Halaman

29 December 2013

MENYEDUT UDARA BERSIH TASIK PUTERI



Anda penat memandu di laluan jalan Jerangau- Jabor?
 Tasik Puteri Bukit Besi adalah tempat yang amat sesuai untuk berehat. Tasik ini yang sebelumnya dikenali sebagai Tasik Bukit Besi cukup indah, udaranya bersih dan telah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan.
 Di sini telah pun disediakan tandas, restoran dan surau di samping kemudahan berekreasi termasuk aktiviti air.
 Semalam (28 Disember) telah diadakah Karnival Koperasi & Usahawan serta Karnival Sukan Air yang berlangsung di Tasik Bukit Besi berlangsung dengan jayanya.
  Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, YB Roslee Daud yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri), tujuan program itu diadakan adalah sebagai langkah mempromosikan tasik yang bersejarah itu.
 Kemunculan tasik bekas lombong itu cukup sinonim dengan sejarah perlombongan di Bukit Besi yang bermula sejak tahun 1920 an lagi.
 Pihaknya mengalu-alukan kehadiran semua dengan menyediakan segala kemudahan.
  Dalam karnival tersebut, pelbagai acara diadakan membabitkan sukan air seperti lumba kayak, bola baling, pukul bantal dan sebagainya.
 Lebih dari 2,000 orang telah berkunjung ke karnival tersebut yang diadakan bersama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Ruslan Rahman melaporkan.

Blue Archipelago 'sponser' gunting rambut.


Zulkifly sempat mengunting rambut seorang peserta.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 30 pelajar lelaki dari beberapa buah kampung berhampiran Penarik, dekat sini mendapat khidmat gunting rambut percuma bersempena Program Kembali Ke Sekolah, Gunting Rambut Jom yang diadakan di Dewan Aktiviti Kampung Penarik, dekat sini, semalam.

Program anjuran Blue Archipelago Berhad (Syarikat ternak udang) dengan kerjasama JKKK Mukim Chalok II itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk setempat dengan JKKK, Wakil Rakyat dan pihak pentadbiran Blue Archipelago.

Wakil syarikat itu, Wan Nadhri Wan Fauzi, berkata selain itu antara tujuan program yang pertama kali diadakan itu ialah bagi memupuk semangat kerjasama antara syarikatnya dan masyarakat setempat.

Wan Nadhri..hubungan erat.
"Program gunting rambut ini adalah yang pertama kali kita adakan dengan kerjasama JKKK Chalok II. Insya Allah, selepas ini, kita bercadang akan mengadakan program berkhatan beramai-ramai tahun depan membabit kanak-kanak sekitar Penarik ini.

"Sebelum ini kita pernah buat bantuan untuk membaikpulih surau Kampung Nyatoh, sebelum itu kita buat majlis bersama rakyat di SK Penarik," katanya mengenai majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh itu.



Tahan..dua kanak-kanak asyik digunting rambut.
Bincang..Zulkifly dan Wan Nadhri bincang sesuatu.

Terima..seorang daripada 8 tukang gunting terima cenderahati.

Yb Zul dan isteri bergambar kenangan dengan penduduk.

Tunggu..sebahagian peserta menunggu giliran.

 

28 December 2013

Pelajar cemerlang UPSR Dun Jabi dirai.

Tahniah..seorang murid menerima cenderahati dari Iskandar.
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Seramai 63 murid cemerlang UPSR (2013) dari kawasan Dun Jabi menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang bersama cenderahati di Majlis Anugerah Cemerlang Dun itu, hari ini.

Majlis yang bertujuan untuk menyuntik semangat murid-murid cemerlang dalam peperiksaan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Dalam ucapan perasmiannya, Iskandar mahu semua pelajar yang menerima anugerah itu meneruskan kecemerlanganya apabila melangkah ke sekolah menengah nanti.

Iskandar...suntik semangat.
"Saya mengharapkan kesemua 63 pelajar yang cemerlang dalam UPSR ini akan mengekalkan kecemerlangan mereka dalam peperiksaan lain yang bakal mereka hadapi di peringkat menengah nanti," katanya.

