Halaman

05 October 2013

Program pemeriksaan kesihatan percuma bantu komuniti


Oleh: Noraini Jusoh

Program Kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) dan Media Prima Berhad bersama komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berlangsung sehari di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Telaga Daing, hari ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri, Klinik Kesihatan Teluk Ketapang dan juga Unit Perubatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mengadakan program kesihatan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya berbesar hati menerima kedatangan pihak IJN untuk memberikan rawatan secara percuma kepada penduduk setempat.

“Disamping pemeriksaan kesihatan biasa, turut diadakan pemeriksaan menyeluruh termasuk pemeriksaan kesihatan melibatkan masalah jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Katanya, secara tidak langsung program itu turut memberi galakan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk membantu komuniti setempat.

“Penglibatan kepada rawatan dan juga pemeriksaan seharusnya melibatkan semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan sahaja,” ujarnya.

Menurut beliau, program tersebut diadakan secara tahunan untuk meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan.

“Masalah kesihatan amat kritikal dan akan melibatkan kos yang tinggi apabila melibatkan rawatan.

 “Saya merasakan langkah pencegahan awal adalah lebih baik, justeru inisiatif bagi mengadakan program pencegahan iaitu melalui pemeriksaan kesihatan khususnya untuk penduduk di Dun Seberang Takir diadakan pada setiap tahun,” ujarnya.


Pada majlis perasmian tersebut, Koperasi Warisan Seberang Takir menerima peruntukan untuk menguruskan dan menambah peralatan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia sebanyak RM187,291 dan bantuan geran tahunan sebanyak RM100,200 daripada Pejabat YAB Perdana Menteri Malaysia.

Dato’ Razif berkata, dengan bantuan yang perolehi diharap dapat memudahkan lagi pihaknya menggerakkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia dengan lebih efektif.

 

Program Keluarga Bahagia dapat sambutan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Ariffin (kanan) menyampai hadiah pemenang cabutan bertuah.
SETIU: Keperihatinan kepada kesihatan membuatkan kira-kira 200 penduduk Felda Chalok Barat di sini hadir menjayakan program Keluarga Bahagia anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, yang diadakan di dewan Sekolah Agama Rakyat, hari ini.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Chalok Barat dan Komuniti Cakna Setiu itu bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 1 tengahari.

Antara penduduk yang hadir.
Perasmian program dilakukan oleh Pengurus Felda Chalok Barat, Ariffin Muhammad. Dalam ucapanya, Ariffin berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan kerana menganjurkan program itu dan mengharapkan penduduk yang hadir memanfaatkan apa yang mereka perolehi sepanjang mengikuti program.

“Program ini banyak manfaatnya, selain memprolehi banyak ilmu melalui ceramah dan penerangan yang disampaikan, ianya juga dapat menentukan status kesihatan seseorang melalui pemeriksaan yang dijalankan samada sihat atau sebaliknya.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak yang menjayakan program ini terutamanya Pejabat Kesihatan Setiu dan JKKK,” katanya.

Pameran kesihatan turut diadakan.
Beberapa acara diadakan sempena program itu, antaranya ialah cabutan bertuah untuk penduduk yang hadir, pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan ceramah oleh Agensi Dadah Kebangsaan cawangan Setiu.

Seorang penduduk. Abdullah Hassan, 70, berkata dia hadir ke majlis itu adalah atas kesedaran diri untuk mendapat pemeriksaan kesihatan dan mendengar ceramah yang disampaikan.

“Setakat ini saya belum mendapat apa-apa penyakit melalui pemeriksaan lepas di klinik. Oleh kerana sudah lama tidak membuat pemeriksaan, saya datang ke sini hari ini untuk membuat pemeriksaan semula, saya harap saya tidak ada penyakit yang teruk-teruk seperti darah tinggi, jantung atau kencing manis,” katanya.


Mahu lima terbaik 'Sultan Mizan Cup'.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Ziyad
LEMBAH BIDONG: Dua peserta remaja Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2013 berhasrat untuk mendapat sekurang-kurangnya tempat kelima terbaik kejohanan itu yang akan memulakan pertandingan mereka pada petang ini.

