Perkedaian turut dibina di kawasan Agropolitan Besut-Setiu. |
Tinjauan Teganukita mendapati rata-rata penduduk gembira kerana kerajaan negeri memilih Setiu sebagai tapak projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu yang memberi peluang kepada 100 penduduk di Setiu dan Besut mendapatkan pekerjaan.
Seorang pemuda, Ahmad Amsar, 25, dari Bandar Permaisuri, berkata, jika sebelum ini nama Panchor Bederu tidak dikenali ramai malah ramai juga yang tidak tahu di mana lokasinya tetapi dengan wujudnya ‘perkampungan’ Agropolitan itu, mereka mula mengetahui lokasinya.
“Projek ini memberi ‘tuah’ kepada penduduk daerah Setiu terutamanya kepada peserta yang terpilih, selain mereka dapat menduduki rumah baru yang serba lengkap, peserta juga mendapat gaji yang agak lumayan berbanding sebelum itu.
“Projek ini juga menaikan nama Panchor Bederu yang sebelum ini tidak ramai yang mengetahuinya, kini seluruh Malaysia mengenalinya sebagai satu tempat projek ECER( Wilayah Ekonomi Pantai Timur), sekaligus menaikan nama daerah Setiu,” katanya.
Sulaiman Mamat. |
“Seluruh penduduk menyambut baik langkah kerajaan memilih Panchor Bederu sebagai lokasi projek ini. Bagi pemuda yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, ini adalah peluang terbaik bagi mereka.
“Dengan wujudnya projek ini, ia boleh membantu 100 pemuda di daerah ini dan Besut yang sudah mendirikan rumahtangga untuk menjalani kehidupan yang lebih terjamin dengan terus dapat menduduki rumah baru yang selesa dan memperolehi pendapatan yang menjamin masa depan,” katanya mengenai projek agropolitan ketiga dari ECERDC itu.