Halaman

05 November 2013

12,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Loy Krathong terbesar di Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 12,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Loy Krathong terbesar di Malaysia yang akan diadakan di Green Acres Resort, Kuala Ibai selama dua hari bermula 8 Nov ini.

Pengerusi Tetap Persatuan Loy Krathong Kuala Terengganu, Eh Chan a/l Tom berkata pesta kali ke-14 ini merupakan pesta tahunan anjuran persatuan tersebut sejak tahun 1999 yang menghimpunkan masyarakat Siam negeri ini dan turut dihadiri masyarakat Siam dari Thailand dan negeri lain seperti Kelantan, Perlis, Kedah serta Perak.

"Pesta ini sebenarnya merupakan pesta kebudayaan masyarakat Siam yang akan disambut setiap tahun yang mana masyarakat Siam akan melepaskan krathong (perahu kecil) yang diperbuat dari bunga ke dalam air sambil berniat untuk mendapatkan sesuatu.

"Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuklah persembahan dari artis popular Thailand dan prsembahan kebudayaan tradisi Thailand," katanya.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohd Jidin Shafie akan turut hadir pada majlis berkenaan.

 "Kita juga berharap agar kerajaan negeri ini mempertimbangkan agar program ini turut dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri kerana setiap tahun sememangnya pesta ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung luar.

"Untuk tujuan pesta ini, setiap tahun kita turut membelanjakan kira-kira RM300 ribu yang diperoleh dari sumbangan orang ramai dan hasil jualan meja pada majlis makan malam," katanya.

 Eh Chan berkata, asal usul pesta kebudayaan ini disambut adalah sempena mengingati peristiwa seorang puteri di India yang mengimpikan untuk menjejak dan melihat tapak yang ditinggalkan oleh Lord Buddha di tebing Sungai Ganges namun hajatnya itu tidak kesampaian.

"Puteri itu akhirnya berniat untuk membuat sesuatu supaya niatnya akan sampai ke tapak Buddha di mana dia mencipta krathong iaitu perahu kecil dan dalam krathong ini diletakkan lilin, colok, bunga dan sebelum dihanyutkan dia berniat supaya krathong dan niatnya akan sampai ke tapak buddha tersebut," katanya.

Menurutnya, Pesta Loy Krathong ini bukan sahaja diharapkan dapat merapatkan hubungan antara masyarakat Siam di negara ini, tetapi juga dapat memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat umum.

 

5,419 layak terima wang ehsan Dun Langkap.

Oleh: Aminudin Ismail.

Dato' Sabri Mohd Nor.
LANGKAP: Seramai 5,419 penduduk di kawasan ini yang layak akan menerima wang ehsan dari kerajaan negeri bermula 11 hingga 14hb November ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor, berkata pemberian wang ehsan itu akan dilakukan di empat zon iaitu di Kampung Rahmat, Chalok Kedai, Sungai Tong dan Bukit Aman.

“Pembahagian akan dilakukan di dua sessi iaitu pagi dan petang dan kita mengharapkan ia dapat diselesaikan dalam tempoh empat hari itu,” katanya.

Sabri berkata, sumbangan ini membuktikan kerajaan begitu perihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan mereka untuk membeli keperluan harian termasuklah kelengkapan dapur.

“Saya mengharapkan rakyat dapat menmanfaatkan sumbangan dengan dengan membeli sesuatu yang berfaedah untuk keluarga masing-masing dan menghargai sumbangan kerajaan ini dengan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN,” katanya.

 

Pelan Pembangunan Bola Sepak 2014-2020 di peringkat akhir-Khairy

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Belia dan Sukan kini sedang dalam peringkat akhir pelaksanaan Pelan Pembangunan Sukan Bola Sepak 2014-2020.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pelan pembangunan ini bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara.

 "Untuk melahirkan kecemerlangan dan kegemilangan, bukan satu perkara yang mudah oleh sebab itu program ini kita libatkan kanak-kanak berusia 7 hingga 18 tahun kerana kita akan bermula dari akar umbi dan sekarang kita dalam rangka akhir untuk membangunkan pelan ini.

"Program pembangunan ini akan mencungkil bakat remaja untuk melayakkan diri dalam piala Remaja Dunia 2019," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) (KARISMA) 2013 di Dungun, baru-baru ini.

Menurutnya pelan pembangunan sukan tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Disember ini.

Khairy berkata, pihak kementerian juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu Fit Malaysia pada tahun depan.

"Program ini akan dijalankan secara berkala sepanjang tahun dan akan dilaksanakan di seluruh daerah dan negeri di negara ini.

