Halaman

01 October 2013

Reka bentuk flora, fauna memihak Ketengah bergelar juara

Oleh: Aida Abd Rahman

Reka bentuk bot bertemakan spesies flora dan fauna yang menghuni di Tasik Kenyir berjaya melonjakkan nama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk dinobatkan sebagai pemenang utama Pertandingan Bot Berhias 2013, sekaligus mengetepikan 11 bot berhias yang lain.

Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, berkata pihaknya cuba belajar dari pengalaman dan kelemahan pada penyertaan di pertandingan yang sama tahun lalu, apabila hanya sekadar di tempat kelima, sehingga berjaya merangkul kejuaraan pada kali ini.

“Kita berusaha menghasilkan suatu yang menarik dan memberi impak yang besar kepada pelancongan di Tasik Kenyir dan bagi penyediaan bot ini kita membelanjakan hampir RM100,000 keseluruhannnya.

“Konsep kita pada tahun ini menggabungkan keseluruhan keindahan Tasik kenyir dalam satu hab eko-pelancongan di mana kesemua unsur dan keunikan dari segi flora, faunanya serta keindahan alam semula jadi digabungkan dalam satu reka bentuk,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan Pertandingan Bot Berhias 2013, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Haji Wan Mat Amin berkata, pihaknya juga menggabungkan projek Kenyir Island Hoping, Santuari Gajah dan Pulau Bebas Cukai dalam reka bentuk bot berkenaan sebagai satu tarikan utama pelancong ke pulau buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

 “Idea menghasilkan reka bentuk dan hiasan itu datang dari kakitangan Ketengah sendiri dan seramai 20 pekerja menyiapkannya sejak penyertaan mula dibuka kepada semua peserta pertandingan itu,” katanya.