Halaman

29 September 2013

Wanita Umno sepakat sokong Dato' Seri Shahrizat

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua lapan bahagian Pergerakan Wanita Umno Terengganu mencapai kata sepakat untuk memberi sokongan penuh kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil meneruskan kepimpinan selaku Ketua Wanita Umno Pusat, pada pemilihan parti bulan depan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Datuk Hajah Fatimah Hamat, berkata sokongan padu itu diberikan berdasarkan kebolehan Dato’ Seri Shahrizat dalam memperkasakan Wanita Umno sudah terbukti sejak menerajui pergerakan itu.

 “Kami Wanita Terengganu sudahpun dipimpin oleh Dato’ Seri Shahrizat sejak sepenggal yang lalu dan daripada pengalaman kami bersama segala perancangan beliau begitu teratur sekali, memberi garis panduan yang lengkap untuk gerak kerja Wanita Umno di semua peringkat, bermula dari negeri, bahagian dan juga akar umbi.

“Insya-Allah kesepakatan telah kita buat di semua bahagian kami semua masih memerlukan tenaga Dato’ Seri Shahrizat sebagai ketua wanita dan kami telah membuat kata sepakat dengan sebulat-bulatnya untuk berdiri teguh bagi menyokong beliau sebagai ketua wanita bagi penggal yang akan datang,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Menteri kerja Raya, Dato’ Rosnah Rashid.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat, semua Ketua Wanita Umno Bahagian; kepimpinan Wanita Umno Bahagian, Dewan Undangan Negeri dan Cawangan seluruh Terengganu.

Datuk Hajah Fatimah berkata, gerak kerja yang dibawa oleh Dato' Seri  Shahrizat juga amat tersusun, teliti dan jelas yang merangkumi semua peringkat dalam pergerakan yang membolehkan jentera Wanita melaksanakan kerja sebaik mungkin.

Beliau juga yakin Dato’ Seri Shahrizat mampu meneruskan agenda transformasi yang diingini oleh Umno, sekaligus memperkasanan peranan wanita di negara ini.