Halaman

28 November 2013

'GIANT KILLER' KETUA PENERANGAN UMNO TERENGGANU YANG BARU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 



 Bekas Ahli Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu yang baru.
  Dato’ Abdul Rahman adalah seorang yang berpengalaman dan pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Marang, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia.
Beliau juga pernah digelar 'giant killer' menewaskan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu 1986 dan 2004.
 Perlantikan itu telah diumumkan semasa Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi BPUNT Dato’ Seri Haji Ahmad Said malam tadi (27 November).
 Manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Nik Dir Nik Wan Ku dilantik sebagai Bendahari
 Umno BPUNT yang baru.
  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YBM Dato’ Tengku Putera Awang kekal sebagai Setiausaha Umno Negeri Terengganu.

UniSZA mampu tersenarai 10 universiti terbaik di Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mampu tersenarai dalam carta 10 universiti terbaik di negara ini berikutan perkembangan positif yang ditunjukkan universiti berkenaan.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, dengan perkembangan positif yang ditunjukkan UniSZA kini, terutama dari segi pembangunan infrastruktur, penstrukturan kursus-kursus, peningkatan dari segi penerbitan dan bidang penyelidikan serta penambahan pensyarah yang mempunyai PHD membuktikan tidak mustahil UniSZA mampu bersaing dengan universiti yang telah lama bertapak di negara ini.

“Berdasarkan peningkatan dan penambahabaikan yang sedang berlaku di UniSZA, saya percaya tidak ada halangan mengapa UniSZA tidak boleh menjadi 10 universiti terbaik di negara kita dalam masa 10 tahun akan datang.

“Sebagai sebuah universiti yang baru dinaiktaraf, UniSZA telah berkembang begitu baik dalam satu tempoh yang singkat dan ini merupakan satu peningkatan yang baik dan saya amat gembira melihat perkembangan yang sedang berlaku di UniSZA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke UniSZA, semalam.

Turut sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahaya Ibrahim.

Menurut beliau, UniSZA sememangnya diharapkan menjadi sebuah universiti yang cemerlang kerana merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama di Terengganu di mana dahulunya dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan kini dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Seri Idris Jusoh turut berpesan kepada kakitangan akademik UniSZA supaya tidak lupa tentang tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Selain berperanan mendidik dan melahirkan pelajar cemerlang, pastikan juga UniSZA tidak lupa tentang tanggungjawab untuk masyarakat agar UniSZA boleh membangun bersama-sama rakyat Terengganu,” katanya.

 

KPM mahu konsep Ulul Albab diperluas

Oleh: Suriati Ali

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri melaksanakan kurikulum Ulul Albab, mulai tahun depan.

 Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris bin Jusoh, berkata pihaknya mencadangkan agar kurikulum yang telah dilaksanakan di lima Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu itu turut diguna pakai di sekolah terpilih luar dari negeri itu.

 “Buat permulaan, tiga negeri iaitu Kedah, Selangor dan Pahang telah menyatakan persetujuan dan ia disenarai pendek KPM untuk melaksanakannya, bermula tahun depan.

“Disebabkan apa yang ingin dilakasanakan ini memerlukan perancangan rapi, termasuk perlu mengkaji berkaitan kemampuan penerimaan pelajar, infrastruktur dan kekangan masa, ia akan dilaksana secara berperingkat-peringkat.

 “Jika semuanya berjalan lancar, kokurikulum itu akan diperluaskan, sehingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah dan Pelancaran Program Transformasi Daerah Peringkat Kebangsaan di Hotel Permai,Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Dato’ Seri Idris turut memberitahu, 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.

“KPM serius ingin melaksanakan kokurikulum itu kerana mampu membantu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap pembelajaran agama Islam, menghafaz, memahami al-Quran, hadith dan mengamalkan cara Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara,” katanya,” katanya.

 





UMT komited jalan penyelidikan berimpak

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan terus komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak, selain memindahkan nilai ilmu serta menawarkan khidmat akademik kepada masyarakat dan pemegangtara di Tanah Bencah Setiu.

 Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo berkata, komitmen universiti itu diperkukuhkan lagi dalam usaha memperkasakan penyelidik melalui pengukuhan sistem sokongan penyelidikan yang telah bermula tahun lepas.

 Katanya, pengukuhan itu melibatkan pengurusan penyelidikan yang lebih fokus kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Pemerkasaan Sistem Penyelidikan Tanah Bencah Setiu di bawah PPP.

 "Sebagai contoh, ini melibatkan secara langsung dalam usaha pewartaan Tanah Bencah Setiu dalam menjadikannya sebagai Taman Negeri melalui peningkatan jaringan kerjasama dan sokongan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Bengkel Pewartaan Tanah Bencah Setiu Sebagai Taman Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.

 Bengkel sehari dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang menghimpunkan kira-kira 250 penyelidik, pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaikkan taraf ekonomi penduduk dan negeri.