Muhd Ziyad Muhd Hamzah, 18, dari Langkawi Team yang mula aktif bermain kuda pada usia tujuh tahun itu, berkata dia mengharapkan kejohanan kali ini akan mempertingkat namanya dalam bidang sukan kuda lasak, sebagai permulaan baginya untuk mencapai kedudukan terbaik dalam kejohanan akan datang.

“Ini kali ke empat saya menyertai kejohanan ini dan kali ini saya mahu kelompok lima terbaik kerana saya yakin dengan prestasi saya sebelum ini,” katanya yang berjaya menduduki tempat keempat dalam satu kejohanan dunia di Perancis baru-baru ini.

Ziyad yang ditemani pengurusnya, Eliza Muhammad, berkata selepas memenangi tempat keempat di kejohanan dunia itu, dia semakin bersemangat untuk membaiki kedudukannya dalam kejohanan pada tahun ini dan sudah memulakan latihan sejak awal tahun lagi.

“Saya sudah mahir dengan trek ini selepas empat kali menyertainya dan saya mengharapkan kejohanan kali ini akan memihak kepada saya untuk mendapat tempat lima terbaik,” katanya yang berhasrat mahu menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Bukit Jalil itu.

Aseef
Sementara itu,Mohd T.Aseef Abdul Mutalib, seorang peserta termuda kejohanan yang berusia 16 tahun juga akan memberi tentangan hebat kepada peserta yang jauh lebih berpengalaman darinya dalam kejohanan kali ini.

“Saya bersemangat tinggi untuk memulakan pertandingan pada petang ini, kalau boleh saya juga mahukan kedudukan yang selesa sekurang-kurangnya lima terbaik kerana saya sudah bersedia untuk menyertai kejohanan ini. Kejohanan lalu saya dapat tempat ke 13,” katanya yang mewakili kelab Al-Khamsa itu.

'BBQ' Pertandingan Kuda Lasak meriah.

Tek dan gambar Aminudin Ismail.

Menteri Besar (kiri) menerima sumbangan cek dari Tenaga Nasional Berhad.
LEMBAH BIDONG: Kira-kira 500 tetamu jemputan termasuk peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2013 hadir pada Majlis Jamuan Makan Malam bagi meraikan peserta pertandingan itu di sini, malam semalam.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian dari Kumpulan Sutra, persembahan video kuda lasak dan penyampaian replika cek sumbangan pertandingan dari beberapa agensi kerajaan dan swasta kepada MB.

Selepas menikmati makan malam, Menteri Besar sempat bergambar kenangan bersama peserta pertandingan sebelum majlis berakhir.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Zubir Embong, dua exco kerajaan negeri,  Rozi Mamat dan Dato'Ahmad Razif Abdul Rahman, Pegawai Daerah Setiu dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar Majlis Makan Malam Pertandingan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2013 yang sempat dirakamkan Teganukita:
Ahmad bergambar kenangan bersama peserta
Ketibaan MB di majlis makan malam.
Ahmad (kiri) bersama Zubir dan Ahmad Razif.
Sebahagian para jemputan yang hadir.
Antara tetamu yang hadir.
Peserta dari Thailanda sedang memilih makanan.
Persembahan tarian dari Sutra.


04 October 2013

36 pasangan suami isteri ikuti kursus Pasca Perkahwinan


Pakar sakit puan Dr Ismail Tamby turut menyampaikan ceramah

Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang menyertai Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon bersamapasangan masing-masing ada sesuatu yang amat menyeronokkan dan meninggalkan kesan yang amat dirasai kepada setiap peserta.

Program anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sememangnya menarik dan tidak menghampakan peserta walaupun jadual program amat ketat.

Seramai 72 peserta membabitkan 36 pasangan suami misteri dipilih menyertai program tiga hari yang berlangsung di sebuah hotel di Pulau Langkawi.

Setiausaha PPKM Terengganu, Abdul Halim Mohamad berkata, sepanjang mengikuti program berkenaan peserta dapat menghayati detik permulaan perkahwinan sehingga pada usia sekarang.

Katanya, modul yang diperkenalkan oleh YPKT amat menarik dan berkesaan sehingga peserta walaupun sudah berusia tetapi tidak jemu sebaliknya menghayati setiap edisi program dengan penuh minat.

Menurutnya, melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan peserta menunjukkan sikap sporting dan tidak malu-malu untuk melakukan sesuatu termasuk lakonan semula perkahwinan untuk mengingati peristiwa silam.

