Halaman

30 September 2013

Mohd Noor menuju checkpoint ke-9

Oleh: Noraini Jusoh

Sila KLIK foto untuk maklumat terkini di FB Walk4Malaysia

Misi peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) Mohd Noor Mat menamatkan perjalanan dari Dataran Kuala Besut hingga ke Putrajaya kini memasuki hari kesembilan.

Mohd Nor meneruskan cabaran bermula dari Hentian Sebelah Maran menuju destinasi checkpoint ke-9 iaitu di RnR Temerloh, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Cabaran peserta Walk4Malaysia pada hari ini melibatkan jarak sejauh 32.7 kilometer (km) dengan perjalanan yang dijangka akan mengambil masa selama 7 jam 47 minit berjalan kaki.

Mohd Nor masih bersemangat meneruskan perjalanan walaupun keadaan cuaca di Pantai Timur kurang baik buat masa sekarang.

Ekoran cuaca yang kurang baik, Mohd Nor terpaksa menamatkan perjalanan lebih awal di kilometer 174.3 sebelum susur Hentian Sebelah Maran, kira-kira 6.30 petang semalam.

Justeru, bersama-samalah kita berdoa dan memberi sokongan kepada peserta Walk4Malaysia supaya selamat tiba di Putrajaya.

Bermula hari ketujuh, peserta Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur. Dari Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.