Halaman

18 December 2013

Bantuan RM1,500 kepada setiap keluarga terlibat banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesengsaraan mangsa bencana banjir di Terengganu sedikit terubat apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas RM1,500 kepada setiap keluarga yang  rumah mereka mengalami kerosakan dan terjejas teruk akibat ditenggelami air, baru-baru ini.

Kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan hampir RM15 juta melibatkan 10,000 keluarga yang terlibat dengan bencana itu di seluruh Terengganu.

Berita gembira itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

“Kerajaan negeri bersetuju menyediakan bantuan kepada mereka yang terlibat banjir dan rumahnya tenggelam. Dulu kita beri bantuan kepada mangsa banjir mengikut keluarga, jika tiga keluarga dalam satu rumah, bermakna setiap keluarga mendapat RM500.

 “Sekarang ini kita beri bantuan berasaskan rumah. Kalau rumah tenggelam, harta seperti perabut rosak , kita akan beri RM1,500 keseluruhan untuk satu rumah, bukan berasaskan bilangan keluarga yang ada dalam rumah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, selain bantuan khas RM1,500 itu, kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan khas RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan banjir tetapi rumah mangsa tidak ditenggelami air dan rosak.

Katanya, bantuan kerajaan negeri itu akan menjadi tambahan kepada bantuan khas kerajaan Pusat berjumlah RM500 kepada setiap keluarga sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini. 

Tambah beliau, bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat bermula Januari ini selepas senarai mangsa yang terlibat disahkan oleh ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta Penolong Pegawai Daerah di kawasan masing-masing.

 “Kita perlu mendapatkan senarai pengesahan terlebih dahulu, Kita tidak mahu orang mengambil kesempatan, dia tidak terlibat tetapi dia mengambil juga bantuan itu. “Seperti yang dikatakan tadi, jika dia tidak mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda dalam rumahnya, tetapi mereka mengambil juga bantuan itu (RM1,500), jadi itu tidak adillah. Kita minta rakyat jujurlah,” katanya.

Menurutnya, senarai penerima bantuan berdasarkan pendaftaran mangsa di pusat pemindahan banjir baru-baru ini itu, akan disemak terlebih dahulu di Pejabat Daerah yang terlibat bagi mengenalpasti kategori bantuan yang layak diterima oleh mangsa.

 

PSKT sasar 20 Program Cakap-Cakap Sains tahun hadapan

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan 20 slot Program Cakap-Cakap Sains berjaya diadakan pada tahun hadapan.

Eksekutif (Program Penggalakan Sains Inovasi) PSKT, Mohd Hakimi Awang Su berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Program Cakap-Cakap Sains akan dijadikan aktiviti tahunan dan diselitkan dalam sebarang program yang dianjurkan PSKT.

“Ini kali pertama Program Cakap-Cakap Sains diadakan dan sekiranya mendapat maklum balas positif daripada para peserta, program ini akan diperbanyakkan lagi dan bukan setakat diadakan sempena Bulan Astronomi PSKT sahaja.

“Jika hari ini program ini diadakan sebagai pengisian penutup untuk Bulan Astronomi PSKT yang telah bermula September lepas, tetapi untuk tahun-tahun akan datang ia akan dijadikan acara tahunan bagi PSKT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Cakap-Cakap Sains: Ilmu Falak di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Mohd Hakimi berkata, pada program berkenaan seramai 150 peserta mengikuti forum berkaitan ilmu falak yang disampaikan Ahli Astronomi, Shahrin Ahmad yang berpengalaman 30 tahun dalam dunia Astronomi.

“Peserta terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Marin dan Persekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Ahli Kelab Astronomi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), imam dan bilal serta orang awam,” katanya.

 

RM2.2 juta baiki tiga klinik rosak teruk

Oleh: Nurul Azila Saberi



Kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ke Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, semalam memberi semangat baru apabila memperuntukkan RM2.2 juta bagi menggantikan peralatan yang baru dan membaiki segala kerosakan di tiga klinik kesihatan yang terjejas dalam banjir, baru-baru ini.