Beliau berkata, program seumpama itu yang julung kali disertai ahli persatuan mampu menimbulkan nastolgia silam selain menjadikan pendidikan berumah tangga yang sempurna menjadi asas untuk terus kekal sebagai pasangan suami isteri hingga ke akhir hayat.

Peserta Walk4Malaysia ‘tawan’ Putrajaya

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Selepas 13 hari berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer tanpa menghiraukan hujan dan panas serta pelbagai cabaran lain, akhirnya peserta Program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang diketuai Mat Noor Mat, akhirnya berjaya ‘menawan’ Putrajaya, hari ini.



Ketibaan Mat Noor yang kini sudah melunaskan nazarnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil Kuala Besut (PRK) baru-baru ini, disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ M Saravanan di perkarangan pejabat Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, jam 11.35 pagi ini.



Hadir sama menyambut ketibaan peserta Walk4Malaysia ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Nawi Mohamad dan beberapa ketua jabatan serta pemimpin Umno.

Peserta Walk4Malaysia memulakan cabaran untuk berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut hingga ke Putrajaya pada 22 September lalu dan mereka singgah di lebih daripada 10 lokasi sebelum menamatkan perjalanan.



Mereka diberi sambutan meriah di setiap lokasi yang dirancang di negeri Terengganu bagi memberi peluang penduduk tempatan memberi sokongan kepada program berkenaan.

Mat Noor telah bernazar untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika BN menang PRK Kuala Besut dan kerajaan negeri membantu beliau merealisasikan nazar tersebut dengan cara mengadakan Program Walk4Malaysia.

Di sepanjang perjalanan ke Putrajaya beliau di beri sokongan moral apabila atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) turut berjalan kaki menemaninya sepanjang misi tersebut.

Program ini telah mendapat pujian Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak kerana ia melambangkan kegigihan dan semangat waja rakyat Malaysia.





Lebih 300 hadir Forum Islam TrgFM

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Ustaz Kamalrudin (kanan),bersama Ustaz Suhaimi dan Ustaz Norharmizi.
Sebahagian pelajar yang hadir,
SETIU: Walaupun hujan, namun lebih 300 hadir memenuhi ruang sembahyang Masjid Kampung Banggol, di sini untuk mendengar Forum Islam yang bertajuk Korban Jihad yang dipengerusikan oleh Ustaz Suhaimi Endut, malam semalam.

Forum anjuran Terengganu FM dengan kerjasama Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kg.Banggol, Masjid Kampung Banggol dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg.Banggol untuk siaran radio itu dirasmikan oleh Adun Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Jurukamera RTM.
Ahli panel forum itu ialah Ustaz Norharmizi Jamaludin, seorang penceramah agama dan Kamalrudin Omar, Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Terengganu.

Ustaz Noharmizi yang memulakan ucapanya mendifinasikan makna jihad ialah bersusah payah, berlebih-lebih dan berungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu.

Katanya, jihad itu ialah bersungguh-sungguh untuk menegakan agama Allah. “Jihad fisabilillah pula ialah berjihad berperang dengan orang-orang kafir untuk menegakan agama Allah s.w.t. Bagaimanpun, menurut beberapa ulama’ , jihad itu perlu diperluaskan maknanya, selain berperang ia juga adalah usaha gigih kita dalam melaksanakan sesuatu untuk mencari reda Allah,” katanya.

Tiga pelajar kyusuk mendengar ceramah.
Sementara itu, Ustaz Kamalrudin antara lain memberi beberapa contoh pengorbanan antaranya ialah korban yang dilakukan ibubapa untuk membesarkan anak-anak dan pengorbanan isteri terhadap suami. Beliau juga mengaitkan pengorbanan Siti Sarah isteri Nabi Ibrahim yang merestui perkahwinan suaminya dengan Siti Hajar.

Forum yang turut dihadiri lebih 150 pelajar dari Sekolah Menengah Sains Setiu (SAIS), Sekolah Menengah Saujana (SMJ) dan Sekolah Menengah Tengku Ibrahim (SMTI) itu tamat kira-kira jam 11.30 malam.

 

Stage 12: STADIUM BUKIT JALIL - PUTRAJAYA












IQT sasar seorang hafiz setiap keluarga


Institut Al-Quran Terengganu (IQT) menyasarkan melahirkan seorang hafiz Al-Quran setiap keluarga bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi peneraju Quraniyah.

