Halaman

18 November 2013

Hari Tongkat Putih beri kesedaran berdepan golongan cacat penglihatan di jalan raya

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai berdepan orang cacat penglihatan di jalan raya, Pertubuhan Orang-orang Buta Malaysia (SBM) menganjurkan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa 2013 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini.

Program di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu berlangsung meriah dengan pengagihan cendera hati kepada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Pengerusi SBM Terengganu, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata kempen ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada pengguna jalan raya untuk berdepan dengan golongan kurang bernasib baik seperti mereka ketika di jalan raya.

“Masih ramai pengguna yang tidak mengambil cakna kepada golongan yang kurang upaya seperti kami terutamanya di jalan raya.

“Kempen ini diadakan supaya masyarakat membuka mata dan memberi ruang agar lebih memberi keutamaan kepada kami terutamanya di kawasan terbuka seperti di jalan raya,” katanya. Selain itu, katanya statistik terkini orang cacat penglihatan di negeri ini melebihi 3,000 orang dengan bilangan ahli seramai 300 orang yang berdaftar dengan SBM.

Sehubungan itu, pada Disember ini, SBM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) akan mengadakan program Jejak Orang Buta bagi mengenalpasti dan menjejaki golongan kurang upaya ini di setiap daerah untuk didaftarkan dalam pertubuhan itu.

 

Syed Shafei tewaskan bapa saudara, penyandang Piala Mandalika di TIIAF

Oleh: Aida Abd Rahman

Hasil berguru dengan bapa saudara yang juga pemenang Piala Mandalika sempena pertandingan seni khat Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012, memberi inspirasi dan kelebihan kepada anak muda, Syed Mohd Shafie Tuan Sidi,25, untuk merampas kemenangan itu dari bapa saudaranya,Syed Ubaidillah Syed Mohamad pada tahun ini.



Syed Shafei, 25, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan untuk membawa pulang Piala Mandalika selepas menjuarai dua kategori, masing-masing siap logam dan siap kayu dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 beserta sijil.

“Ilham itu datang sendiri hasil pengamatan dan pemerhatian sekeliling. Bagi setiap kategori saya memperuntukkan masa lebih sebulan untuk menyiapkan kerja seni khususnya tulisan khat yang memerlukan ketelitian dan fokus yang tinggi sambil menjalankan pekerjaan.

“Saya memang meminati bidang ini sejak kecil dan darah seni mengalir dalam diri saya dari bapa saudara yang memang pakar di bidang itu, selain kami bekerja di syarikat pengiklanan yang sama di Kampung Simpang Tokku, Chabang Tiga, ” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah dan Majlis Penutup TIIAF 2013, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang itu hanya berpeluang mengembangkan bakat seni dan menyertai pertandingan itu sejak tiga tahun lalu, apatah lagi TIIAF baru sahaja diperkenalkan di negeri ini.

Katanya, jika pada penyertaan pertama bagi kategori siap logam di TIIAF 2011 gagal membuahkan hasil, namun penyertaan berikutnya pada tahun lalu memberinya kemenangan di tempat ketiga bagi kategori yang sama.

Syed Shafei berkata, pada kali ini juga, Syed Ubaidillah hanya mendapat hadiah saguhati, sementara seorang lagi bapa saudaranya, Syed Ibrahim Helmi Syed Mohamad, turut memenangi hadiah di tempat ketiga bagi kategori siap logam dan memperolehi wang tunai RM3,000 beserta sijil.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.



Sultan Mizan mahu Terengganu jadi destinasi pelancongan alam semula jadi terkenal dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya Terengganu yang terkenal dengan destinasi pulau, laut dan pantai yang menarik serta hutan hujan tertua di dunia bakal menjadi destinasi pelancongan alam semulajadi yang terkenal di dunia.

“Pihak penggiat industri pelancongan hendaklah kreatif dan inovatif dalam menyediakan pakej pelancongan di negeri ini selaras dengan keunikan dan kepelbagaian `bio’ yang terserlah tadi.

“Beta juga ini menyarankan supaya kerajaan negeri dapat merancang pembangunan kawasan ekopelancongan dengan terancang serta secara menyeluruh seperti kemudahan infrastruktur dan lain-lain. Manakala pihak swasta dipohon turut serta membangunkan kawasan ekopelancongan dengan menyediakan kemudahan hotel dan chalet,”titah baginda sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Baginda bertitah, dengan pembangunan yang bersepadu itu akan meningkatkan lagi industri eko pelancongan dan pelancongan marin di Terengganu.

