Halaman

03 October 2013

MB terharu dengan pemergian Mohd Asmui

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengucapkan takziah kepada keluarga atlet pelumba basikal Terengganu, Mohd Asmui Ali, 19, yang maut selepas terbabit kemalangan awal 11.30 pagi kelmarin.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika melawat keluarga atlet pelumba basikal yang maut  di rumah mereka di Kuala Ibai. Allahyarham Mohd Asmui (gambar kecil) terkorban ketika menjalani latihan.
Katanya, kerajaan negeri turut bersimpati dengan nasib yang menimpa remaja itu dan berharap keluarganya dapat menerimanya dengan hati yang tenang.

 "Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada sukan berbasikal negara kerana Asmui adalah seorang pelatih yang sangat berbakat.

 "Saya juga difahamkan beliau bakal mewakili Terengganu dalam sukan berbasikal pada Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan," katanya yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada kunjungan itu juga, beliau turut memberi sedikit sumbangan berupa wang tunai bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Beliau berharap persatuan berbasikal dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan atlet ketika menjalani latihan pada masa hadapan supaya insiden sebegitu tidak berulang lagi.

Mohd Asmui maut selepas terjatuh dari basikal sebelum dilanggar oleh sebuah van pengiring ketika menjalani latihan di Kilometer 71 dekat Kampung Pulau Serai Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Kolam awal pagi semalam. Sementara itu, Ali @ Awang Sulong, 68, bapa Mohd Asmui menyifatkan anaknya seorang yang gigih berusaha dalam apa jua yang dilakukan.

"Arwah memang minat dengan sukan ini sejak kecil lagi. Setiap pagi sebelum menjalani latihan, beliau akan bersalaman dan meminta maaf dengan saya.

 Namun, saya tidak sangka pada pagi kejadian, itulah maafnya yang terakhir," katanya. Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan sanggup turun padang untuk mengunjungi keluarganya