Halaman

19 December 2013

Daerah Hulu Terengganu cemerlang PMR 2013.

Shafruddin..capai realisasi.
Oleh: Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Daerah Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang mencapai sasaran 10 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri ini sejak 2008, dalam keputusan peperiksaan PMR yang diumumkan hari ini.

Daerah itu mencapai keputusan 10.41 peratus di mana seramai 156 daripada 1499 calon pelajarnya yang menduduki PMR tahun ini mendapat semua A.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata pencapaian itu amat membangga semua pihak dan beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua guru-guru dan pelajar yang terbabit dengan PMR tahun ini.

"Ini menjadikan kita tempat pertama di Terengganu manakala gred purata pula meningkat dari 2.52 kepada 2.51 dengan menduduki 'ranking' kedua di Terengganu manakala yang lulus semua mata pelajaran ialah sebanyak 68.45 peratus," katanya.

Menurutnya, seramai 116 pelajar mendapat 8A dan 40 pelajar mendapat 9A, Sekolah Imtiaz Kuala Berang sekolah terbaik daerah dan tempat kedua di Terengganu manakala Sains Hulu Terengganu (Sahut) pula ke dua terbaik 'straight' A di Terengganu dengan 61.94 peratus.

"Tiga buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Berang, SM Sains Hulu Terengganu dan SM Tengku Ampuan Intan. Ini bermakna moto kami iaitu 'Jadi Sunggoh Hulu Terengganu 2013' sudahpun direalisasikan," katanya ketika di hubungi Teganukita.

 

Skuad Sayang tawar khidmat tenaga

Oleh: Nurul Azila Saberi

Seramai 3,000 ahli Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Pahang, Terengganu dan Johor berpadu tenaga bersedia menawarkan khidmat tenaga sukarela untuk membersihkan rumah dan melakukan kerja memindahkan barangan serta perabot dalam rumah khususnya kepada mangsa banjir yang uzur.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mangsa banjir yang memerlukan bantuan hanya perlu menghubungi atau berjumpa Ketua Wanita Umno Bahagian atau Ketua Wanita Umno Cawangan di tempat masing-masing.

“Mereka yang perlukan bantuan untuk mencuci rumah atau mahu memindahkan barangan dalam rumah terutama bagi mangsa banjir yang tidak terdaya seperti warga emas dan ibu tunggal boleh menghubungi Ketua Wanita Umno di tempat mereka.

 “Mangsa hanya perlu memberitahu alamat mereka dan jumlah tenaga sukarela yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas bergotong-royong membersihkan Balai Raya Bandar Baru Bukit Mentok, di sini, petang semalam.

Turut bergotong-royong, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari, Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datin Paduka Norhayati Onn, Ketua Wanita Umno Terengganu, Datuk Fatimah Hamat dan Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad.

Seramai 400 Skuad Sayang dari Pergerakan Wanita Umno seluruh bahagian di Terengganu turut sama membersihkan balai raya berkenaan di samping mengagihkan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan keperluan harian kepada 250 keluarga di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, sejak lapan tahun lalu, sudah menjadi kelaziman Skuad Sayang membantu agensi kerajaan di pusat pemindahan dengan memasak dan melakukan lain-lain kerja serta turun dari rumah ke rumah membantu mangsa banjir membersihkan rumah sebaik banjir pulih.

Katanya, sejak banjir melanda sehingga sekarang Pergerakan Wanita Umno menerima banyak sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada banyak pihak dan pihaknya turut menambah bantuan itu sebelum disalurkan kepada mangsa banjir.