“Beta juga mencadangkan supaya kerajaan negeri mengkaji cadangan menjadikan Setiu Wetlands sebagai kawasan Wetlands Negeri atau dunia yang sesuai untuk pelancongan yang berasaskan komuniti di mana pelancong boleh menyusuri sungai, melawat sangkar ikan dan ternakan tiram serta menanm pokok bakau.

“Begitu juga dengan aktiviti memerhati burung yang berpotensi untuk dibangunkan. Lebih daripada 230 spesies burung berjya direkodkan di Kenyir yang mana sembilan spesies daripadanya adalah burung enggang,” titah baginda.

Sultan Mizan juga mahu melihat industri menyelam merupakan insdutri pelancongan marin yang bergantung kepada pulau dan juga alam semula jadi.

Sehubungan itu, baginda menyeru supaya konsep `carrying capacity’ dan kajian alam sekitar perlu ada dalam perancangan pembangunan di pulau-pulau bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi serta kehidupan dasar laut.



Sebelum itu, baginda bertitah bahawa ekopelancongan mula diperkenalkan di Malaysia pada 1996 dalam Pelan Ekopelancongan Kebangsaan.

Pelan itu mencadangkan `Pembangunan Pelancongan Lestari di 48 kawasan di Terengganu antaranya daerah Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands yang dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin.







17 November 2013

102 graduan muda terima sijil.

Graduan Muda...seorang murid menerima sijil dari Bazlan.
Oleh: Aminudin Ismail.
Foto Ehsan: Bazlan Mustaffa.(Pejabat Dun Batu Rakit)

KIRA-KIRA 300 ibubapa hadir memeriahkan Majlis Penyampaian Sijil pada Hari Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika Kemas Dun Batu Rakit 2013 di Dewan Serbaguna Wakaf Chatur Maras, Batu Rakit, baru-baru ini.

Berucap..Bazlan merasmikan majlis.
Pelbagai acara diadakan pada majlis yang bermula jam 9.30 pagi itu, antaranya ialah persembahan murid tadika, persembahan guru tadika dan Majlis Penyampaian Sijil.

Penyampaian sijil kepada 102 murid dari seluruh Tabika Kemas Dun Batu Rakit itu itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman

"Anak-anak adalah amanah Allah, didikan yang betul adalah permulaan untuk kejayaan. Ibubapa adalah model untuk anak-anak melihat hala tuju kehidupan mereka.

"Semoga anak-anak ini akan berjaya di masa hadapan dan mejadi insan yang berguna untuk agama,bangsa dan negara," kata Bazlan.

Beratur..graduan muda beratur untuk menerima sijil.

Hadir...sebahagian ibubapa yang hadir.
Persembahan marhaban dari guru dan kakitangan Tadika Kemas.
Tahniah..Bazlah ucap tahniah kepada seorang murid.

TIIAF medan martabat kembali tulisan jawi sebagai kesenian Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) menjadi medium yang mampu memartabat dan memperkasakan kembali tulisan jawi sebagai satu kesenian Islam itu sendiri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Menerusi TIIAF kegemilangan tulisan khat cuba dimasyhurkan semula di mana penulisannya tidak hanya pada kertas, malah pelbagai medium lain turut diolah dan digunapakai seperti kanvas, kayu, serta logam.

“Pengamal seni warisan Islam merupakan golongan yang amat tinggi kefahaman nilai seni, selain kehalusan dan dapat menzahirkan kefahaman menerusi kaligrafi yang sangat indah,” katanya ketika berucap di majlis Penutup TIIAF 2013, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, hasil kerja tangan mereka ini amat unik dan tidak mudah diciplak kerana merupakan satu `signature’ yang hanya dimiliki oleh pengamal kaligrafi itu.

Selain itu, meneroka potensi perkembangan fesyen terkini menerusi ciptaan batikhat iaitu, corak batik yang bermotifkan khat merupakan satu inovasi dalam rekaan corak batik.

 “Batikhat boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana kerana batik sangat sinonim dengan negeri Terengganu serta pemakaian batik sudah diterima di peringkat dunia.

Dato' Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan seni khat berkenaan.



Seramai 502 peserta tempatan dan juga antarabangsa menyertai pertandingan itu yang terbahagi kepada beberapa ketgori termasuk karya siap (kebangsaan), karya siap (antarabangsa) dan pertandingan spontan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM100,000.







Jalan utama Kemaman-Kuala Terengganu empat lorong menjelang 2018

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memastikan jalan utama melalui pantai yang menghubungkan Kemaman ke Kuala Terengganu dinaiktaraf menjadi empat lorong menjelang 2018.

