Halaman

02 October 2013

Warga KEMAS Marang terus dibela

Oleh : Amirullah Othman dan Mohd Syazni Zainudin (pelatih) 

Bagi mengenang jasa kakitangan dan guru-guru KEMAS, Pusat Kegiatan KEMAS daerah Marang akan dibina sebagai tanda terima kasih kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada warga KEMAS.

Pusat kegiatan ini akan dibina di Merchang setelah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Makluman negeri , YB A. Latiff Awang berkata pihaknya akan mengenalpasti tapak untuk membina pejabat berkenaan bagi menggantikan pejabat sedia ada yang semakin uzur.
"Saya amat terhutang budi pada warga KEMAS yang berperanan besar memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu dan mengekalkan kesinambungan pemerintahan kerajaan BN di Terengganu.

"Ini juga untuk mengenang jasa kakitangan dan guru-guru KEMAS yang bukan sahaja mengajar di Tabika pada sebelah pagi, tapi turut membantu aktiviti kemasyarakatan dan sosial pada sebelah petang dan malam", katanya di majlis Hari Potensi KEMAS Marang, di Perpustakaan Awam Marang, baru-baru ini.

Program itu turut dimeriahkan dengan acara persembahan silat dan tarian oleh kanak-kanak Tabika KEMAS.

Selain itu, KEMAS berjaya melahirkan kanak-kanak prasekolah yang begitu aktif dalam pelajaran dan aktiviti-aktiviti luar yang lain contohnya silat, tarian, teater dan sebagainya.