Halaman

02 October 2013

Kecurian kabel di tahap membimbangkan

Oleh; Esah Abdullah 

Telekom Malaysia (TM) merayu orang ramai dan penduduk setempat membantu pihaknya membasmi gejala kecurian kabel demi kepentingan bersama.

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail berkata, masalah kecurian kabel milik TM di negeri ini di tahap membimbangkan sehingga syarikat terpaksa menanggung kerugian besar.

“Antara kawasan dikenal pasti kerap berlaku kecurian adalah daerah Dungun dan Besut terutama di kawasan pendalaman,” katanya.

Katanya, kegiatan ini turut memberi kesan kepada pengguna yang terputus perkhidmatan telekomunikasi.

Menurutnya, usaha telah dilakukan oleh pihaknya bagi menangani rungutan di dua kawasan terbabit namun perkara yang sama berulang selepas kerja baik pulih dilakukan.

“Antaranya termasuklah menawarkan hadiah sebagai penghargaan kepada pihak yang berjaya menahan atau menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel ini, namun kejadian berulang selepas TM mengantikan kabel baru,” katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini memberi kesan kepada TM kerana terpaksa menanggung kos yang agak mahal dan kecurian ini kerap berlaku di kawasan pedalaman yang jauh daripada pandangan orang ramai.

Sebanyak 113,922 e-Book diagihkan sejak 2009

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 113,922 buah e-Book kepada murid tahun empat dan lima di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan kira-kira RM107.3 juta.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pemberian buku elektronik tersebut dalam tempoh lima tahun sejak diperkenalkan 2009 lalu sehingga sekarang.

 Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 23,702 murid tahun lima menerima e-Book yang membabitkan perbelanjaan melebihi RM22 juta diikuti 23,313 murid tahun lima menerima kemudahan itu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM22 juta pada 2010.

Katanya, untuk tahun 2011, sebanyak 23,194 murid tahun lima turut menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan RM21.9 juta, seramai 22,117 murid tahun empat mendapat E-Book dengan peruntukan RM20.9 juta pada tahun lalu.

"Bagi tahun ini, sebanyak 21,596 murid tahun empat menerima E-Book yang melibatkan jumlah peruntukan kira-kira RM20.5 juta," katanya.

YB Ghazali turut menangkis dakwaan pihak pembangkang kononnya pemberian e-Book yang membabitkan kos besar tidak memberi impak positif kepada para pelajar.

 Sebaliknya, jelas beliau, sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 2009 lalu selain penambahbaikan yang dilakukan kerajaan, ia mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu.

Pada masa sama, katanya, usaha kerajaan mewujudkan program kelas maya dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga sebagai sekolah perintis juga berupaya melonjakkan kedudukan sekolah berkenaan dalam senarai sekolah terbaik.

 "Sejak dijadikan sekolah perintis dalam projek kelas maya, SK Paya Bunga memperoleh Gred Purata Sekolah yang terbaik di mana sebelum ini berada pada kedudukan 4,000 dalam senarai kebangsaan, kini melonjak ke tangga 620," katanya.

 

01 October 2013

Konvoi Bulan Bahasa Kebangsaan WDI - Kangar, Perlis

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Seramai 40 peserta bakal menyertai Konvoi Kembara Bahasa 2013 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat negeri, pada 9 Oktober ini.

 Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Manakala majlis pelepasan konvoi bermula di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu juga pada 9 Oktober, kira-kira jam 9.30 pagi.

Konvoi yang akan berakhir di Kangar, Perlis akan bermula dari Wisma Darul Iman dan akan singgah ke setiap daerah yang menjadi laluan program itu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat rakyat khususnya belia di negeri ini untuk mencintai bahasa kebangsaan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah penyerahan buku-buku perpustakaan, kenduri bahasa dan deklamasi puisi.


Penduduk sambut baik Projek Agropolitan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail

Perkedaian turut dibina di kawasan Agropolitan Besut-Setiu.
SETIU: Beberapa penduduk di daerah ini menyambut baik pemilihan daerah Setiu sebagai tempat Projek Agropolitan Besut-Setiu yang di rasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin kerana menganggap projek itu bukan sahaja dapat membantu penduduk tempatan mendapat pekerjaan malah ia boleh menaikan nama Setiu.