ISU ROBIN HOOD ROTI GARDENIA- KEBENARAN AHMAD SAID TERBUKTI, ADUN PAS TEPOH AKHIRNYA SOKONG TINDAKAN MB TERENGGANU

BAHAGIAN KETIGA

Eksklusif Daripada : Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita

Kebenaran tindakan Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam kisah Roti Gardenia dan Robin Hood ini akhirnya terbukti.
  Walaupun sebelumnya, terdapat pelbagai tuduhan, hinaan dan kata nista dalam media sosial khususnya, terutama dari penyokong parti pembangkang.
  Sehingga ada ‘facebookers’ yang cuba menyamakan Ds Ahmad Said dengan Robin Hood iaitu perompak yang merompak, kemudian membahagikan hasil rompakan kepada rakyat.
  Sedangkan hakikatnya tidak begitu, sebagaimana yang telah diceritakan sendiri oleh salah seorang pemandu lori roti Gardenia itu, Jumat Mamat.
  Di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet) baru lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pembangkang, Hashamuddin Abdul Karim (wakil Pas- Tepoh) terpaksa bertindak berlainan dengan facebookers pembangkang yang sebelum ini menyerang Menteri Besar Terengganu dengan pelbagai tuduhan dalam isu berkenaan.
  Sebaliknya Hishamuddin berpihak kepada Dato' Seri Ahmad Said dengan menyatakan tindakan Menteri Besar itu adalah wajar dan sepatutnya.
  “Malah kalau saya berada di tempat Dato’ Seri Haj Ahmad, saya pun akan berbuat demikian juga,” kata Hishamuddin kepada sidang Dewan Undangan Negeri.



  Ini bermakna jelas bahawa pembangkang berpandangan yang berbeza dalam isu ini yang menampakkan bahawa dengan jelas sebelum ini mereka cuba menfitnah Dato’ Seri Ahmad, tetapi menemui kegagalan.  Penulis ucap terima kasih kepada Adun Pas Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang agak berlainan 360 darjah pendapatnya dengan pengamal media sosial yang pro pembangkang sebelum ini menuduh Menteri Besar perompak seperti Robin Hood dan sebagainya.

AKHIRNYA JADI SUMBANGAN SYARIKAT GARDENIA 

Kebenaran terserlah lagi apabila Syarikat Roti Gardenia akhirnya mengiktiraf tindakan Dato’ Seri Ahmad Said itu benar dan diperakui betul untuk menyelamatkan insan yang dalam kelaparan. Syarikat berkenaan tidak mahu menerima bayaran untuk roti-roti berkenaan, dari Dato’ Seri Ahmad dan menjadikan ia sebagai sumbangan untuk mangsa banjir (pengguna jalan raya) yang terperangkap itu.
  Dato’ Seri Ahmad Said melahirkan rasa terharu apabila pihak pengurusan syarikat roti Gardenia enggan menerima bayaran roti yang diagihkan kepada mangsa banjir yang terperangkap di negeri itu baru-baru ini.  Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu.
  “Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut. Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois,pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia,” kata Dato’ Seri Ahmad.
  Menteri Besar, Dato’ Seri tidak mahu disamakan dengan Robin Hood setelah menahan dua buah lori yang membawa roti Gardenia dan mengagihkan makanan itu kepada mangsa banjir yang terperangkap baru-baru ini. 
 Ketika sesi penggulungan perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri 12 Disember lalu, Dato’ Seri Ahmad memberitahu, label itu menyebabkan beliau menerima kecaman dan banyak maklum balas berunsur negatif selepas insiden itu tersebar luas melalui blog dan laman sosial.
  "Saya nak betulkan keadaan, yang kata saya ini macam Robin Hood itu tak betul. Robin Hood ini dia rompak harta orang kaya untuk bagi kepada orang miskin tetapi saya bukan macam itu. "Dalam Islam 'Inna halaala bayyinun wa inna harooma bayyinun' (yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas).
 Bukan saya yang paksa dia (pemandu lori) buka... tetapi kami berbincang, ambil gambar buat bukti. "Saya nak bagi penjelasan ini sebab dalam blog timbul.
 Saya nak bayar sebab kita nak tolong orang dalam kesusahan. Kita ambil cara elok. "Tetapi, apabila saya hubungi pegawai yang berkenaan untuk dapatkan invois, mereka tak nak sebaliknya mereka cakap berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir," katanya yang kemudian membaca surat yang diterima daripada pengurusan syarikat tersebut kepada sidang DUN.
  Surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun antara lain menyebut bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan berbangga kerana diberi peluang berbuat demikian dalam keadaan memerlukan.
 Dato’ Seri Ahmad menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak pengurusan syarikat roti Gardenia yang enggan menerima bayaran sebaliknya menganggap ia sebagai sumbangan.

Bahagian KEDUA:
untuk rujukan kepada yang belum membacanya- Pengarang


  Jumat yang berasal dari Negeri Sembilan sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori roti Gardenia itu amat kagum dengan keberanian Menteri Besar Terengganu yang sanggup menghadapi apa sahaja risiko demi untuk menolong orang ramai.