Iskandar juga mahu semua pihak termasuklah ibubapa, pihak sekolah dan pemimpin masyarakat di peringkat Dun jabi berganding bahu memastikan kecemerlangan pelajar di peringkat Dun itu.

"Saya juga mengharapkan pelajar cemerlang 10 atau 15 tahun dahulu kembali menabur bakti membantu pelajar-pelajar di Dun Jabi ini apabila pulang ke kampung supaya mereka berjaya dalam pelajaran dan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di kawasan Dun ini," katanya.

Hadir..antara tetamu jemputan yang hadir.

Sokongan..ibubapa bersama anak-anak mereka.

Cemerlang...antara pelajar cemerlang Dun Jabi.

Suntik semangat...Iskandar bertanya khabar pelajar.

Mohd Farhan(SK Kerandang)...terima kasih.

Mohd Faiz(SK PokWong)...gembira.
Terima..antara murid perempuan yang menerima sumbangan.

 

Pemuda Setiu bantah 'Himpunan Guling Kerajaan'

Sebahagian 50 yang hadir membantah cadangan 'Himpunan guling kerajaan'
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 50 pemuda daripada beberapa pertubuhan dan persatuan di daerah Setiu membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, di sini, hari ini berhubung cadangan mengadakan Himpunan Guling Kerajaan yang akan diadakan pada 31 Disember ini.

Jurucakap mereka, Norhairy Azli Hassan berkata, tujuh pihak terbabit dengan laporan polis itu, antaranya ialah Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Majlis Belia Setiu, Belia 4B, Belia, Pertubuhan Mujahid, Persatuan Bolasepak Daerah Setiu dan MAYC Setiu.

Bersemangat..Iskandar dan beberapa pemuda meminta sokongan ramai.
"Kami menentang sekeras-kerasnya himpunan itu, malah kami sangat menyokong apa-apa tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang terbabit dengan himpunan itu pada 31 Disember ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, laporan polis itu dibuat supaya kerajaan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba menghuru-harakan negara.

Iskandar (kiri) turut hadir di IPD Setiu.
"Pada hari ini Pemuda UMNO dan NGO-NGO belia bergerak di seluruh negeri Terengganu membuat laporan polis, terhadap cadangan penganjuran himpunan guling kerajaan pada 31 Disember ini.

"Kita mahu memberi masej bahawa kerajaan serius dalam mengambil tindakan kepada sebarang unsur-unsur yang boleh mencetuskan huru-hara dan menganggu gugat ketenteraman awam. Kita harap kerajaan bertindak tegas kepada mereka kerana golongan itu adalah minoriti.

"Kita semua tahu bahawa perhimpunan itu tidak diberi permit dan ianya adalah salah di sisi undang-undang. Oleh itu saya meminta kepada semua terutamanya penduduk di daerah Setiu samada yang tinggal di Kuala Lumpur atau di sini, supaya tidak menyertai himpunan itu," katanya.

 

Polis minta tidak sertai perhimpunan haram


Polis Terengganu menasihati orang ramai, khususnya penduduk di negeri ini, agar tidak menyertai perhimpunan haram yang dijangka diadakan pada malam 31 Dis ini.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ini kerana perhimpunan itu boleh dianggap satu agenda yang bertentangan dengan undang-undang negara sedia ada.

 Beliau berkata orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajakan atau hasutan untuk menghadiri himpunan itu sama ada melalui panggilan telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS).

"Mereka yang menyertai himpunan ini boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24C Kanun Keseksaan kerana cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah (melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) serta akta lain yang berkaitan.

 "Nak berhimpun untuk meraikan detik 12 malam tidak salah namun jangan sesekali menyertai himpunan berkenaan," katanya.

 Manoharan berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan penganjuran perhimpunan itu di Kuala Lumpur Selasa depan.

 

27 December 2013

25 terima oven di Batu Rakit.

TERIMA...seorang penerima bantuan dari Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Setiu menerima sumbangan oven yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, di Batu Rakit, baru-baru ini.

Seramai 26 penduduk sekitar Dun Batu Rakit menerima sumbangan itu iaitu 25 orang wanita menerima oven manakala seorang lelaki menerima peralatan pancing bagi membolehkan mereka menambah pendapatan keluarga.