 "Program ini bertujuan untuk melahirkan budaya bersukan yang tidak hanya memberi tumpuan kepada atlet, tetapi juga untuk diperluaskan kepada akar umbi," katanya.

Menurutnya, program ini akan meliputi empat acara sukan iaitu larian, basikal, seni mempertahankan diri serta acara yang memberi tumpuan kepada kecergasan wanita.


04 November 2013

Dun Batu Rakit terima Wang Ehsan 6 dan 7hb November.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Bazlan mempengerusikan mesyuarat pemberian wang ehsan.
SETIU: Seramai 4,040 penduduk kawasan DUN Batu Rakit akan menerima sumbangan wang ehsan dari kerajaan negeri pada 6hb dan 7hb November ini di Dewan Serbaguna Wakaf Catur, Batu Rakit,di sini.

Bazlan...4,040 penduduk layak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, berkata sebanyak RM1,138,100.00 akan diagihkan sebanyak RM300 setiap seorang kepada yang layak termasuklah golongan miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Alhamdulillah selepas menanti, akhirnya seramai 4,040 penduduk di kawasan ini layak menerima pemberian wang ehsan oleh kerajaan negeri.

"Kita membuat dua hari pembayaran iaitu pada 6hb dan 7hb November ini kerana jumlah yang agak ramai dan kita mengharapkan semuanya akan berjalan lancar pada hari tersebut.

"Pemberian wang ehsan ini membuktikan kerajaan sentiasa perihatin dengan masalah rakyat dan wang sumbangan sebanyak M300 ini akan meringankan beban penerima yang layak.

"Saya mengharapkan penduduk akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya mereka akan terus terbela dan mendapat perhatian daripada pihak kerajaan bagi menjalani kehidupan yang lebih baik secara berterusan," katanya.



Bescomm tawar kursus percuma

Oleh: Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)

Kerajaan negeri menyediakan kursus komputer secara percuma kepada penduduk negeri ini bagi melahirkan masyarakat ‘celik komputer’.

Kursus tersebut akan dijalankan di 47 buah Pusat Komunikasi Bestari(Bescomm) yang terdapat di seluruh negeri ini.

Pegawai Teknologi Maklumat,Unit Pengurusan Maklumat Negeri(UPMN), Haji Zulkifli Abdul Kadir berkata, peserta kursus juga akan diberikan sijil yang diiktiraf kerajaan negeri selepas menjalani kursus masing-masing.

“Kursus tersebut yang diadakan kurang daripada sebulan di pusat Bescomm terbuka kepada semua peringkat umur, tetapi peserta perlulah melebihi tiga orang.

Sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari asas komputer, boleh menghubungi Bescomm berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan tenaga pengajar terdiri daripada pegawai terlatih yang arif berkenaan komputer dan mereka sentiasa berada di pusat itu (Bescomm).

Haji Zulkifli berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan percuma itu sejak 2003, namun mungkin ada sesetengah pihak masih tidak mengetahui secara langsung peranan Bescomm yang dikendalikan kerajaan khusus untuk rakyat.

“Saya menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan ini kerana ia percuma, selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama mendalami bidang IT,” katanya.

 

KBS cadang peguam negara dan PDRM kaji akta sedia ada berhubung isu tiket haram

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) mencadangkan agar peguam negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meminda akta sedia ada bagi memastikan kegiatan penjualan tiket bola sepak secara haram dapat dihapuskan mulai tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya memandang serius akan hal ini kerana penjualan tiket secara haram boleh dianggap sebagai satu jenayah.

"Saya difahamkan negara kita tidak ada sebarang undang-undang yang boleh dikuatkuasakan terhadap ulat tiket dan saya minta supaya pihak peguam negara serta PDRM dapat kaji undang-undang sedia ada sama ada dapat dipinda supaya penjualan tiket secara haram ini dianggap sebagai satu jenayah.

 "Kalau di England, penjualan tiket ini adalah dianggap jenayah dan polis boleh menangkap sesiapa yang menjual tiket secara haram," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup karnival sukan antara UiTM, di Dungun baru-baru ini.

Menurutnya, langkah seperti itu perlu diambil bagi membendung kegiatan ulat tiket yang berleluasa setiap tahun menjelang perlawanan akhir bola sepak di negara ini.

Tambah beliau, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu lebih jelas dan telus dengan menjelaskan jumlah tiket dan lokasi penjualan tiket supaya penyokong dan masyarakat tahu.