 “Sebenarnya kami dan ramai pengguna jalan raya sudah terpangkap di sini sejak 4 Disember 2013 (hari Rabu) dan kebetulan pada 5 Disember kira-kira jam 9.00 pagi Menteri Besar Terengganu pulang dari Kuala Lumpur melalui jalan itu,” katanya.
  Difahamkan beliau (MB) meninggalkan persidangan Umno semata-mata untuk bersama penduduk Kemaman yang sedang dilanda banjir.
  Memanglah ramai di kalangan kanak-kanak dan orang tua-tua dalam keadaan kelaparan kerana sudah hampir dua hari terperangkap.
 Katanya, semua makanan di kedai runcit di ‘ stesen minyak Shell’ berhampiran sudah kehabisan dan lain-lain kedai semuanya ditutup.

DI DEPAN AIR, DI BELAKANG AIR...

 Ibarat kata, di depan ada air, di belakang juga ada air, hendak redah tidak mampu, hendak berpatah balik pun tidak dapat, terperangkap di jalan raya di dalam lingkaran air.
 Sudah ramai mangsa meminta kami membuka pintu lori untuk mendapatkan roti, tetapi kami tidak berani kerana makanan itu bukan milik kami sebagai pamandu dan penghantar,” kata Jumat.
 Kesemua lori roti Gardenia ini berjumlah empat buah yang terperangkap di situ, dua buah untuk ke Kota Bharu dan dua lagi untuk ke Kuala Terengganu.
  “Kami tidak berani membuka pintu bahagian belakang lori yang mengandungi roti-roti yang hendak di hantar ke Kota Bharu Kelantan dan Kuala Terengganu kerana ia adalah milik majikan kami,” kata Jumat.
 
 “Menteri Besar Terengganu berunding dengan kami dan sanggup membayar RM10 ribu untuk membeli roti-roti tersebut, tetapi kami tidak boleh menerima bayaran atau menjual roti itu kerana itu di luar tugas kami,” sambung Jumat menceritakan secara lanjut kejadian itu.
 Mereka selaku pemandu lori-lori berkenaan mencadangkan kepada Dato’ Seri Ahmad supaya menghubungi majikannya dan Dato’ Seri berbuat demikian.
 Beritahu Jumat, talian telefon kurang elok dan percakapan Menteri Besar Terengganu dengan majikannya terputus-putus.
  Hasilnya, kami bersetuju untuk membuka ‘seal’ kunci pintu belakang lori itu dengan syarat gambar diambil dan dirakamkan bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad yang mengambil perjalanan itu untuk dihantar kepada majikan kami.
  “Di sinilah kami tengok keberanian, tegas dan kesungguhan MB Terengganu itu untuk membantu mangsa banjir yang kelaparan, terperangkap di jalan raya itu,’ kata Jumat.
  Setelah membuka pintu bahagian belakang lori itu, Dato’ Seri Ahmad membahagi-bahagikan roti itu kepada mangsa-mangsa dengan penuh kasih sayang dan meminta jangan berebut-rebut.

ROBIN HOOD?

Apakah cara ini boleh disamakan dengan 'Robin Hood' lagenda yang mengisahkan tentang seorang penjahat budiman.
 Robin Hood juga musuh kepada para penguasa dengan merompak harta dan membahagikan kepada rakyat.
 Tentulah tidak sama sekali kerana apa yang dilakukan oleh Dato' Seri Ahmad adalah secara persetujuan dan bukannya cara Robin Hood.
  Apakah yang terjadi dan berita yang tersebar selepas itu dan bagaimana akhir kebenarannya seorang yang bernama Ahmad Said......

 Ikuti sambungan seterusnya di bahagian ke 3.
 


BAHAGIAN PERTAMA- 

untuk rujukan kepada yang belum membacanya- Pengarang.

MENTERI Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu. Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.
“Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi dan menafikan sama sekali dakyah yang menuduh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.










PMR terbaik tempoh sembilan tahun

Oleh: Noraini Jusoh 

Prestasi calon negeri ini dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 adalah yang terbaik dalam tempoh sembilan tahun lalu.



Peperiksaan kali ini  merupakan yang terakhir sebelum dimansuhkan dan diganti dengan sistem Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin berkata, Gred Purata Negeri (GPN) secara keseluruhan yang melibatkan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (calon K) tidak termasuk Calon Berkeperluan Khas (CBK) telah meningkat kepada 2.55, berbanding 2.57 pada tahun 2012 dan mengatasi Gred Purata Nasional (2.67).