 Sehubungan itu, Ibrahim berharap para peserta bengkel mencari dan mengenal pasti keistimewaan yang ada di Setiu sebagai satu tarikan unik apabila lokasi itu dijadikan taman negeri kelak.

 Beliau berkata, UMT telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

 Menurutnya, UMT terus berkembang selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi 'hab' kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baharu dalam sektor eko-pelancongan.

 Sebanyak sembilan pembentangan oleh pelbagai agensi yang berkaitan dibincangkan dalam bengkel tersebut.

 

UMNO Besut Sokong Perlantikan Dato' JJ.

Nawi..satu keputusan yang baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Perlantikan Dato' Jailani Johari sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, baru-baru ini dilihat boleh 'menyegarkan' lagi UMNO di Terengganu, kata Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohammad.

Nawi yang juga Exco kerajaan negeri itu, berkata perlantikan itu adalah satu keputusan yang baik daripada pucuk pimpinan parti, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak kerana ada muka baru dalam kepimpinan UMNO di Terengganu.

"Bagi saya ia adalah satu keputusan baik dari Presiden parti untuk UMNO, keduanya dengan perlantikan ini saya nampak semacam tidak ada masalah dan tidak wujud lagi kem itu kem ini, sekarang sudah tak ada dan masing-masing akan memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti yang dijangka mungkin lebih mencabar dari PRU 13 lalu.

"Kita tengok ahli-ahli UMNO telah semacam menukar dia punya jurulatih ataupun ketua pasukan mereka daripada lapan ketua pasukan kepada enam yang baru iaitu kekalkan dua yang lama.

"Ini adalah sebagai satu 'signal' daripada ahli (UMNO) bahawa pasukan baru ini mesti bekerja keras untuk menghadapi PRU nanti supaya mencapai kemenangan yang lebih baik daripada PRU 13 baru ini," katanya kepada Teganukita, di sini, kelmarin.

Nawi berkata, Pertukaran dilakukan supaya jentera baru itu lebih bertenaga dan bersedia menghadapi PRU akan datang dan tidak menimbulkan isu kerana menurutnya, sebagai ahli UMNO mereka hendaklah berpegang kepada prinsip.

"Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan, kita mesti terus berkhidmat kepada parti kalau kita yakin ini boleh memberi manfaat dan dapat membela bangsa Melayu. Tak kiralah seseorang itu ada jawatan atau tidak yang penting parti akan terus berjalan untuk mempastikan perjuangan orang Melayu dapat kita tunaikan.

"Saya percaya UMNO Terengganu pada masa depan akan lebih baik lagi dan kita mesti memberi kepercayaan kepada ahli UMNO yang telah membuat perubahan ke atas pucuk pimpinan di peringkat bahagian untuk mereka menilai semula pada pemilihan akan datang.

"Jika keputusan PRU ke 14 nanti sama dengan PRU ke 13 maka pasukan ini akan diganti semula oleh ahli-ahli UMNO. Oleh itu kita selaku pemimpin di peringkat bahagian dan negeri mesti bekerja keras untuk memberi kepercayaan kepada ahli bahawa kepimpinan baru yang dipilih ini berbaloi," katanya.

Dalam pada itu, Nawi berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru itu, Dato' Jailani Johari boleh membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk terus memantapkan lagi UMNO di Terengganu dan seterusnya mencapai kemenangan besar dalam memenangi PRU ke 14 nanti.

 

27 November 2013

Kerajaan negeri kesal jika hak penganjuran piala monsun ditamatkan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri kesal sekiranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menarik balik hak penganjuran sukan berprestij, kejohanan Piala Monsun, di Terengganu pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah ketika mengadakan sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan tidak meneruskan penganjuran sukan yang dijalankan sejak 2005 itu seakan tidak menghargai peranan dan sumbangan Terengganu terhadap kemajuan dan pembangunan sukan negara khususnya dalam melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.

“Setelah perjanjian awal (penganjuran) tamat pada tahun ini, terpulang kepada penganjur untuk mengadakannya di negeri mana dan sebagainya itu hak dia. Tapi soal sekarang kita melihat bahawa Terengganu sudah mempunyai kemudahan mencukupi untuk penganjuran Piala Monsun.

“Ini bermakna jika kejohanan itu diadakan di tempat lain, pihak berkenaan perlu menyediakan kemudahan yang baharulah. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. 

Menteri Besar turut meminta KBS dan pihak terlibat dengan penganjuran kejohanan itu supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan mengkaji secara keseluruhan memandangkan Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet negara.

“Kilang pengeluar atlet negara adalah Terengganu, seperti pelumba basikal di peringkat Olimpik pun wakil anak Terengganu, acara lebuh raya juga diwakili anak Terengganu, kanu dan juga sukan lain ramai membabitkan anak Terengganu, sepatutnya pihak kementerian mempertimbangkan dengan pengalaman, kemudahan yang kita ada serta sumbangan kita,” katanya.