 Klinik kesihatan berkenaan adalah Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Klinik Desa Pasir Gajah dan Klinik Desa Seberang Tayor.

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam turut melahirkan rasa bangga terhadap tiga petugas Hospital Kemaman dan dua petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama seorang pemandu bot yang sanggup mengadaikan nyawa kerana bot yang dinaiki telah terbalik ketika mengharungi banjir untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Pasir Gajah dan Seberang Tayor.

“Semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota ini untuk meneruskan perkhidmatan walaupun baru saja ditimpa tragedi amatlah terpuji dan menjadi kebanggaan kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia.

 “Saya mencadangkan untuk melaksanakan satu latihan khusus bagi menghadapi bencana alam kepada seluruh kakitangan Kesihatan Malaysia. Ianya akan dilaksanakan mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa pergi melawat ke tiga-tiga klinik kesihatan yang terjejas banjir baru-baru ini. 

Dalam pada itu, kesan bencana banjir yang melanda Kemaman baru-baru ini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 22,159 orang dan daripada jumlah itu 302 mangsa merupakan kakitangan Hospital Kemaman serta 157 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Malah, 80 orang kakitangan Hospital Kemaman yang terlibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Seminar Hospital Kemaman turut terus bertugas bagi memastikan perkhidmatan hospital tidak terjejas.

Segala operasi dan perkhidmatan terpaksa dihentikan dan anggota ditugaskan dipindahkan untuk bertugas di klinik lain seperti Klinik Kesihatan Cukai dan Klinik Kesihatan Kijal.

Manakala klinik-klinik lain yang terlibat seperti di Dungun mahupun di Kuantan juga akan menerima peruntukan untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.


Kenduri sekampung pupuk kerjasama

Oleh: Amirullah Othman

Kenduri sekampung menjadi acara tradisi yang mampu menyatukan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk di setiap kampung.
Usaha murni Umno Cawangan Kampung Kubu yang masih dikekalkan sehingga kini itu, mendapat pujian Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang yang turut meluangkan masa menyertai program itu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada penduduk atas kepercayaan mereka yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi di DUN itu.

 “Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan beliau berharap semua anggota masyarakat mengambil segala inisiatif untuk sama-sama menjaga perpaduan yang utuh dalam hidup bermasyarakat.

“Kerajaan Terengganu dan Pusat yang diperintah oleh BN pada hari ini begitu komited dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri Terengganu dengan memberikan pelbagai subsidi seperti minyak diesel, baja, benih pokok, alatan nelayan, lembu dan sebagainya.

 “Jika segala kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini, kita masih tidak bersyukur dan mengucapkan terima kasih sudah tentu kita akan tergolong dalam golongan manusia yang tidak tahu bersyukur dan di murkai Allah s.w.t,” katanya.

 YB A Latiff turut menemui penduduk dan mendengar segala permasalahan mereka, serta berjanji akan menyelesaikannya berdasarkan keperluan



Kekalkan keamanan di Terengganu-Timbalan KP.

Datuk Hamzah..sentiasa bersedia.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Penduduk di daerah ini disaran supaya sentiasa memberi kerjasama kepada anggota Polis dalam usaha membendung gejala jenayah.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, Polis tidak akan mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna tanpa bantuan daripada masyarakat.

“Pihak Polis semata-mata tidak akan mampu, tidak akan berhasil dalam melaksanakan tugas khususnya dalam mencegah jenayah tanpa dokongan dan sokongan masyarakat setempat.

“Jika kita bersatu, jika kita berpadu maka Insya Allah kita akan dapat bersama-sama mengekalkan keamananan, keharmonian dan kedamaian di tempat tinggal kita,” katanya.

Hamzah berkata, Polis sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasnya menjaga keamanan dan keharmonian di negeri ini.

“Pihak Polis sentiasa berusaha dalam apa jua keadaan, pada bila-bila masa untuk menjaga keamanan bagi mempastikan negeri Terengganu ini sentiasa berada dalam keadaan aman,” katanya ketika hadir dalam satu majlis di Kampung Guntung Luar, dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak Polis juga sentiasa mempertingkatkan mutu perkhidmatannya supaya setiap anggota Polis dapat menjalankan tugas dengan lebih lancar dan berkesan.