“Rekod pencapaian ini merupakan pencapaian yang terbaik dalam tempoh sembilan tahun dimana GPN Terengganu pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.71), 2008 (2.65), 2009 (2.60), 2010 (2.58) dan 2011 (2.57).

“Peningkatan prestasi itu bukan suatu perkara yang mudah dicapai melainkan perlu berusaha dengan gigih, berterusan, semangat yang jitu dan bersepadu untuk memastikan prestasi tidak merosot.Dengan catatan angka yang sangat baik ini juga secara tidak langsung telah melonjak pendidikan negeri Terengganu ke tahap yang terkehadapan di peringkat kebangsaan.

“Prestasi keseluruhan juga merekodkan GPN Terengganu jauh mengatasi Gred Purata Nasional,” katanya ketika mengumumkan Keputusan PMR 2013, di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

 Encik Zakaria berkata, bilangan calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran telah meningkat kepada 8.19 peratus iaitu pertambahan sebanyak 1.04 peratus berbanding pencapaian 7.15 peratus pada tahun 2012.

 “Walaupun sasaran negeri 10 peratus, rekod ini jelas menunjukkan kita sedang menghampiri sasaran berkenaan. Ini kerana, sasaran yang tinggi perlu ditetapkan untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik supaya kita lebih berusaha untuk mendapatkannya ,” ujarnya.

 Menurut beliau, banyak faktor yang mendorong peningkatan dalam kemajuan prestasi calon PMR Terengganu antaranya peranan kerajaan negeri yang saban tahun menyalurkan peruntukan besar kepada JPNT bagi mengadakan program-program akademik yang dapat melonjakkan kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam bidang pendidikan.

 “Selain kerajaan negeri yang mengutamakan pendidikan anak-anak negeri ini, peranan pihak lain termasuk warga JPNT, Pejabat Pendidikan Daerah, agensi kerajaan yang lain, pihak swasta, media dan tidak lupa jasa guru banyak menyumbang kepada kecemerlangan pelajar,” katanya.

 Seramai 22,497 pelajar menduduki PMR seluruh Terengganu pada tahun ini berbanding 23,025 pelajar pada tahun lalu.

 Daripada jumlah itu, 21, 520 orang sekolah bantuan kerajaan (95.65 peratus); 566 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (2.51); 218 calon sekolah swasta (0.96) dan 193 calon persendirian (0.85).



Pasar Tani Bandar Permaisuri di buka.

Segar..Zulkifly melihat sayuran di Pasar Tani MP3 Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Penduduk di daerah ini boleh membeli pelbagai hasil usaha tani di tapak pasar minggu Bandar Permaisuri, apabila sebuah pasar tani dibuka pada setiap Khamis bermula, hari ini.

Seramai 20 usahawan terlibat dalam dalam pasar tani itu dengan menjual pelbagai komoditi antaranya ialah buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam, ikan laut, ikan air tawar, barangan runcit, nursery, makanan dan lain-lain.

Buka..Pasar Tani MP3 Setiu dibuka setiap Khamis.
Jurucakap FAMA selaku urusetia pasar tani itu, berkata objektif utama pembukaan pasar itu ialah bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan harian yang secukupnya dengan harga istimewa.

“Selain itu, ia bertujuan untuk menambahkan pendapatan usahawan tani dan mengalakan golongan petani bumiputra menyertai bidang perniagaan,” katanya.

Pelancaran pasar tani dibawah kelolaan Majlis Pembangunan Pertanian Perlimen (MP3) Setiu itu itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh.

Zulkifly dalam ucapannya mengharapkan orang ramai di daerah Setiu memanfaatkan sepenuhnya penubuhan pasar tani itu.

“Pelbagai jenis keperluan harian terdapat di pasar ini termasuklah ikan, daging, makanan dan buah-buahan yang segar dan boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Saya mengharapkan pasar tani ini akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat sekitar daerah Setiu,” katanya.

Doa..berdoa sebelum majlis pelancaran.

Tertarik..Zulkifly tertarik dengan orkid.

Hijau..anak pokok turut dijual.

Murah..antara hasil tanaman yang dijual.
Tertarik..Zulkifly bersama isteri diberi di sebuah gerai.


