Halaman

03 October 2013

Malaysia menang kerusi ICAO

Oleh: Noraini Jusoh

Malaysia berjaya memenangi kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk penggal 2013-2016, kategori Bahagian III pada 1 Oktober 2013 lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kejayaan itu diumumkan dalam satu majlis pengundian Ahli Majlis ICAO di Montreal, Kanada yang turut dihadiri wakil dari 191 negara seluruh dunia.

"Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada industri penerbangan awam negara dan merupakan satu kebanggaan bagi Kementerian Pengangkutan sendiri kerana persaingan begitu hebat tetapi kita berjaya untuk mendapatkan kerusi.

"Saya mendapat ucapan tahniah dari semua yang terlibat dalam industri penerbangan dan saya percaya bahawa kejayaan ini dapat melonjakkan lagi kedudukan kementerian kepada tahap yang lebih tinggi lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan di TH Hotel & Convention Centre Terengganu, semalam.

Menurut beliau, antara faktor yang membolehkan Malaysia mendapat pengiktirafan tersebut adalah disebabkan kestabilan, keamanan dan tumpuan negara kepada agenda yang lebih luas bukan sahaja di negara ini tetapi serantau dan di peringkat antarabangsa.

 "Rantaian-rantaian inilah dan penghormatan negara-negara lain terhadap Malaysia memberikan sedikit kelebihan kepada kita,” ujarnya.

Katanya, usaha merebut kerusi Majlis ICAO kali ini melihatkan persaingan yang paling sengit di mana 13 buah kerusi dipertandingkan di kalangan 191 negara ahli ICAO.

ICAO adalah sebuah badan khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 1944 untuk mempromosikan pembangunan dan keselamatan awam di seluruh dunia.

ICAO yang berpangkalan di Montreal, Kanada mempunyai tujuh pejabat serantau di seluruh dunia yang bertanggungjawab menetapkan piawaian dan perundangan berkaitan keselamatan udara, keberkesanan dan perlindungan alam sekitar dalam sektor penerbangan komersial.