Kerja menaiktaraf jalan yang sedang giat dilaksanakan mengikut beberapa fasa sejak beberapa tahun lalu bermula dari Dungun hingga Kemaman, kini menelan belanja sekitar RM80 juta dan akan diteruskan lagi dengan peruntukan kira-kira RM40 juta.

 “Kita sedang menaik taraf jalan kepada empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat. Selepas sahaja jambatan Bukit Kuang siap, Insya-Allah tahun depan pada Mac atau April, tender akan dikeluarkan untuk projek naik taraf jalan bermula dari Bukit Kuang, Kijal hingga persimpangan lampu isyarat Bukit Anak Dara.

“Selain itu, kerja naik taraf sekarang sedang berjalan antaranya dari Bandar Baru Kijal hingga simpang Bandar Baru Kijal, dari simpang Bandar Baru Kijal ke Resort World Kijal (RWK) serta dari Mesra Mall hingga ke lampu isyarat Kemasik. Projek itu sepatutnya sudah siap tetapi mengalami kelewatan sedikit akibat masalah pemaju”, katanya kepada pemberita di program Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2013 di Mini Stadium, Kerteh, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebaik sahaja projek menaiktaraf jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu siap,fasa seterusnya akan bersambung pula dari Kuala Terengganu hingga ke Besut.

Katanya, projek menaiktaraf jalan itu juga melibatkan laluan maut di Bukit Bauk, Dungun yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan laluan itu lebih selamat dan lancar. Menurutnya, pada tahun depan juga, jalan dari RWK hingga kawasan persimpangan lampu isyarat Kemasik turut akan dilebarkan menjadi empat lorong.

“Projek naik taraf jalan di Kemaman ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi dan apabila siap dari Kemaman terus ke Paka, Dungun akan menjadi empat lorong.

“Di Dungun, projek melebarkan jalan menjadi empat lorong itu telah siap dari Rantau Abang hingga ke Kampung Kolam dan dalam tempoh sebulan lagi, kerja-kerja menambun tanah akan dilakukan dari Kampung Kolam itu hingga kira-kira 200 meter daripada jambatan Sungai Merchang (Marang) sehingga selesai jalan utama di Marang.,” katanya.


MPK B muncul juara pertandingan asyura

Oleh: Aida Abd Rahman

Walaupun hanya sekadar mencuba dan langsung tidak merujuk kepada pakar masakan bagi menyiapkan bubur asyura, tetap memberi kelebihan kepada pasukan Perbandaran Kemaman (MPK) B untuk muncul juara pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman Tahun 1435H/2013 di Mini Stadium Kerteh, Kemaman, semalam.



Pertandingan anjuran Pejabat Tanah dan Daerah Kemaman melibatkan 191 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 peserta, melayakkan kumpulan yang diketuai Haji Mohd Razali Sulong yang juga Ketua Pembantu Penilaian MPK itu membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM3,000 beserta sijil.

“Gembira dan sangat terkejut dengan kemenangan tempat pertama sebab kami menyediakan satu kawah, kira-kira lima kilogram asyura ini dengan hanya menggabungkan kemahiran masing-masing, tanpa merujuk pakar masakan itu.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama dan adunan ramuan yang menggunakan dua perisa, ayam dan ikan akhirnya dua penyertaan yang sebelum ini gagal membawa sebarang hadiah, akhirnya berpihak kepada kami,” kata Haji Mohd Rozali.

Manakala tempat kedua, Jawatanbkuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung Bukit Kukuran (RM2,000 dan sijil) serta tempat ketiga, Persatuan Penjaja B (RM1,000 dan sijil).

Menteri Besar, Dato’ Seri Hai Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menyaksikan setiap kumpulan menyiapkan hidangan itu yang bermula sejak jam 7 pagi dan berakhir empat jam kemudian, sebelum diadili oleh panel hakim.



Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman; Ketua Wanita Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha. Menteri Besar kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu.











Ikrar Pemuda UMNO Setiu.

IKRAR..Selepas sebulan pemilihan pemuda UMNO Bahagian Setiu, barisan Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Setiu yang baru dilantik melafazkan ikrar taat setia kepada parti dan pemimpin mereka pada mesyuarat pertama jawatankuasa sayap UMNO itu, di Bandar Permaisuri, Setiu, baru-baru ini.

Dengan lafaz ikrar itu, bermulalah tugas AJK UMNO bersama Ketua dan Naib Ketua mereka dalam memperjuangkan UMNO di daerah Setiu terutamanya dalam melaksankan tugas kepartian serta membantu membangunkan daerah Setiu dan kesejahteraan penduduknya.