 

ISU HINA ISLAM DAN RAJA DAN LAMAN SOSIAL: SHABERY JAWAB RAHMAN BAKAR


Sebanyak 29 kes membabitkan penghinaan terhadap Islam dan institusi raja menerusi laman sosial disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), setakat Jun lepas.
  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata seorang individu telah disabitkan kesalahan kerana menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim menerusi Facebook dan didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen.
  "SKMM menerima sebanyak 36 aduan berhubung penghinaan terhadap Islam. Penggunaan Facebook, Twitter dan blog tidak boleh dikawal sepenuhnya," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Bakar di persidangan Dewan Negara pada Selasa.
  Abdul Rahman bertanya mengenai bilangan kes menghina Islam dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan tindakan yang telah dikenakan terhadap pihak berkenaan selain usaha kementerian untuk memastikan bentuk penghinaan seperti itu tidak berulang.
  Ahmad Shabery berkata SKMM melancarkan kempen 'Klik dengan Bijak' untuk menggalakkan orang ramai membuat pengawal seliaan kendiri supaya mereka menggunakan laman sosial dengan berkesan. "Kempen ini untuk didik orang ramai supaya membezakan apa yang baik dan tidak baik dalam laman sosial dan yang mana boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai," katanya.
  Menjawab soalan tambahan Abdul Rahman sama ada kementerian bercadang mengenakan pendaftaran dan wang cagaran kepada setiap pengguna laman sosial untuk melayari Internet, Ahmad Shabery berkata kementerian tidak bercadang melaksanakannya.
 Pada masa ini, katanya Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Akta Fitnah sudah memadai untuk mengawal dan mengekang aktiviti pengguna laman sosial termasuk 15 juta akaun Facebook.- PETIKAN DARI BERITA NASIONAL

BENARKAH AHMAD SAID ROBIN HOOD....LAGI PENGAKUAN DARI PEMANDU LORI GARDENIA

Bahagian KEDUA:

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

  Jumat yang berasal dari Negeri Sembilan sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori roti Gardenia itu amat kagum dengan keberanian Menteri Besar Terengganu yang sanggup menghadapi apa sahaja risiko demi untuk menolong orang ramai.



 “Sebenarnya kami dan ramai pengguna jalan raya sudah terpangkap di sini sejak 4 Disember 2013 (hari Rabu) dan kebetulan pada 5 Disember kira-kira jam 9.00 pagi Menteri Besar Terengganu pulang dari Kuala Lumpur melalui jalan itu,” katanya.
  Difahamkan beliau (MB) meninggalkan persidangan Umno semata-mata untuk bersama penduduk Kemaman yang sedang dilanda banjir.
  Memanglah ramai di kalangan kanak-kanak dan orang tua-tua dalam keadaan kelaparan kerana sudah hampir dua hari terperangkap.
 Katanya, semua makanan di kedai runcit di ‘ stesen minyak Shell’ berhampiran sudah kehabisan dan lain-lain kedai semuanya ditutup.

DI DEPAN AIR, DI BELAKANG AIR...

