Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Membangunkan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi Geometer’s Sketchpad (GSP) 2013.
SMK Dato’ Razali Ismail menang bagi kategori SMK Rendah dan SBPI dalam kategori SMK Atas membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, sijil dan wang tunai.
Manakala bagi kategori jemputan Zon Timur, SMK St. Thomas Kuantan muncul juara menengah atas dan SMK Dato’ Razali Ismail juara kategori menengah rendah.
Pertandingan membangunkan bahan pembelajaran kendiri matematik menggunakan aplikasi GSP ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi peluang kepada pelajar SMK di negeri ini menyerlahkan bakat dan kreativiti serta imaginasi masing-masing.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin berkata melalui pertandingan ini dapat membantu pelajar untuk menguasai kemahiran dengan cara membangunkan bahan bantu belajar untuk subjek matematik serta bidang berkaitan menggunakan perisian GSP selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menzahirkan ‘Terengganu negeri Anjung Ilmu’.
“Program ini mendapat pembiayaan sepenuhnya dari Exxonmobil adalah salah satu elemen yang terdapat dalam Program Intelek Matematik (PRIME 2013),” katanya di majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Hotel Tabung Haji, Gong Badak Kuala Terengganu hari ini.
Katanya dalam pertandingan tahun ini terdapat 124 pasukan yang mengambil bahagian terdiri dari kategori Menengah Rendah dan Menengah Atas yang melibatkan 369 orang murid dari 73 buah sekolah seluruh negeri.
Menurutnya, pertandingan yang masuk tahun ketiga ini turut memperkenalkan pertandingan jemputan Zon Timur yang melibatkan dua wakil untuk setiap kategori dari tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.