Halaman

03 October 2013

Bangunan RM140 juta milik MBKT mula dibina

Oleh; Esah Abdullah 

Hasrat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memiliki bangunan sendiri akan menjadi kenyataan bila kerja-kerja pembinaan bangunan 31 tingkat akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bangunan yang menelan kos RM140 juta itu akan memulakan kerja-kerja pembinaannya bulan depan.

“MBKT satu-satunya majlis bandaraya yang masih tidak mempunyai bangunan sendiri, tapi InsyaAllah ia akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi,” katanya. di majlis perjumpaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) juga bakal mendapat bangunan sendiri dan kini berada pada peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan.

“Bila semua selesai ia akan dilaksanakan secepat mungkin sesuai dengan statusnya sebagai sebuah majlis perbandaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, PBT di Terengganu adalah di antara yang paling banyak mempunyai tanah lapang yang boleh dibangunkan untuk pembangunan dan sudah tentu ia sangat berpotensi untuk dijadikan aset bagi mengumpul dana PBT.

Setakat ini katanya, pembinaan bangunan dan premis perkedaian dilaksanakan secara pembiayaan bersama antara kerajaan negeri, PBT dan juga pihak kementerian.

“Melalui cara ini kita boleh membangunkan kawasan kecil bagi tujuan komersial tanpa memberi bebanan kos kepada satu pihak sahaja di samping boleh  mendatangkan pulangan kepada PBT untuk berdikari pada masa-masa akan datang," katanya.