 Ibarat kata, di depan ada air, di belakang juga ada air, hendak redah tidak mampu, hendak berpatah balik pun tidak dapat, terperangkap di jalan raya di dalam lingkaran air.
 Sudah ramai mangsa meminta kami membuka pintu lori untuk mendapatkan roti, tetapi kami tidak berani kerana makanan itu bukan milik kami sebagai pamandu dan penghantar,” kata Jumat.
 Kesemua lori roti Gardenia ini berjumlah empat buah yang terperangkap di situ, dua buah untuk ke Kota Bharu dan dua lagi untuk ke Kuala Terengganu.
  “Kami tidak berani membuka pintu bahagian belakang lori yang mengandungi roti-roti yang hendak di hantar ke Kota Bharu Kelantan dan Kuala Terengganu kerana ia adalah milik majikan kami,” kata Jumat.
 “Menteri Besar Terengganu berunding dengan kami dan sanggup membayar RM10 ribu untuk membeli roti-roti tersebut, tetapi kami tidak boleh menerima bayaran atau menjual roti itu kerana itu di luar tugas kami,” sambung Jumat menceritakan secara lanjut kejadian itu.
 Mereka selaku pemandu lori-lori berkenaan mencadangkan kepada Dato’ Seri Ahmad supaya menghubungi majikannya dan Dato’ Seri berbuat demikian.
 Beritahu Jumat, talian telefon kurang elok dan percakapan Menteri Besar Terengganu dengan majikannya terputus-putus.
  Hasilnya, kami bersetuju untuk membuka ‘seal’ kunci pintu belakang lori itu dengan syarat gambar diambil dan dirakamkan bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad yang mengambil perjalanan itu untuk dihantar kepada majikan kami.
  “Di sinilah kami tengok keberanian, tegas dan kesungguhan MB Terengganu itu untuk membantu mangsa banjir yang kelaparan, terperangkap di jalan raya itu,’ kata Jumat.
  Setelah membuka pintu bahagian belakang lori itu, Dato’ Seri Ahmad membahagi-bahagikan roti itu kepada mangsa-mangsa dengan penuh kasih sayang dan meminta jangan berebut-rebut.

ROBIN HOOD?

Apakah cara ini boleh disamakan dengan 'Robin Hood' lagenda yang mengisahkan tentang seorang penjahat budiman.
 Robin Hood juga musuh kepada para penguasa dengan merompak harta dan membahagikan kepada rakyat.
 Tentulah tidak sama sekali kerana apa yang dilakukan oleh Dato' Seri Ahmad adalah secara persetujuan dan bukannya cara Robin Hood.
  Apakah yang terjadi dan berita yang tersebar selepas itu dan bagaimana akhir kebenarannya seorang yang bernama Ahmad Said......

 Ikuti sambungan seterusnya di bahagian ke 3.


Bahagian Pertama- 
untuk rujukan kepada yang belum membacanya- Pengarang.

MENTERI Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu. Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.
“Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi dan menafikan sama sekali dakyah yang menuduh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.








17 December 2013

Kaji kenderaan bersesuaian hadapi banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedang mengkaji keperluan menyediakan kelengkapan dan kenderaan yang bersesuaian bagi menghadapi bencana banjir , pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, antara keperluan termasuk menyediakan trak Tatra yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia untuk meredah banjir dan bot Amphibia yang boleh digunakan di darat dan air.

 "Kalau kita guna lori Tatra, setahun sekali digunakan rugi juga.Jadi sekarang kita sedang fikir kemungkinan untuk menggunakan bot Amphibia yang dikatakan ada di Singapura dan di The Mines untuk pelancongan.

 “Kalau begitu, kita boleh beli dan gunakan di Tasik Kenyir sebagai satu produk pelancongan, tetapi apabila banjir kita gerakkan ke kawasan banjir untuk kegunaan berpindah. Barulah ada kos efektif. Sekiranya kita mengunakannya setahun sekali, nanti timbul dakwaan mengatakan `gajah putih’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa pengurusan bencana banjir di Terengganu sudah bersedia menghadapi amaran banjir gelombang kedua yang dijangka bermula esok hingga 22 Disember ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga kesal apabila ada segelintir penduduk enggan berpindah dari awal menyebabkan mereka terperangkap dan usaha menyelamat terpaksa dilakukan ketika paras air semakin naik.

 Katanya, ada yang menuding jari kepada pihak keselamatan kerana tidak membantu mereka, sedangkan pihak berkenaan melaksanakan tugas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak akan mengambil risiko sekiranya keadaan berbahaya kepada nyawa.

“Macam baru ini berlaku hari pertama, keadaan kelam kabut . Apabila di luar jangkaan, di pengkalan hadapan kita tiada masalah, macam di DUN Air Putih, kita hantar bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga hari. Selepas hari ketiga baru ada bekalan makanan tambahan.

