Halaman

29 September 2013

Nawi berani bersumpah tidak ditaja

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri Nawi Mohamad (gambar) menafikan bahawa beliau ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding Ketua Umno Bahagian Besut.

“Saya berani bersumpah tidak menerima duit satu sen pun dari Menteri Besar (Dato Seri Haji Ahmad Said) dan dakwaan ditaja itu juga tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2013 di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, baru-baru ini.

Katanya, beliau mengakui bahawa ada berjumpa Menteri Besar tetapi hanya untuk memaklumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut.

Katanya, Umno Bahagian Besut telah sinonim dengan peralihan kuasa ibarat resmi pelepah kelapa di mana apabila sampai masa ia akan jatuh juga, justeru baginya tidak perlu timbul isu siapa yang ingin menentang siapa.

Katanya, sebelum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Besut, beliau terlebih dahulu berbincang dengan golongan muda dalam parti dan bahagian tersebut.

Nawi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, menang tanpa bertanding setelah pencabarnya Mohammad Pehimi Yusof yang juga Adun Jertih menarik diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Besut.