Halaman

01 October 2013

Kedudukan tiga tangga teratas LAJSM 2013 milik pelari Kenya

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kedudukan tiga tangga teratas Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2013 menjadi milik pelari Kenya apabila mendominasi kategori utama lelaki dan wanita terbuka antarabangsa pada perlumbaan sejauh 42 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Dataran Batu Burok.

Pelari Kenya mendominasi Larian Jambatan Sultan Mahmud 2013 di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Juara menjadi milik pemuda yang bernama Josphat Kiptanui Too Chobei setelah berjaya menamatkan larian dengan catatan masa dua jam tujuh minit dan 31 saat sekaligus mengenepikan rakan senegaranya, Samoi John Kprop dan David Musyoki Mailu apabila masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga dengan masa 2:07: 51s serta :08:08s.

Josphat Kiptanui menerima hadiah wang tunai US$7,500 (RM24,000) manakala Samoi John (US$5,000 – RM16,000) dan David Musyoki (US$3,000 – RM9,600).

Josphat Kiptanui berkata, dia membuat persediaan selama tiga bulan sebelum menyertai larian tersebut dan sangat gembira kerana berjaya mencipta kemenangan pertama di Terengganu sekaligus mengharapkan dapat mengekalkan kejuaraan berkenaan pada tahun depan.

"Ini adalah kemenangan kedua saya selaku juara untuk tahun ini selepas kejohanan di China pada Mei lalu dan mempraktikkan pengalaman itu pada larian ini,"katanya ketika ditemui pemberita sejurus menamatkan perlumbaan itu, baru-baru ini.

Pada kejohanan anjuran kerajaan negeri bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013 , lebih 8,011 peserta yang terdiri daripada pelumba profesional dan amatur termasuk 142 pelumba luar negara dan 298 peserta orang kurang upaya (OKU) menyertai perlumbaan sehari itu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin.

Dalam pada itu, pelumba Kenya, Kiplo Jacquiline Nyetipei memenangi kategori wanita dengan catatan masa dua jam 30 minit dan 10 saat mengatasi dua lagi rakan senegara, Koros Makmila Jerotich (2:30: 18s) serta Fridah Chepkite Lodepa (2:34:36s).

Surirumah berusia 29 tahun itu menerima hadiah wang tunai US$5,000 (RM16, 000) manakala Koros Makmila (US$3,000 – RM9,600) dan Fridah Chepkite (US$2,000 – RM4,800).

Kiplo Jacquiline berkata, hadiah kemenangan yang diraihnya itu sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan suaminya dan keperluan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di Kenya.

Katanya, ia adalah kali keempat dia menyertai kejohanan larian di Malaysia dan pertama kali menyertai larian Jambatan Sultan Mahmud ini dengan meraih tempat pertama.

"Walaupun saya memenangi kategori ini namun saya agak tidak berpuas hati dengan masa yang dicatatkan ini bukanlah catatan yang terbaik saya berbanding sebelum ini.

 "Saya mengambil masa hampir tiga bulan sebagai persediaan menyertai marathon ini, sehari saya akan berlatih selama dua kali untuk meningkatkan stamina,"katanya.

Pelari jarak jauh dari Kuala Lumpur, R Venugopal pula memenangi perlumbaan bagi kategori lelaki terbuka manakala, Noor Amelia Musa mengekalkan kejuaraan tahun lalu dalam kategori wanita terbuka dan masing-masing menerima wang tunai RM8,000 setiap seorang.

Bagi kategori OKU pula, juara tahun lalu, Daniel Lee sekali lagi mengungguli acara lelaki setelah menamatkan larian sejauh 5 km dengan catatan masa 18 minit 39 saat manakala Norizan Daud mendominasi kategori wanita dengan masa 26 minit 35 saat dan menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.