Halaman

30 September 2013

Sidang DUN: Tumpuan pencegahan jangkitan kencing tikus di Besut, Kemaman

Dato' Ahmad Razif
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri giat mengatur pelbagai inisiatif bagi mencegah jangkitan Leptospirosis (kencing tikus) di seluruh Terengganu termasuk memberi tumpuan di Kemaman dan Besut berikutan dua daerah itu merekod kes yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Usaha pencegahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) termasuk bergotong royong di kawasan berisiko, mengedarkan risalah dan menganjurkan kempen kesedaran bagi mengelak jangkitan penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu.

Pelajar sekolah beratur mendapatkan pass memasuki Dewan Undangan Negeri sebagai pemerhati.
Kerajaan negeri giat mencegah jangkitan kencing tikus dengan mengadakan gotong-royong membersih kawasan persekitaran.
Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) berkata sebanyak 161 kes dengan sembilan kematian pada 2011, 126 kes dengan lima kematian (2012) dan 91 kes dan tiga kematian sehingga 31 Ogos tahun ini akibat penyakit itu.

“Setakat ini, kes berkenaan banyak berlaku di dua daerah, iaitu Besut dan Hulu Terengganu pada 2011, tetapi tahun ini, setakat hari ini banyak berlaku di Kemaman dan Besut.

“Banyak langkah dilaksanakan oleh JKNT termasuk mengadakan kempen, mengeluarkan pamplet dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi yang berair, seperti sungai kolam atau paya yang persekitarannya kurang bersih, kerana kita mendapati punca jangkitan penyakit ini asasnya adalah air, selain makanan dan minuman,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Dr Haji Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal), di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata kempen kesedaran juga dipertingkatkan kepada masyarakat yang tinggal berhampiran sungai bagi mengelak dari meminum air sungai tidak terawat, mandi-manda di sungai serta berhati-hati mengunjungi kawasan rekreasi apabila terdapat luka pada fizikal.

Selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama JKNT turut melancarkan program kawalan tikus peringkat negeri, di Kemaman dengan disertai 500 orang membabitkan 20 agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan serta persatuan yang melibatkan program gotong-royong perdana.

“Selain itu, pihak Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) turut menawarkan insentif RM2 setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan kepada MBKT,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan di setiap daerah sering mengadakan gotong-royong di seluruh Terengganu berikutan kes itu di kesan di semua kawasan, bagaimanapun pada 2013, di Hulu Terengganu sudah berkurang tetapi banyak kes dikesan di Kemaman dan Besut menyebabkan usaha kawalan dipertingkatklan di dua daerah itu.

Beliau juga berharap pihak pembangkang dapat membantu kerajaan negeri bagi menjayakan program gotong-royong berikutan sehingga kini, kurang aktiviti gotong-royong diajurkan pembangkang sedangkan kes jangkitan kencing tikus dan kematian turut berlaku di kawasan pembangkang.

“Saya mengesyorkan supaya kita bersama menangani permasalahan ini, kerana kes ini bukan baru tetapi sudah lama dan di Malaysia sejak 1925 sudah dijumpai dan di Singapura 1926, tetapi disebabkan is jarang berlaku kita menyangka kes seumpama ini baru.

 “Bukan hanya tikus, binatang lain seperti kuda, anjing, khinzir, lembu juga boleh penyebab penyakit berjangkit ini,” katanya.