan pesta tanglung itu, Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh dan bekas exco negeri Toh Chin Yaw.



Sultan Mizan titah jawatankuasa masjid berdikari urus masjid

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menintahkan agar jawatankuasa masjid di seluruh negeri ini tidak hanya bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau kerajaan semata-mata dalam urusan pentadbiran institusi berkenaan.

Sebaliknya, baginda mengingatkan bahawa mereka telah diberi kepercayaan oleh Maidam untuk mengurus tadbir masjid dalam segenap aspek pengurusan mengikut landasan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, baginda meminta jawatankuasa masjid menggunakan wang sumbangan orang ramai yang dihulurkan melalui tabung masjid untuk kegunaan rumah ibadat berkenaan dan program pengimarahannya.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Masjid As-Saalikin Sungai Udang, Dungun, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Masjid As-Saalikin yang berharga RM3.938 juta mula dibina di atas tanah kerajaan seluas 3.5 ekar pada tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Masjid yang dibina bagi menggantikan masjid asal yang diperbuat daripada kayu cenggal itu mampu menampung 1,500 jemaah dan memberi keselesan kepada jemaah di sekitar kawasan tersebut.