"Saya berharap agar barangan yang disumbangkan ini dapat membantu menambah pendapatan dan gunakanlah pemberian ini sebaik yang mungkin.

Hadir..antara penerima yang hadir
"Tahniah kepada mereka yang terpilih dan saya akan sentiasa untuk membantu mereka yang memerlukan bagi membasmi kemiskinan di kalangan penduduk. Terima kasih juga kepada Pertubuhan Peladang yang tidak jemu-jemu membantu para petani di Batu Rakit," kata Bazlan.-Oleh: Aminudin Ismail.

 

Masjid Khalifah semakin indah semakin berimarah.

Masjid Khalifah di Jalan Pusara, Kuala Terengganu.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN kedudukannya agak terlindung dari pandangan orang ramai kerana ia tidak terletak di jalan utama malah mungkin ada yang tidak mengetahui lokasinya namun Masjid Khalifah yang terletak di Taman Jaya, Jalan Pusara, bandar Kuala Terengganu tetap menjadi tumpuan ramai untuk beribadah.

Masjid yang pada asalnya sebuah surau itu dibuka kepada orang ramai pada Julai 2011 bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar yang semakin ramai khususnya untuk solat Jumaat dan solat dua hari raya.

Datuk Aziz..pengerusi masjid.
"Pada asalnya, masjid ini adalah sebuah surau yang dibina oleh bekas Setiausaha Kerajaan, Datuk Wira Jaya sekitar tahun 1970 untuk kegunaan penduduk Taman Jaya," kata Pengerusi Masjid Khalifah Taman Jaya, Datuk Aziz Badli Awang Chik.

Menurut Datuk Aziz, memandangkan semakin banyak taman-taman baru yang wujud berhampiran masjid itu antaranya ialah Taman Dahlia dan beberapa taman lagi di Jalan Kamaruddin dan Jalan Pusara, menjadikan jumlah jemaah semakin meningkat.

"Saya bersama-sama AJK masjid dan jemaah masjid ini memohon kepada kerajaan melalui wakil rakyat membina sebuah bangunan masjid yang baru bagi mengantikan masjid lama memandangkan jumlah jemaah yang semakin meningkat terutamanya untuk solat Jumaat dan dua hariraya. 

"Tidak beberapa lama kemudian kerajaan negeri (Barisan Nasional) meluluskan pembinaanya dan dalam tempoh kira-kira dua tahun bangunan ini siap sepenuhnya," katanya mengenai masjid bernilai kira-kira RM4.5 juta itu.

Beliau mengharapkan penduduk sekitar Masjid Khalifah ini memanfaatkan sepenuhnya pembinaan masjid ini kerana selain untuk menunaikan ibadah solat, masjid itu juga mengadakan aktivti ceramah agama dan kelas al-Quran.

Ustaz Muhammad..Imam II.
Sementara itu, Iman II masjid, Muhammad Rusdi, berkata jumlah jemaah yang menunaikan solat Zohor dan Asar ialah antara 100 dan 150 orang satu waktu manakala solat Jumaat pula ialah kira-kira 1000 orang.

"Sambutan terhadap solat fardu di masjid ini amat mengalakkan daripada penduduk berhampiran masjid dan beberapa pengunjung bandar Kuala Terengganu.

"Selain itu, ramai juga kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman serta  Wisma Persekutuan dan Negeri di Jalan Pejabat datang menunaikan solat fardu di sini." katanya.

Muhammad berkata, antara aktiviti keagamaan yang dijalankan di masjid Khalifah itu ialah pada malam Ahad hingga Khamis diadakan kuliah maghrib yang menampilkan imam masjid dan beberapa penceramah dari luar manakala pada malam jumaat pula diadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat.

"Aktiviti lain ialah kuliah subuh, pagi Selasa atau Isnin pula ialah ceramah agama untuk wanita, lepas solat asar diadakan tazkirah, pagi jumaat selepas solat subuh bacaan surah Al-Kahfi dan beberapa program tahunan antaranya ialah Sambutan Maulud Nabi dan Maal Hijrah," katanya. 

