Halaman

03 October 2013

W.Nawi Sentiasa Bantu Penduduk

Teks dan gambar Aminudin.

W Nawi sedang menandatangi borang seorang penduduk.
Walaupun pernah ditohmah oleh segelintir pihak kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakan namun beliau tidak pernah berputus asa untuk terus berkhidmat kepada penduduk kampungnya malah tohmahan itu sebagai satu cabaran baginya untuk bekerja dengan lebih baik bagi mempastikan segala masalah penduduk dapat diselesaikan.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) W Nawi Awang menganggap menerima pujian atau kejian sudah menjadi lumrah hidup malah ia sudah lali dengan perkara itu. Apa yang penting baginya ialah dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk dan bersama-sama membangunkan kampung.

“Biasalah menjadi ketua ni, mana-mana tempatpun, tentu ada yang suka dan yang tidak suka. Bagi saya ia adalah asam garam menjadi Pengerusi JKKK sejak tiga penggal lalu. Saya menganggap tohmahan dan cemuhan sebagai satu cabaran untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan saya,” kata Pengerusi JKKK Felda Chalok Barat, Setiu itu.

W Nawi bantu memajukan kampungnya.
W Nawi yang mula berkhidmat sebagai ‘penghulu’ sejak hampir 15 tahun itu, beliau gembira kerana beberapa cadangan yang menjadi usulnya bersama JKKK yang lain ketika mensyuarat diadakan menjadi kenyataan antaranya ialah pembinaan bangunan baru Sekolah Agama Yayasan, perkedaian baru dan Komplek Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA).

“Bangunan Sekolah Agama Yayasan sudah lama disiapkan bagi mengantikan bangunan lama, bangunan perkedaian baru diduduki manakala bangunan Tadika sedang dalam pembinaan dan dijangka siap awal tahun depan. Kami sama-sama berusaha untuk mendapat bangunan ini dan kami bersyukur ia menjadi kenyataan ,” katanya.

Beliau yang menjadi ahli UMNO sejak berusia 21 tahun itu juga berjaya membantu lebih 10 penduduk mendapat rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lebih 30 buah rumah penduduk untuk dibaikpulih serta paling manis baginya ialah penduduk mendapat geran hakmilik tanah pada tahun 2004.

“Mereka yang layak saya meminta mereka memohon dan tugas saya ialah membantu mendapat kelulusan permohonan itu melalui wakil rakyat. Alhamdulillah mereka yang benar-benar layak sudahpun memperolehi apa yang mahukan termasuklah rumah PPRT dan membaikpulih rumah.

“Manakala geran hakmilik tanah itu juga sebahagian dari usaha JKKK yang sentiasa menyokong supaya peneroka diberi geran tanah dan akhirnya ia menjadi kenyaan pada 2004 di mana kesemua penduduk mendapat hakmilik tanah mereka,” katanya.

Perkedaian baru antara usaha JKKK
Satu-satunya yang masih ditunggu oleh penduduk, W.Nawi berkata, ialah pembinaan sebuah masjid baru bagi mengantikan masjid yang sudah lama kerana bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin bertambah terutamanya untuk solat Jumaat dan solat dua hari raya.

“Perkara ini sudahpun di dalam perhatian pihak atasan dan Insya Allah kami akan terus berusaha untuk mempercepatkan kelulusan pembinaannya bagi memenuhi keperluan penduduk," kata bapa kepada empat orang anak itu.

W Nawi berkata, sebelum bersara dari tugasnya itu, dia mengharapkan ada golongan pelapis yang benar-benar layak untuk mengantikan tempatnya kerana tugas sebagai Pengerusi JKKK ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kerajinan untuk membantu semua penduduk kampung.

"Untuk memuaskan hati semua pihak bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan usaha yang lebih. Oleh itu saya mengharapkan golongan pelapis nanti mampu melakukan sesuatu dengan baik dan sempurna supaya dapat membawa Felda Chalok Barat menjadi sebuah kampung yang maju menjelang 2020," katanya.