Malah, seramai 65 anak Terengganu turut mewakili negara dalam pelbagai acara pada Sukan Sea Myanmar tahun ini.

Katanya, sebelum ini juga Terengganu sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan lokasi pilihan ramai penganjur sukan, malah turut menyediakan bantuan kewangan sebagai sokongan kepada penganjuran sebarang aktiviti sukan negara ini.

Sehubungan itu juga, pihaknya juga berhasrat untuk menarik balik penajaan RM2 juta bagi  penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sudah beberapa tahun Terengganu menjadi tuan rumah peringkat akhir acara itu.

 “Saya melihat apabila tiada timbal balas ini, saya rasa kecewa dan kita beritahu kita akan tarik diri pada tahun ini untuk menjadi tuan rumah LTdL dan tidak akan menyediakan penajaan. Saya mudah sahaja,” katanya.

 Terdahulu, kontrak penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang akan tamat pada tahun ini, masih belum diperbaharui dan menimbulkan tanda-tanya.

Mengulas perkara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pihaknya akan membuat kajian terlebih dahulu sama ada mengekalkan kejohanan itu di Terengganu atau sebaliknya.


JO DILANTIK KETUA PEMUDA UMNO NEGERI TERENGGANU


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Johari Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, demikian disahkan sendiri oleh beliau sewaktu dihubungi oleh Teganukita sebentar tadi dan sehingga berita ini ditulis perbincangan sedang berlangsung di antara pihaknya dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Kharil Jamaluddin di Kuala Lumpur.
  Turut dilantik ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dr. Najmi Faiz sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Negeri. Perlantikan ini berkuatkuasa sertamerta hari ini.
 Sebelum ini Teganukita difahamkan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Hulu Terengganu, Puan Rozita Ismail juga telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-

Bantuan RM1.4j untuk persatuan dan NGO yang aktif

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meneruskan tradisi memperuntukkan sumbangan kewangan RM1.4 juta kepada setiap persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan pentadbiran tahunan itu disediakan kepada semua persatuan dan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan bergerak aktif  sahaja.

“Dalam mesyuarat Exco hari ini juga bersetuju memberikan bantuan kepada persatuan dan NGO negeri sebagaimana tahun-tahun lepas, dengan jumlah kira-kira RM1, 412,000.

“Bantuan ini adalah untuk tahun kedua, dengan jumlah lebih kurang sama sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Beliau berkata, bantuan itu disediakan dalam kadar berbeza yang bergantung kepada saiz dan keperluan setiap pertubuhan berkenaan.

 

YB Pehimi ganti portfolio Allahyarham Dr A Rahman

YB Haji Mohammad Pehimi
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) YB Haji Muhammad Pehimi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, berkuatkuasa serta-merta.

Pelantikan beliau sebagai mengisi kekosongan portfolio tersebut berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, pada 23 Jun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mesyuarat Exco memutuskan melantik Adun Jertih itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Dr A Rahman.

“Tiada timbalan pengerusi (portfolio itu) buat masa ini kerana kita merasakan bahawa tiada keperluan, kecuali kita menukarkan timbalan pengerusi yang dahulu, YB Mohd Mahdi Musa (Adun Kota Putera).

“Oleh itu, YB Mohd Mahdi akan mengambil tempat YB Muhammad Pehimi (sebelum ini) sebagai Timbalan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

YB Muhammad Pehimi dilantik sebagai Exco yang baru, di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, Khamis lalu.


RM200 ribu untuk 27 NGO Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) menyumbangkan RM200 ribu kepada 27 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuang kebajikan masyarakat Islam terutama saudara baru dan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri diamanahkan untuk mengenalpasti NGO yang bergiat aktif bagi melayakkan persatuan berkenaan menerima peruntukan yang kebiasaannya disalurkan YPIIM menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun .

"Walaupun tahun ini majlis penyampaian sumbangan agak lewat tetapi ia tetap diadakan dan setiap NGO yang memenuhi syarat menerima sumbangan antara RM5 ribu sehingga RM20 ribu bergantung kepada keperluan persatuan masing-masing.

"Sebahagian yang layak termasuk Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Rumah Anak Yatim Darul Falah serta PERKIM Bahagian Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) di Dewan Teater Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, sumbangan yang diterima oleh setiap persatuan diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk tujuan yang boleh menguntungkan ahli-ahlinya.

"Saya berharap sumbangan ini dapat digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan dan pemantauan teliti dalam usaha mengenalpasti golongan sasaran yang benar-benar layak dibantu perlu dilakukan sebaik mungkin oleh setiap ketua persatuan.

"Malah, ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan persatuan supaya menjadi persatuan yang lebih disegani,” ujarnya.