Halaman

03 October 2013

70 pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail berkampung di Kampung Kayu Kelat


Zahari menyampaikan hamper kepada pelajar yang terpilih menjadi anak angkat

Oleh: Mohammad Ishak 

Kegembiraan jelas terbayang pada raut wajah pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail,Kuala Terengganu sebaik sahaja menjejak kaki di perkampungan tradisional Kayu Kelat, dekat Jertih, petang ini.

Ini kerana mereka berpeluang menjadi keluarga angkat kepada penduduk kampung itu yang mempunyai kawasan pemandangan menarik berlatar belakangkan sawah padi dan bukit.

Kehadiran 70 pelajar pelbagai kaum dalam program khidmat bakti pelajar itu dikendalikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kayu Kelat dengan kerjasama IPG berkenaan.

Timbalan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Zahari Mat, merasmikan program selama tiga hari bermula hari ini dan berakhir Ahad ini.

Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Kayu Kelat, Mohamad Yusof Bidi berkata, program itu bertujuan mendedahkan penduduk setempat dengan pelajar menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh program diadakan.

Katanya, sepanjang tahun ini JKKK terbabit sudah menerima tiga program anak angkat membabitkan institusi pendidikan dan ia sebahagian usaha JKKK meningkatkan lagi program berasaskan komuniti dan pendidikan.

Sementara itu, Zahari ketika berucap merasmikan program itu mahu pelajar yang bakal menjadi penddidik dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya kehidupan msayarakat kampung berkenaan.