Halaman

02 October 2013

Terengganu sasar lima juta pelancongan pada tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Terengganu menyasarkan kedatangan lima juta pelancong ke negeri itu pada tahun depan berbanding 4 juta yang datang pada tahun ini..



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat direalisasikan kerana pelbagai usaha bakal dilaksanakan untuk menarik minat pelancong ke malaysia khususnya.

 “Tahun depan akan diadakan kempen besar-besaran oleh Kerajaan Pusat sempenan Tahun Melawat Malaysia.

“Manakala kerajaan negeri pula telah berusaha gigih dengan menganjurkan lebih 30 program peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun ini, semata-mata mahu mencapai apa yang disasarkan,” katanya ketika berucap pada Program Penutup Pesta Negeri Terengganu (PPNT), di Menara Kuala Lumpur, petang ini.



 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato' Mohd Jidin Shafie Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Dato' Noorbahri Baharuddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Pesta berkenaan yang diadakan sejak 3 tahun berturut-turut, memberi impak besar dan mampu meperkenalkan produk Terengganu kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Sebagai acara kemuncak majlis penutup PPNT itu, lima penerjun profesional dari Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan terjunan dari puncak Menara Kuala Lumpur.

Mereka terjun menggunakan payung terjun yang membawa bendera Terengganu serta bendera Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan melakukan pendaratan di depan Dato’ Seri Haji Ahmad dan orang-orang kenamaan yang menunggu di perkarangan Menara Kuala Lumpur.

Menteri Besar turut memberitahu, enam bulan pertama tahun ini, hampir dua juta pelancong tempatan dan luar negara telah mengunjungi Terengganu, dan apa yang disasarkan empat juta pelancong tahun ini mampu dicapai.

 “Masih banyak lagi acara pelancongan khususnya di peringkat antarabangsa akan diadakan di Terengganu sebelum akhir tahun ini, “ katanya .