Oleh: Aida Abd Rahman
"Saya tekad untuk memastikan anak-anak tidak mewarisi kemiskinan hidup akibat tiada pelajaran seperti saya.
“Kelulusan akademik yang baik dan cemerlang amat penting untuk mengubah nasib hidup seseorang serta mendapat pekerjaan yang baik, malah perkara itu juga yang selalu saya ingatkan kepada semua anak-anak,” kata Encik Kamarul Zaman Mohd Saud, 43, yang ditemui selepas menemani dua anaknya di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Exxonmobil 2013, di Taman Tamadun Islam, semalam.
Dua anak Kamarul Zaman, Mohd Amirul Iskandar, 13, dari Sekolah Menengah Mak Lagam, dan Mohd Haiqal Azreen, 11, dari Sekolah Kebangsaan Seri Gelugor, terpilih antara 264 pelajar yang cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah seluruh Terengganu.
Kamarul Zaman dari Perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Darat Kolam, Kertih bersyukur kerana kedua-dua anaknya terpilih memenangi anugerah tahunan anjuran ExxonMobil pada kali ini, sekaligus menyifatkan pengiktirafan itu sebagai membuka jalan untuk anak-anaknya berusaha lebih gigih dalam pelajaran serta mencipta lebih banyak kejayaan.
Beliau yang hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM1,000 sebulan termasuk elaun, tidak pernah kesal dengan suratan hidupnya, sebaliknya menjadikan kekurangan sebagai perangsang dan wujud rasa insaf untuk memastikan kesemua anaknya berjaya dalam hidup.
“Saya langsung tidak bersekolah, manakala isteri, Wan Zalia Wan Mohamed, 35, pun hanya belajar hingga Tingkatan Tiga. Bagaimanapun, kami sentiasa memberi perangsang kepada enam anak yang berusia 14 hingga dua setengah tahun supaya memberi tumpuan dan rajin belajar, selain patuh pada suruhan agama.
“Saya tidak mampu menyediakan kemewahan harta dan wang ringgit, tetapi dengan tulang empat kerat ini saya bekerja dan berusaha menyediakan segala keperluan kami anak-beranak terutamanya untuk pelajaran mereka mengikut kemampuan,” katanya.
Anak sulung pasangan itu turut memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dua tahun lalu dan kini bersekolah di Kolej Ilmu Permodalan Nasional Berhad, Nilai.
Kedua-dua anak Kamarul terpilih menerima anugerah berkenaan, berdasarkan kecemerlangan peperiksaan sepanjang tahun, aktif dalam kurikulum dan kepimpinan di sekolah masing-masing.
Seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.
Hadiah disampaikan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.
Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatn Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).