Halaman

30 September 2013

Sidang DUN: LPT fasa II dijangka siap akhir tahun depan

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ir Rosli
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bahawa semua 16 pakej fasa II Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

 Katanya sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap dan kerajaan mengetahui rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya itu siap dengan kadar segera.

“Projek itu terbahagi kepada 16 pakej sepanjang 184 kilometer (km) iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus,” katanya yang menjawab soalan Azan Ismail (Pas-Bandar).

Persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar.

Sehingga kini, sembilan daripada 16 pakej LPT 2 telah siap.
Katanya, untuk makluman, perbelanjaan LPT itu membabitkan kos RM 2.63 bilion yang ditanggung kerajaan pusat melalui dana khas.

“Kita meminta pihak Lembaga Lebuh Malaysia dan JKR supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun lepas.

 “Kemudahan LPT ini menjadi alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan di jalan pantai (Kuala Terengganu-Kuantan) terutama pada musim perayaan apabila orang ramai bersesak-sesak memasuki dan meninggalkan Terengganu,” katanya.