Jawatankuasa Pemuda UMNO Setiu.
Sebelum itu, ketika berucap selepas disahkan sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian pada Mesyuarat Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, di Putera Jaya, tidak lama dulu, Ketuanya, Mohd Iskandar Jaafar dengan penuh semangat dan iltizam berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan ikhlas.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan amat berterima kasih kepada semua perwakilan pemuda UMNO hari ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin pergerakan ini. 

“Memikul amanah ini adalah satu perkara yang berat tapi saya akan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

“Saya mahu kesemua yang menjadi calon Naib Ketua Pemuda dan AJK pemuda, samada yang kalah atau menang, bersama-sama saya kita terus bangunkan UMNO di Setiu ini.” katanya-oleh: Aminudin Ismail.

 

Pelbagai program pelancongan diatur pada musim tengkujuh

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyusun pelbagai pendekatan sebagai usaha memastikan kedatangan pelancong ke Terengganu tidak terjejas pada musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata pihaknya berusaha melaksanakan aktiviti serta program yang mampu memikat kehadiran pelawat tempatan dan luar negara ketika monsun bermula September hingga Mac melanda negeri-negeri Pantai Timur, termasuk Terengganu.

Antara program yang dilaksanakan termasuk penganjuran pelbagai aktiviti program bertaraf dunia seperti International Islamic Art Festival, di Taman Tamadun Islam (TTI)(15 -17 November); Kejohanan Piala Monsun 2013 (25-30 Disember) dan Terengganu IInternational Rainforest Challenge (RFC)2014 (30 November – 9 Disember).

Selain itu, Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Marin Pelancongan Terengganu, Hotel Primula Beach Resort (18-19 November) dan Kejohanan Hoki Kebangsaan (18 hingga 27 November).

“RFC merupakan acara terbesar antarabangsa menghimpunkan peserta lebih dari 30 buah negara yang bakal berdepan penjelajahan yang mencabar.

“Kejohanan Piala Monsun yang menjadi sukan pelayaran berprestij dunia itu pula bakal menobatkan juara `world match racing tour’ yang akan berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang pastinya akan menggamit kebanjiran pelancong ke Kuala Terengganu,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, pelancong yang berkunjung ke Terengganu bukan sahaja disajikan dengan pellbagai program pelancongan, malah boleh melawat destinasi dan produk pelancongan yang menarik seperti TTI, Muzium Negeri, Pasar Besar Kedai Payang, Tasik Kenyir, Pulau Warisan dan sebagainya.

 “Malah, jika pada musim tengkujuh kesemua pulau ditutup, destinasi pelancongan lain seperti Rantau Abang, Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pusat kraftangan dan pelbagai destinasi menarik di negeri ini  masih boleh dilawati.

“Kita juga turut memperkenal dan membawa media cetak, elektronik serta blogger ke Terengganu untuk melawat produk pelancongan negeri sempena musim hujan ini” katanya.


Peserta khatan gembira namun gementar

Oleh: Aida Abd Rahman


Perasaan teruja dan gementar dirasai kebanyakan 197 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang menyertai majlis khatan beramai-ramai di Dewan Nelayan, Kampung Tengah, Kijal, Kemaman, hari ini.

Seorang peserta, Zaim Zuraimi, 9, dari Kampung Jong Belaboh, Kijal, berkata dia berasa sangat gembira dapat menyertai majlis itu bersama rakan-rakan sebaya yang lain, apatah lagi turut berpeluang menemui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Gembira tapi pada masa yang sama takut pun ada. Risau juga kalau sakit semasa khatan nanti, tetapi saya tetap bersemangat sebab ayah saya setia menemani saya sepanjang acara ini.

“Rasa bertuah juga sebab bukan semua rakan sebaya dapat melalui acara ini dengan percuma dalam suasana meriah, selain itu dapat pula wang saku RM30,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara.

Seorang lagi peserta, Mohamad Hafizuddin Ramli, 10, dari SK Kijal, pula bersemangat dan rasa bertuah selepas memperolehi RM30 dari Menteri Besar dan juga pemimpin yang sudi mengulurkan sumbangan itu.

“Kami bukan sahaja berkhatan dengan percuma, malah dapat pula duit sumbangan untuk perbelanjaan harian nanti.

“Saya tidak takut sebab ramai yang akan berkhatan bersama-sama saya hari ini. Lagipun, ayah dan abang pun memberitahu acara berkhatan ini tidak menyakitkan pun, kalau sakit pun hanya seminit dua,” katanya.



Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menabur beras kunyit dan air mawar serta menyuap pulut kuning kepada peserta sebagai simbolik perasmian sempena Majlis Program Berkhatan Beramai-ramai dan Majlis Kesyukuran, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Kijal.



Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha dan Pengerusi PDM Kijal, Encik Ahmad Tarmizi Johar.