Pengarahnya Datuk Dr Alias Abdullah berkata di samping ilmu pengetahuan umum, ilmu Al-Quran juga penting dalam membentuk masyarakat.

 "Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai ilmu dunia, tetapi juga mempunyai ilmu akhirat, supaya Al-Quran dapat menjadi pembimbing hidup kita," katanya, baru-baru ini.

IQ Terengganu juga berhasrat menjadi tempat tumpuan masyarakat dalam menuntut ilmu, katanya.

 "Pelajar yang masuk ke institut ini merupakan lulusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), mereka akan belajar di sini selama empat tahun untuk melayakkan mereka mendapat sijil.

 "Bagi masyarakat umum pula, kita menyediakan satu kuliyah khas untuk masyarakat yang berumur 18 hingga 65 tahun...melalui kuliyah ini, mereka diajar dari asas bacaan Al-Quran, termasuklah tajwid hingga ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Datuk Alias berkata program Kuliyah Al-Furqan membabitkan dua kursus iaitu Kursus Ulum Al-Quran melibatkan tahap satu hingga empat dan Kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah yang mempunyai lima tahap iaitu qiraat, bahasa Arab, tafsir, tahfiz dan tarannum.

 Menurutnya sehingga kini IQ Terengganu merupakan satu-satunya pusat pengajian di negeri ini yang menjalankan program Qiraat Sub'ah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan setiap tahun sebanyak 1,600 pelajar baharu diambil untuk pengajian itu.


Masjid Raja tersergam indah.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Masjid Raja,Bukit Besar
Ukiran kayu yang indah di bahagian belakang masjid.
SEKALIPUN dibina mengunakan rekabentuk baru dan moden namun Masjid Raja, Bukit Besar, Kuala Terengganu masih mengekalkan konsep lama iaitu mengunakan kayu yang diukir di beberapa bahagian bangunan termasuklah bahagian dinding dan belakang masjid.

Berkunjung ke masjid yang dibina pada pertengahan tahun lalu itu, kita tentu akan terpesona melihat rekabentuknya yang nampak kukuh kerana ia dibina dua tingkat di mana ruang solat di tingkat atas manakala di tingkat bawah terdapat sebuah dewan , kelas dan tempat mengambil wuduk.

Ruang pakir kereta yang luas memudahkan jemaah itu meletakan kenderaan mereka terutamanya ketika menunaikan solat jumaat dan sembahyang dua hari raya. Terdapat juga sebuah pondok rehat yang sesuai untuk rehat satu keluarga. Bilik tandasnya juga sentiasa kelihatan bersih kerana ia diselengarakan dengan baik.

Tabir yang memisahkan jemaah.
Tanpa kerjasama orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan pastinya tandas yang kawal seliapun akan kelihatan tidak bersih. Sehubungan itu, sama-samalah menjaga kebersihan masjid.

Masjid yang dibina kerajaan negeri menelan kos kira-kira RM14 juta itu dibina bagi mengantikan masjid lama yang tidak mampu menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Ruangan mimbar
Ruang solatnya boleh menampung kira-kira tiga ribu jemaah dari Bukit Besar dan beberapa kampung berhampiran antaranya ialah Pasir Panjang, Gong Kapas dan Panji Alam.

‘Buat masa ini ruang utama sahaja yang penuh ketika solat jemaah manakala ruang tambahan boleh menampung lagi 1,000 jemaah pada masa depan,” kata Pembantu Pengurusan Masjid (Tok Noja) Deraman Ibrahim yang bertugas di masjid itu sejak dibuka.

Deraman berkata, iman satu masjid itu ialah Wan Zaki Wan Ibrahim dan Mat Omar (iman 2) manakala bilalnya seramai tiga orang yang bertugas secara bergilir-gilir.

Ruang solat yang luas dan bersih.
Sementara itu seorang jemaah wanita, Zuzana Manaf, berkata, masjid ini sering mengadakan beberapa program agama antaranya ialah kuliah magrib dan subuh dan beberapa penceramah dari luar mengadakan ceramah agama di masjid itu.

“Masjid ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat malah ia turut dikunjungi penduduk luar yang datang untuk menunaikan solat fardu atau berehat selepas penat dalam perjalanan,” katanya.

Wakaf rehat.