Tinjauan Teganukita mendapati rata-rata penduduk gembira kerana kerajaan negeri memilih Setiu sebagai tapak projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)  itu yang memberi peluang kepada 100 penduduk di Setiu dan Besut mendapatkan pekerjaan.

Seorang pemuda, Ahmad Amsar, 25, dari Bandar Permaisuri, berkata, jika sebelum ini nama Panchor Bederu tidak dikenali ramai malah ramai juga yang tidak tahu di mana lokasinya tetapi dengan wujudnya ‘perkampungan’ Agropolitan itu, mereka mula mengetahui lokasinya.

“Projek ini memberi ‘tuah’ kepada penduduk daerah Setiu terutamanya kepada peserta yang terpilih, selain mereka dapat menduduki rumah baru yang serba lengkap, peserta juga mendapat gaji yang agak lumayan berbanding sebelum itu.

“Projek ini juga menaikan nama Panchor Bederu yang sebelum ini tidak ramai yang mengetahuinya, kini seluruh Malaysia mengenalinya sebagai satu tempat projek ECER( Wilayah Ekonomi Pantai Timur), sekaligus menaikan nama daerah Setiu,” katanya.

Sulaiman Mamat.
Sulaiman Mamat dari Kampung Banggol pula menyifatkan pemilihan Setiu sebagai tapak agropolitan itu adalah bertepatan dan berterima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana melaksanakan projek penternakan kambing biri-biri itu di daerah ini.

“Seluruh penduduk menyambut baik langkah kerajaan memilih Panchor Bederu sebagai lokasi projek ini. Bagi pemuda yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, ini adalah peluang terbaik bagi mereka.

“Dengan wujudnya projek ini, ia boleh membantu 100 pemuda di daerah ini dan Besut yang sudah mendirikan rumahtangga untuk menjalani kehidupan yang lebih terjamin dengan terus dapat menduduki rumah baru yang selesa dan memperolehi pendapatan yang menjamin masa depan,” katanya mengenai projek agropolitan ketiga dari ECERDC itu.


Jawatankuasa Perwakilan Penduduk akan diwujudkan tahun depan

Oleh; Esah Abdulalh

Sebuah oganisasi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) akan diwujudkan dalam kawasan bandar di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT), Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan organisasi ini merupakan satu anjakan baru di bawah kementeriannya khusus untuk masyarakat yang tinggal di bandar.

“JPP akan berfungsi serupa dengan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya di majlis perjumpaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Ketua Setiausaha KKBPKT, Dato’ Noriah Hashim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, kebelakangan ini penduduk di kawasan bandar dilihat tidak mempunyai hubungan emosi dengan kerajaan serta agak sukar bagi kerajaan untuk menyelami hati dan naluri mereka yang akhirnya telah menterjemahkan hubungan dalam bentuk undi menentang kerajaan.

“Sebab itu kita lihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kebanyakan undi masyarakat di bandar tidak memihak kepada Barisan Nasional dan di sinilah kita perlu lakukan sesuatu agar hubungan emosi antara kerajaan dengan masyarakat dapat diwujudkan,” katanya.

Katanya, tujuan kerajaan adalah setiap inci bandar akan diwakili seorang JPP dan akan bekerjasama dengan PBT serta menjalin hubungan rapat dengan kerajaan pusat.

“Perlantikan mereka akan dibuat melalui Kerajaan Pusat di mana bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha akan diberi elaun bulanan manakala jawatankuasa turut menerima elaun kehadiran mesyuarat,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, apa yang dilaksanakan nanti selaras dengan objektif di bawah kementeriannya untuk mensejahterakan bandar yang selama ini hanya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tugasnya tidak begitu khusus seperti fungsi JPP yang akan ditubuh nanti.

“Kita harap adanya jawatankuasa itu, masyarakat dikawasan bandar dapat menyalurkan segala pemasalahan yang timbul terus kepada wakil JPP untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.
 

Reka bentuk flora, fauna memihak Ketengah bergelar juara

Oleh: Aida Abd Rahman

Reka bentuk bot bertemakan spesies flora dan fauna yang menghuni di Tasik Kenyir berjaya melonjakkan nama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk dinobatkan sebagai pemenang utama Pertandingan Bot Berhias 2013, sekaligus mengetepikan 11 bot berhias yang lain.

Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, berkata pihaknya cuba belajar dari pengalaman dan kelemahan pada penyertaan di pertandingan yang sama tahun lalu, apabila hanya sekadar di tempat kelima, sehingga berjaya merangkul kejuaraan pada kali ini.

“Kita berusaha menghasilkan suatu yang menarik dan memberi impak yang besar kepada pelancongan di Tasik Kenyir dan bagi penyediaan bot ini kita membelanjakan hampir RM100,000 keseluruhannnya.

“Konsep kita pada tahun ini menggabungkan keseluruhan keindahan Tasik kenyir dalam satu hab eko-pelancongan di mana kesemua unsur dan keunikan dari segi flora, faunanya serta keindahan alam semula jadi digabungkan dalam satu reka bentuk,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan Pertandingan Bot Berhias 2013, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Haji Wan Mat Amin berkata, pihaknya juga menggabungkan projek Kenyir Island Hoping, Santuari Gajah dan Pulau Bebas Cukai dalam reka bentuk bot berkenaan sebagai satu tarikan utama pelancong ke pulau buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

 “Idea menghasilkan reka bentuk dan hiasan itu datang dari kakitangan Ketengah sendiri dan seramai 20 pekerja menyiapkannya sejak penyertaan mula dibuka kepada semua peserta pertandingan itu,” katanya.


Stage 9 MARAN - TEMERLOH












Pendidikan berkualiti lahir modal insan berkemahiran tinggi

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh kerana menyedari bahawa pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu- satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing.

YB Ghazali sampai hadiah kepada pemenang pertandingan GSP di TH Hotel
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata, modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

”Di bahu merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Membangunkan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi Geometer’s Sketchpad (GSP) Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2013 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Exxonmobil Malaysia di Hotel Tabung Haji,Gong Badak Kuala Terengganu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Encik Hashim Mohd Zin; Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan, Subsidiari-subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Cik Nor Hawa Mohd Yunus dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Haji Mat Sor Ismail.

Katanya, usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah bermula sejak empat tahun lalu dengan melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

”Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negeri dan sokongan padu seluruh warga pendidikan, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan dengan kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya ditingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai'ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana,” katanya.

Menurutnya, GSP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2002 merupakan satu perisisan dinamik berbantukan komputer yang dapat membantu pelajar menerokai pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dengan lebih menarik.

 ”Sekali gus menjadi penanda aras melahirkan generasi berilmu pengetahuan tinggi, mempunyai sahsiah diri sejajar dengan tuntutan Islam sebagai aset negeri dan negara. Berdasarkan fakta sejarah dan kecemerlangan pendidikan semasa, wajarlah negeri Terengganu dikenali sebagai negeri anjung ilmu,” katanya.



Kedudukan tiga tangga teratas LAJSM 2013 milik pelari Kenya

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kedudukan tiga tangga teratas Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2013 menjadi milik pelari Kenya apabila mendominasi kategori utama lelaki dan wanita terbuka antarabangsa pada perlumbaan sejauh 42 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Dataran Batu Burok.

Pelari Kenya mendominasi Larian Jambatan Sultan Mahmud 2013 di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Juara menjadi milik pemuda yang bernama Josphat Kiptanui Too Chobei setelah berjaya menamatkan larian dengan catatan masa dua jam tujuh minit dan 31 saat sekaligus mengenepikan rakan senegaranya, Samoi John Kprop dan David Musyoki Mailu apabila masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga dengan masa 2:07: 51s serta :08:08s.

Josphat Kiptanui menerima hadiah wang tunai US$7,500 (RM24,000) manakala Samoi John (US$5,000 – RM16,000) dan David Musyoki (US$3,000 – RM9,600).

Josphat Kiptanui berkata, dia membuat persediaan selama tiga bulan sebelum menyertai larian tersebut dan sangat gembira kerana berjaya mencipta kemenangan pertama di Terengganu sekaligus mengharapkan dapat mengekalkan kejuaraan berkenaan pada tahun depan.

"Ini adalah kemenangan kedua saya selaku juara untuk tahun ini selepas kejohanan di China pada Mei lalu dan mempraktikkan pengalaman itu pada larian ini,"katanya ketika ditemui pemberita sejurus menamatkan perlumbaan itu, baru-baru ini.