 

Pendapatan isi rumah di Terengganu meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Purata pendapatan bulanan isi rumah di Terengganu pada tahun ini RM4,205, meningkat 5.66 peratus berbanding 2012, hasil strategi dan program yang dilaksanakan kerajaan menerusi penjanaan perbelanjaan dan sumber yang ada dalam negeri bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Dato Wan Mohd Albakri Wan Md Noor, berkata purata pendapatan isi rumah berkenaan menjadi indikator yang menunjukkan kekayaan dan juga kesenangan penduduk di setiap kawasan mahu pun negeri.

 “Jika pada tahun 2003-2004 Terengganu negeri kedua miskin dengan pendapatan isi rumah ketika itu kurang dari RM2,000, pendapatan bulanan isi rumah yang direkodkan Jabatan Statistik pada 2012 meningkat dengan baik, iaitu RM 3,967.

 “Peningkatan itu turut melonjak kedudukan Terengganu dari tangga ke-13 naik ke tangga sembilan, maka jelas di sini  Terengganu antara negeri yang mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik menerusi indikator purata pendapatan isi rumah, bagi tempoh kurang 10 tahun,” katanya ketika mengupas Bajet 2014, sempena Program Diskusi Bajet 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau menjadi panel bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Che Abdullah di program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom).

Turut hadir, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong; Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman.

Dalam pada itu, Dato Wan Mohd Albakri berkata, peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM3,967 pada 2012 kepada RM4,205 tahun ini, masih jauh ketinggalan berbanding purata pendapatan isi rumah nasional yang berjumlah RM5,000 pada masa kini.

 “Malah purata pendapatan isi rumah negeri itu jauh terkebelakang berbanding pendapatan isi rumah di China yang merekodkan RM6,000, iaitu hampir separuh ketinggalan. Ia satu cabaran kerajaan negeri bersama semua badan dan agensi bagi bersama-sama meningkatkan kenaikan pendapatan isi rumah ini ke tahap yang lebih membanggakan berbanding negeri lain  yang jauh lebih baik seperti Wilayah Persekutuan( RM 8,586), Selangor (RM7,023), Pulau Pinang (RM5,035), Johor (RM4,658), Sarawak (RM4,293) dan Sabah (RM4,013),” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan sentiasa komited dalam menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang kompetitif di rantau ini, bersandarkan kepada kemasukan 66 projek pelaburan bernilai 2,84 bilion pada tahun lalu.

Tambah beliau lagi, daripada jumlah itu, sebanyak RM2,2 bilion merupakan pelaburan asing yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada 4,318 orang meliabtkan projek pembinaan kilang fabrikasi, loji pengeluaran gas, kilang IKS dan sebagainya.

 “Saya yakin pendapatan isi rumah akan meningkat lagi pada tahun ini bersandarkan kepada pelbagai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing menerusi pelbagai projek mega yang akan tumbuh dan sedang dirancang di seluruh Terengganu.

“Apabila pelaburan semakin rancak, peluang perniagaan dan pekerjaan yang semakin meningkat mampu dipenuhi oleh para siswazah setaraf dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Kadar pengangguran dapat dikurangkan, sekali gus meningkat pendapatan isi rumah dan menterjemahkan sumbangan kita untuk mewujudkan negara berpendapatan tinggi satu masa nanti,” katanya.


SAIS terbaik PMR di Setiu.

Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Sekolah Menengah Sains Setiu (SAIS) buat pertama kalinya muncul sebagai sekolah terbaik dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di daerah Setiu yang diumumkan, hari ini.

Saudah..bersyukur.
Pengetuanya, Saudah Mat Nor berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan pelajar pertama menduduki PMR sekolah itu dan kejayaan itu juga memberi semangat kepada pihak sekolah untuk terus memperbaiki lagi kecemerlangan sekolah pada pada masa depan.

"Selain itu, keputusan 100 peratus itu juga membantu meningkatkan pencapaian daerah Setiu dalam peperiksaan itu di tempat yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

"Saya berterima kasih kepada semua guru-guru dan murid, semoga kejayaan ini memberi pendorong kepada pelajar lain untuk terus cemerlang dalam peperiksaan." katanya. 