Menurutnya, Imam I masjid itu ialah Ustaz Solahudding Dhalee manakala bilal pula ialah Yusof Embong dan Faisal Ismail yang bertugas secara bergilir-gilir.
Kemas..ruang dalaman yang kemas dan luas,
Menarik...pintu depan masjid,

Berseni..ukiran pada sisir udara yang cantk.

Rehat..kerusi rehat turut disediakan.

Taman..pemandangan luar masjid bagai taman.

Tugas..seorang petugas membersih kawasan masjid.

Tabir..tabir yang memisahkan jemaah wanita.

Ilmu...Bilik pengajian agama.

Luas..ruang tambahan untuk jemaah bersolat.

Santai..wakaf untuk pengunjung masjid.
Mudah..laluan OKU turut diadakan.

Bersih...tandas sentiasa bersih.

 

56 remaja Hulu Besut tamat latihan silat


Remaja Hulu Besut membuat persembahan silat

Oleh: Mohammad Ishak

Semangat cintakan seni mempertahankan diri oleh remaja di Kampung Durian Telor, Hulu Besut, yang memanfaatkan musim cuti persekolahan yang panjang dengan menyertai Seni Silat Tari Jatuh boleh dijadikan contoh kepada remaja lain.

Seramai 56 pelajar termasuk lima perempuan menyertai latihan silat berkenaan bertujuan melengakpan remaja terbabit dengan ilmu mempertahankan diri.

Selepas tiga bulan mereka menyertai latihan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Cawangan Terengganu satu majlis pelima diadakan semalam.

Majlis yang berlangsung di Gelanggang Silat Kampung D urian Telor, itu dirasmikan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu, Zaifri Hussin.

Ketika upacacara penutup dan majlis pelimau itu peserta menunjukkan kehebatan bersilat serta mengadakan demontrasi secara beramai-ramai.

Zaifri memuji usaha yang dilakukan oleh JKKK kampung terbabit kerana berjaya mengumpul ramai remaja dan menyertai aktiviti hujung minggu yang banyak memberi faedah terutama dalam seni mempertahankan diri.



“Jika tiada remaja yang terbabit dalam seni berkenaan ia satu hari dikhuatiri akan pupus dan genarasi akan datang tidak akan melihat kehebatan seni mempertahankan diri yang diwarisi bangsa Melayu,” katanya.

Menurutnya, majlis pelima dan penyampaian sijil kepada peserta terbabit sebahagian daripada usaha menggalakkan anak muda menyertai aktiviiti seni mempertahankan diri yang semakin dilupakan remaja masa kini.

26 December 2013

Kerajaan negeri taja 30 imam bilal tunai haji tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menaja 30 orang di kalangan imam, bilal dan kakitangan kerajaan membabitkan kos RM299,400 untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, pegawai dan kakitangan awam (17), Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan kemajuan Kampung (8), imam (3), bilal dan penerima anugerah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), masing-masing seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata kakitangan awam yang terpilih merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (ACP) Negeri Terengganu.

“Pengerusi JKKK, Imam dan bilal pula dipilih berdasarkan tempoh perkhidmatan tidak kurang daripada empat tahun berturut-turut serta mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan juga Pegawai Daerah atau Pegawai Agama Daerah.

“Sementara penerima anugerah JHEAT pula terdiri daripada ereka yang pernah menerima anugerah imam bilal cemerlang, pernah memenangi pertandingan anjuran JHEAT seperti pertandingan Tilawah al-Quran dan Hafazan peringkat negeri serta sebgainya, katanya sebagai mengulas soalan bagi jawapan bertulis oleh YB Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam-Pas), di Sidang DUN, baru-baru ini.

Sementara itu, YB Ghazali berkata, seramai 221 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang menuntut di Mesir dan daripada jumlah itu 50 sahaja yang pulang ketika pergolakan di negara itu, baru-baru ini.

Katanya, sementara pelajar lain sudah berada di Malaysia kerana pulang bercuti semester dan semua kos ditanggung oleh pelajar sendiri.

“Pengurusan membawa balik pelajar terbabit dituskan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat dan tiada sebarang kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri untuk proses itu,” katanya.

Sehingga kini, seramai 206 pelajar kembali belajar di Mesir.