Halaman

29 September 2013

UMT tubuh pusat penyelidikan

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang menubuhkan Pusat Penyelidikan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi menjalankan penyelidikan ekosistem hutan dan ekotouris (air).

 Ketua Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu, Terengganu 2012, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad berkata, kerajaan telah meluluskan dana RM8 juta untuk saintis melakukan penyelidikan di Terengganu.

 Ekoran jumlah yang begitu besar diberikan kerajaan, sebuah pusat penyelidikan telah pun diluluskan untuk dibina di Tasik Kenyir bagi menjalankan penyelidikan di tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

“Daripada jumlah (RM8 juta) yang diberikan itu, kami akan menyediakan prasarana seperti makmal, asrama, dan juga alatan penyelidikan.

 “Ini kerana, kita melihat cadangan kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk membangunkan Tasik Kenyir sangat baik dan sebagai saintis kita cuba membantu apa yang patut,” katanya pemberita, baru-baru ini.

Dr Abdul Latiff, kepakaran luar juga mungkin akan dibawa masuk sekiranya kekurangan saintis, tetapi akan mengutamakan kepakaran anak watan terlebih dahulu.

 “Buat masa ini, kita akan cari ‘orang dalam’ yang bersesuaian seperti dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan UMT sendiri, sebelum membuat keputusan untuk mengambil pakar luar,” katanya.

 Dalam waktu sama, penyelidikan juga akan dilakukan bagi keperluan ekotouris, bioteknologi, ubatan-ubatan yang menggunakan khazanah hutan, termasuk bagaimana untuk menjamin pertambahan ikan di tasik berkenaan.