Halaman

02 October 2013

Wanita wujud lebuh raya politik

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu mewujudkan lebuh politik bagi memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini.

“Sebagai pemimpin akar umbi dan Ketua Wanita, saya mengenali hampir semua wanita di cawangan dan juga bahagian dari Perlis hingga Sabah dan bukan pada hari ini sahaja, malah sudah kerap kali saya turun ke negeri-negeri. Jadi pemimpin wanita dan Exco sudah mewujudkan lebuh raya politik, di mana memihak kepada pembabitan wanita.

“Pada hari ini, empat tahun kebelakangan ini, wanita diberi tempat yang dihormati, jentera wanita dapat pengiktirafan, calon-caloin kita pada Pilihan Raya Umum ke-13 (RU13) lalu, tidak kurang hebat, di semua negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN), ada Exco Wanita, jadi saya sebagai ketua saya wujudkan lebuh raya bersama pasukan exco, jadi terpulang kepada pemimpin dan ahli-ahli wanita di peringkat akar umbi untuk membawa kenderaan yang bersesuaian bergantung kepada kemahiran, kepakaran dan cara masing-masing,” katanya.

Dato’ Seri Shahrizat berkata dengan adanya lebuh raya politik memudahkan beliau untuk berhubung dan memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta ahli wanita seluruh Malaysia memandangkan sukar untuk bertemu seorang demi seorang ahli wanita secara langsung.

Katanya, Wanita Umno juga tidak akan meminggirkan golongan yang berumur dan berpengalaman kerana setiap mereka mempunyai keistimewaan dan tempat yang sewajarnya.

“Jangan ketepikan pemimpin-peminpin wanita yang berumur, saya tidak rela mana-mana pemimpin wanita berumur dipersendakan, jangan buat begitu.

 “Struktur Umno Wanita memang cantik, Puteri jaga yang muda, Wanita jaga yang pertengahan dan berumur. Jadi jangan sesiapa nak mempersendakan ahli wanita yang berumur kerana jasa mereka terlalu banyak kepada negara dan mereka masih mampu berganding dengan pemimpin yang muda,” katanya.

Menurutnya, Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin muda yang perlu saling berganding bahu dengan wanita yang berumur dan berpengalaman supaya gabungan itu mampu membentuk satu pasukan yang mantap serta dapat merealisasikan pelbagai hasrat demi memperkasakan peranan wanita di Malaysia.