Menurutnya, seramai 59 pelajar sekolah itu berjaya mendapat 'straight' A, 34 mendapat 7A dan 31 pelajar lagi mendapat 6A daripada 144 calon yang menduduk PMR pada tahun ini dengan Gred Purata Sekolah 1.18.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said, berkata pencapaian dalam peperiksaan PMR tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

"Gred purata sekolah meningkat dari 2.63 tahun lalu kepada 2.59 manakala pencapaian semua A meningkat dari 5.14 kepada 9.20 iaitu ke tiga dalam negeri Terengganu dan pada keseluruhanya meningkat dalam semua kategori," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada semua guru-guru dan murid atas kejayaan keputusan PMR daerah Setiu itu dan beliau mengharapkan pihak sekolah terus berusaha memperbaiki keputusan supaya mencapai keputusan yang lebih baik pada masa depan.

"Saya diberitahu, tiga buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus di Setiu iaitu SM Sains Setiu, SM Lembah Bidong dan SMK Pelong.

"Seramai 11 pelajar mendapat 9A manakala 8A pula 180 pelajar. Daerah ini menduduki tempat ketiga di negeri Terengganu dalam PMR 2013," katanya.

 

Anggota PGK dan isteri ziarah pusara Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat.


Rombongan anggota PGK ziarah pusara ASP Zulkifli Mamat di Kampung Gong Bayor, Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kehilangan Perwira Negara ASP Zulkifli Mamat, yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Mac lalu masih segar dalam ingatan rakyat negara ini kerana ia satu perjuangan murni untuk mempertahankan negara.

Pelbagai cara dilakukan oleh pihak tertentu untuk memperingati perjuangan Allahyarham sepanjang tempoh kematian beliau yang terkorban pada 1 Mac ketika bertempur dengan pencoroboh asing di Sabah.

Terbaru, Pasukan Gerak Khas (PGK) yang berpengkalan di Hulu Kinta, Perak, mengadakan majlis tahlil dan membaca surah yassin yang diadakan di Masjid Kampung Gong Bayor, dekat Jertih semalam.

Kira-kira 200 anggota polis, ahli Perkep, pegawai kanan polis serta penduduk kampung menyertai majlis tahlil berkenaan sempena sambutan ke 44 penubuhan PGK.

Majlis itu turut dihadiri Komandan 69 Komando PKK, Dato' Azizan Andul Aziz, Timbalan Ketua Polis Terengganu,Dato' Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Selesai majlis tahlil Azizah mengetuai rombongan menziarah pusara Allahyarham Zulkifli yang terletak kira-kira dua kilometer dari masjid kampung terbabit.

Balu Allahyarham, Nor Aziah Noor, 28, bersama tiga anak lelaki termasuk yang baru lahir dua bulan lalu serta ibu mertuanya, Khadijah Ismail,64, turut menziarah pusara arwah Pahlawan Negara berkenaan.

Azizan ketika ditemui berkata, pasukan berkenaan kehilangan seorang pegawai yang dedikasi dalam menjalankan tugas dan beliau amat disegani oleh rakan dan pegawai lain.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan aktiviti bagi memperingati Allayharham dengan mengadakan pelbagai program sebagai usaha mengenang jasa dan khidmat beliau terhadap pasukan dan negara.


“Kehadiran kami di kampung arwah turut disertai 100 anggota dan isteri masing-masing dari kem Hulu Kinta,Perak yang ingin menziarah pusara Allahyarham,” katanya.

Banjir: Antara Musibah dan Kasih Sayang.

Anggota tentera membawa keluar mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANJIR yang melanda Kemaman pada bermula petang 3hb.12.2013 (Selasa) dan berakhir kira-kira seminggu kemudian tentunya akan menjadi ingatan bukan sahaja penduduk Kemaman malah penduduk di negeri ini kerana ia adalah antara yang terburuk dalam sejarah daerah itu sejak hampir 30 tahun lalu.

Banjir itu menyaksikan beribu penduduk dari beberapa kawasan terpaksa berpindah dan menyebabkan beratus buah kenderaan termasuklah kereta dan motosikal ditenggelami air, barangan rumah seperti perabot, barangan elektrik, elektronik, pakaian dan lain-lain, rosak.

Turut mengalami kerosakan ialah beberapa buah rumah papan, jalan raya, jambatan dan beberapa kemudahan awam lain, peralatan pejabat, tanaman, ternakan dan lain-lain yang dianggarkan pihak tertentu kerugian mencecah jutaan ringgit.

Namun disebalik musibah itu, tentunya kita dapat melihat wujudnya kasih sayang antara manusia, belumpun banjir surut sepenuhnya, bantuan sudah mula mencurah tiba samada daripada pihak kerajaan, syarikat swasta, NGO ataupun orang perseorangan dan lain-lain.