Asdi agih pendapatan 3 sen seunit

Tabung Amanah Saham Darul Iman (Asdi) akan membuat agihan pendapatan pada kadar 3 sen seunit, bersamaan pulangan 7.29 peratus, berasaskan pada awal tahun kewangan.

Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang juga Ahli Lembaga Pengarah PTB Unit Trust Berhad, berkata pihaknya akan membuat pembayaran sebanyak 2 sen secara tunai dan 1 sen dalam bentuk bonus unit, bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober tahun ini.

Beliau berkata, jumlah agihan tahun ini sama seperti yang dibuat pada tahun lepas iaitu 3 sen sunit.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pulangan tahun ini bagi pelabur Asdi bertambah baik iaitu 7.29 peratus berbanding tahun lalu 7.25 peratus.

Bagi tahun kewangan 2013 sehingga Oktober lalu, Asdi memperoleh pendapatan berjumlah RM16.72 juta dengan RM11.32 juta disumbangkan oleh keuntungan jualan pelaburan saham.

 

Kerajaan Terengganu biaya pesakit jantung di Sungai Limau

Penderitaan pesakit jantung cilik, Adik Nur Aini Aqila Haron Nizar, 3, dari Kampung Bukit Choras, Sungai Limau, mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu yang memutuskan untuk membiayai rawatannya di i-Heal Medical Center, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang melawat kampung berkenaan kelmarin mengumumkan pesakit berkenaan akan dihantar ke pusat rawatan milik kerajaan negeri itu, secepat mungkin.

Beliau berkata, kos rawatan perubatan dan pembedahan kanak-kanak malang itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan keluarga pesakit.

Mangsa yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia setahun setengah akan menjalami rawatan awal dalam tempoh terdekat dan menjalani pembedahan jantung di pusat berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri mengambil kesempatan melawat mangsa ketika menghadiri kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Choras.

Kira-kira 300 orang penduduk sekitar Bukit Choras yang merupakan kawasan ‘anak angkat’ Umno Terengganu turut hadir bagi memeriahkan majlis itu yang bertujuan mengeratkan tali silaturahim antara penduduk tempatan.

Menteri Besar serta rombongan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu turut mengadakan lawatan rumah ke rumah di kawasan tersebut bagi bertanyakan khabar penduduk.

Sempena lawatan Jalinan Kasih Silaturahim itu, Menteri Besar turut membawa pasukan perubatan dari Terengganu bagi memberi rawatan awal kepada pesakit yang dilawati rombongan beliau.

PSKT anjur karnival ICT

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan mengadakan Karnival Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT ) bertempat di Pusat Dagangan Terengganu selama tiga hari bermula 21 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka menyempurnakan majlis perasmian karnival tersebut.

“Pelbagai acara dan aktiviti menarik berkaitan ICT disediakan untuk pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

“Antaranya seminar keselamatan, pameran, permainan interaktif, jualan produk dan termasuk juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Ahmad Farhan, matlamat penganjuran karnival yang turut mendapat kerjasama Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) adalah untuk memperkasakan pendidikan ICT dan multimedia kepada pengunjung secara ilmiah dan lebih menyeronokkan.

 

Pulau peranginan mula ditutup pada November

Kerajaan negeri menjangkakan segala aktiviti pelancongan di pulau peranginan di Terengganu akan mula ditutup selewat-lewatnya November depan atau bergantung pada keadaan cuaca berikutan musim tengkujuh di Pantai Timur akan bermula.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, pada kebiasaannya operasi di pulau ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober.
Katanya, perjumpaan bersama pengusaha chalet, resort dan bot akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

 “Walaupun arahan belum dikeluarkan, tetapi mereka (pengusaha) telah mula membuat persediaan kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga awal Januari atau Februari depan.

“Namun sebahagian telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja," katanya.

Dato’ Mohd Jidin, berkata segala aktiviti pelancongan akan ditangguhkan dan dalam tempoh itu pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan.

“Pelancong juga sedia maklum keadaan cuaca pada musim tengkujuh di negeri ini, namun dijangkakan kehadiran pelancong tetap bertambah kerana mereka juga mempunyai alternatif lain untuk melawat negeri ini.
“Di Terengganu, pelancong boleh memilih untuk ke tempat menarik lain seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa,”

. Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

 Malah mengikut statistik, kehadiran pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari tahun ke tahun, iaitu pada 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding 2010, hanya 2.82 juta.

 Manakala, pada 2012 meningkat kepada 3.38 juta dan sehingga Jun 2013, kehadiran pelancong yang direkodkan adalah 1,862,849 juta pelancong.