Pada kejohanan anjuran kerajaan negeri bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013 , lebih 8,011 peserta yang terdiri daripada pelumba profesional dan amatur termasuk 142 pelumba luar negara dan 298 peserta orang kurang upaya (OKU) menyertai perlumbaan sehari itu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin.

Dalam pada itu, pelumba Kenya, Kiplo Jacquiline Nyetipei memenangi kategori wanita dengan catatan masa dua jam 30 minit dan 10 saat mengatasi dua lagi rakan senegara, Koros Makmila Jerotich (2:30: 18s) serta Fridah Chepkite Lodepa (2:34:36s).

Surirumah berusia 29 tahun itu menerima hadiah wang tunai US$5,000 (RM16, 000) manakala Koros Makmila (US$3,000 – RM9,600) dan Fridah Chepkite (US$2,000 – RM4,800).

Kiplo Jacquiline berkata, hadiah kemenangan yang diraihnya itu sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan suaminya dan keperluan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di Kenya.

Katanya, ia adalah kali keempat dia menyertai kejohanan larian di Malaysia dan pertama kali menyertai larian Jambatan Sultan Mahmud ini dengan meraih tempat pertama.

"Walaupun saya memenangi kategori ini namun saya agak tidak berpuas hati dengan masa yang dicatatkan ini bukanlah catatan yang terbaik saya berbanding sebelum ini.

 "Saya mengambil masa hampir tiga bulan sebagai persediaan menyertai marathon ini, sehari saya akan berlatih selama dua kali untuk meningkatkan stamina,"katanya.

Pelari jarak jauh dari Kuala Lumpur, R Venugopal pula memenangi perlumbaan bagi kategori lelaki terbuka manakala, Noor Amelia Musa mengekalkan kejuaraan tahun lalu dalam kategori wanita terbuka dan masing-masing menerima wang tunai RM8,000 setiap seorang.

Bagi kategori OKU pula, juara tahun lalu, Daniel Lee sekali lagi mengungguli acara lelaki setelah menamatkan larian sejauh 5 km dengan catatan masa 18 minit 39 saat manakala Norizan Daud mendominasi kategori wanita dengan masa 26 minit 35 saat dan menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

 

Bot berhias mampu tarik pelancong

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Langkah kerajaan negeri menganjurkan Pertandingan Bot Berhias, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi, bukan saja mampu menarik minat lebih 5,000 pengunjung menyaksikan pertandingan itu, malah membantu melonjakkan Terengganu di mata pelancong.

 Pertandingan sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-51 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertemakan `Daulat Tuanku, Tahun Melawat Terengganu 2013’ disertai 12 bot dari pejabat daerah serta lima jabatan serta agensi kerajaan.

 Program yang diadakan itu menonjolkan produk-produk pelancongan, seni, budaya dan warisan Terenggganu bersesuaian dengan imej Kuala Terengganu sebagai Bandar Raya Persisir Air.

Masing-masing cuba menonjolkan motif dan keunikan melalui seni kreatif hiasan bot di mana setiap hiasan yang dipertontonkan mempunyai kesan dan maksud tersendiri.

 Dengan penglibatkan daripada pelbagai agensi, menunjukkan sokongan jitu yang sangat memberangsangkan bagi merealisasilan hasrat dan tujuan kerajaan negeri bagi menjadikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 memberi seribu satu kenangan yang amat bermakna.

 Tinjauan Teganukita, ribuan pengunjung yang hadir dilihat terpegun dengan keunikan bot berhias yang dipamerkan peserta pertandingan, yang mementingkan tata hias slogan `Negeri Cantik, Budaya Menarik’.

Seorang pengunjung Farid Hafiz Kamil, 23, dari Kampung Manir, berkata setiap kali kerajaan negeri menganjurkan pertandingan bot berhias, pasti dia bersama beberapa rakan lain tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya.

 Katanya, cukup unik dan kreatif, paling menarik , ada peserta mampu memaparkan pelbagai spesies bunga, haiwan dan tumbuhan alam semula jadi dengan hiasi lampu neon.

 “Sewajarnya program seupama ini diteruskan kerana mempunyai kelebihan tersendiri selain mampu mempromosi Terengganu di serata negeri kerana ia mendapat liputan meluas di pelbagai saluran media,” katanya.