Halaman

30 September 2013

Sidang DUN: Tengku Zaihan mahu beri komitmen terbaik

YB Tengku Zaihan (berdiri) bersama Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, berazam memberi komitmen terbaik bagi membawa suara rakyat pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, untuk bersama-sama meneruskan khidmat cemerlang Barisan Nasional (BN) khususnya di DUN Kuala Besut.

YB Tengku Zaihan mengangkat sumpah
Ahli dewan Undangan Negeri Kuala Besut
pada Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
 Katanya, dia bersyukur ke hadrat Ilalhi dan tidak lupa kepada pengundi kawasan Kuala Besut yang mempercayai dan memberi mandat besar kepadanya untuk membuat perubahan.

 “Saya mahu menunaikan hajat pemimpin BN supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan dan membangunkan kawasan Kuala Besut.

 “Pada masa sama, bersedia mengikut apa sahaja kehendak pucuk pimpinan parti kerana matlamatnya ingin bekerja untuk rakyat.

“Agenda dan usaha dilakukan arwah,Dr A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai akan diteruskan, antaranya mendalamkan muara Kuala Besut, masalah penempatan penduduk serta meneruskan pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang DUN, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

“Saya turut merancang untuk meningkatkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan di kalangan penduduk terutama yang bergantung kepada rezeki laut dan tanaman,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai lalu, calon BN Tengku Zaihan berjaya menewaskan calon Pas, Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.

 Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi mengalahkan Azlan atau lebih dikenali Che Long yang mendapat 5,696 undi. Kemenangan Tengku Zaihan itu sekaligus mengekalkan kedudukan kerusi 17 BN 15 PR sebagaimana kedudukan asal selepas PRU13 lalu.