Pihak kerajaan selain menunaikan tanggungjawabnya menjaga kesempurnaan di tempat pemindahan seperti penyediaan makanan dan tempat tidur, juga memberi bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang diperuntukan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Pihak syarikat swasta, parti politik , NGO, orang perseorangan dan lain-lain, mampunyai inisiatif masing-masing dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir samada dalam bentuk kewangan, barangan makanan ataupun kemanusiaan.

Pasukan penyelamat pula antaranya ialah Bomba, Angkatan Tentera, JPAM, Polis dan lain-lain berjaya dalam menjalankan tugas masing-masing dengan lancar dan baik . Begitu juga dengan agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan lain-lain bersama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir.

Sepanjang penulis berada beberapa hari di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Chukai yang terbabit dengan banjir kerana membersih kawasan rumah itu, pelbagai bentuk bantuan daripada pelbagai pihak dihulurkan antaranya ialah barangan makanan seperti roti, makanan dalam tin, selimut, bantal dan lain-lain silih berganti.

Ianya bukan sahaja dari negeri Terengganu malah ada yang datang dari beberapa negeri lain antaranya ialah seorang ahli perniagaan dari Kelantan yang datang membawa berpuluh helai ‘toto’ dan bantal untuk di bahagikan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan perumahan sekitar Chukai.

Itu dari segi material manakala dari segi kemanusian pula, banyak pihak yang datang menawarkan perkhidmatan untuk membersih kawasan rumah, membantu membawa masuk dan keluar mangsa banjir antaranya ialah penuntut dari beberapa pusat pengajian tinggi, persatuan-persatuan dan orang perseorangan.

Selain itu, sanak-saudara yang bersimpati juga turut datang dari jauh untuk melihat sendiri keadaan rumah saudara mereka yang dilanda banjir dan membantu membersih rumah serta kawasan sekitarnya seperti membasuh pakain yang ditenggelami air lumpur, membasuh lantai berlumpur, membuang barangan yang tidak boleh digunakan dan lain-lain.

Sekalipun mengalami kerugian yang besar akibat banjir itu, ketiadaan bekalan elektrik ,air dan alat perhubungan, putus bekalan minyak, kehabisan bekalan makanan di beberapa kedai runcit selama beberapa hari namun masing-masing tetap tenang dan bersabar malah ada yang masih mampu tersenyum apabila diajukan soalan mengenai jumlah kerugian yang mereka alami.

Itulah sebenarnya rakyat Malaysia penuh dengan kasih sayang, sabar dalam menghadapi dugaan. Semoga bencana seperti ini tidak akan hadir lagi di negara ini walaupun ia banyak mengajar kita mengenal erti kehidupan .

Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul. Bersama-samalah kita terus membantu mangsa banjir di negeri ini terutamanya penduduk di Kemaman yang begitu terkesan dengan musibah banjir ini bagi meringani bebanan mereka dengan menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah kewangan melalui saluran yang betul.

 

18 December 2013

Tambahan bantuan pakaian sekolah kepada mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menambah RM100 menjadikan jumlah RM300 bagi bantuan pakaian sekolah untuk setiap keluarga memiliki sekurang-kuranya dua anak yang bersekolah, yang terlibat dengan banjir di seluruh Terengganu.

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan bantuan berjumlah RM100 untuk seorang anak yang bersekolah atau maksimum RM200 bagi keluarga yang mempunyai lebih dari dua anak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan itu bagi meringankan beban mangsa banjir yang perlu menyediakan lebih banyak keperluan persekolahan yang baru kepada anak-anak.

“Perubahan kali ini bagi mereka yang terlibat dengan banjir baru-baru ini, kerajaan negeri menyediakan bantuan maksimum RM300, bagi yang mempunyai anak yang bersekolah sekurang-kurangnya dua orang.

“Sebelum ini kita sediakan RM200 maksimum, kalau ada tiga empat orang tetap RM200. Tetapi ini kawasan banjir sahaja kita tambah RM100 lagi,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju membayar bonus kepada penjawat awam setengah bulan gaji atau minimum RM500 bermula Januari ini.

Keputusan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri ketika mengumumkan Bajet 2014, Oktober lalu yang akan menyediakan insentif itu kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam seluruh Malaysia.