“Bagaimanapun, kita ade stor barangan yang bersiap sedia untuk hantar bekalan, tetapi air melimpah mengejut dalam masa dua jam sahaja. Contohnya Kompleks Rakan Muda di Chukai dijadikan pusat pemindahan, tetapi apabila kawasan itu pun air sehingga ke paras dada menyebabkan kita terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang tidak berdaftar. Malah, sebelum ini jumlah mangsa mendadak sehingga 5,000 orang menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi, selain berbahaya kerana air yang deras dan hanya selesai apabila trak Tatra datang,” katanya.



BENARKAH MB TERENGGANU JADI ROBIN HOOD ATAU SUATU TUDUHAN- IKUTI KISAH SEBENAR DICERITAKAN SENDIRI OLEH PEMANDU LORI ROTI GARDENIA DI TEMPAT KEJADIAN....

Bahagian Pertama. 

EKSKLUSIF OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita.

 Menteri Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang baru-baru ini.
 Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu.
  Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.

  “Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di jalan utama Kuantan- Kemaman iaitu di Cendor.
 Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi kerana telah bertindak berani dan tepat demi menyelamatkan mangsa banjir yang kelaparan sejak dua hari di situ dan sekaligus  menafikan sama sekali dakyah yang menuduh  Dato’ Seri Haji Ahmad  menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.

Ikuti kisah selanjutnya bahagian kedua.

Salah guna `minit MB' untuk luluskan projek

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengesan tindakan satu jabatan di negeri ini yang menyalah gunakan `minit Menteri Besar (MB)’ sebagai kebenaran meluluskan sesuatu projek.



“Kebelakangan ini, ada satu dua jabatan, saya dapat maklumat katanya, dia sengaja kalau hendak beri projek si A, kamu pergi dapatkan Menteri Besar (MB) biar MB minit sikit.

“Dah memang mungkin ada pakatan, Allahualam lah, tetapi itu cara dia buat. Kalu dia tidak mahu beri, memang dia tidak beri juga kalau saya minit pun. Tetapi orang tertentu yang dia hendak bagi itu, dia suruh dapatkan minit saya terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu  Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama, Pengarah Siasatan SPRM, Dato Mustafar Ali dan Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Tuan Zainal Adam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihak terbabit seakan-akan menjadikan surat sokongan dan kenyataan bertulis supaya mempertimbangkan permohonan tertentu sebagai jalan keluar dan alasan  kukuh sekiranya ada pihak lain yang mempersoalkan kelulusan itu kelak.

“Itu bagi satu jabatan berkenaan sahaja. Ketua jabatan berkenaan yang saya dapat maklumat setakat ini. Dia nak melarikan diri, maknanya apabila orang bertanya sebab apa dapat (kelulusan). MB minit, saya berilah, sedangkan orang lain ada juga saya minit, tidak dapat, orang tertentu yang dia hendak bagi ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat dan memantau kes itu secara dalaman dan belum diserahkan untuk siasatan SPRM.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan bergantung kepada kesesuaian harga dan tidak menganggap `minit MB’ itu sebagai satu arahan kelulusan.

Selain itu, beliau berkata ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar dan mengadu kepadanya selepas gagal mendapat sesuatu projek sedangkan beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan dan meminta supaya permohonan itu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Sebelum itu, beliau berkata, program bersama SPRM itu amat penting kepada kepimpinan negeri terutama Adun supaya dapat menilai peranan dan tugas mereka bagi memastikan tidak melakukan kesalahan yang boleh dirujuk kepada badan itu.

 “Kalau mereka ada melakukan kesalahan, tanggungjawab mereka sendirilah kerana kita sudah beritahu, sudah beri taklimat mengenai kesalahan yang sepatutnya tidak dilakukan, apa yang dinamakan rasuah, apa yang dinamakan salah guna kuasa, apa yang dikatakan kecuaian, mungkin mereka tiada niat rasuah, tetapi mereka cuai. Macam runtuhan yang berlaku, tidak terlibat rasuah tetapi cuai kerana tidak menjalankan tugas menyelia betul-betul,” katanya.