Halaman

16 January 2014

Elak guna orang tengah- Zakaria.

TINJAU..Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussin (depan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pengusaha kantin di SMK Pelong, Setiu, sambil diperhatikan Ketua Pegawai Pendidikan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Rahim, (kanan) di kantin sekolah itu, semalam. 

Dalam lawatan itu, Kipayatuallah berkata, Zakaria mencadangkan semua pengusaha kantin di negeri ini supaya membuat sendiri makanan yang dijual di kantin dan bukannya membeli melalui orang tengah untuk mengelakan daripada kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Katanya, Pengarah Pelajaran Terengganu itu juga mengingatkan pengusaha kantin di negeri ini supaya tidak menaikan harga minuman dan makanan sewenang-wenangnya dan barangan makanan yang dinaikan harga dilarang dijual sehingga harga itu diturunkan.

"Beliau (Zakaria) mahu pengusaha kantin mengelakan daripada mengunakan orang tengah supaya harga sentiasa terkawal disamping menjual barangan makanan yang baik dan bermutu," katanya.-oleh: Aminudin Ismail.

 

15 January 2014

Abdullah dapat rumah dilengkapi perabot sumbangan Bank Rakyat.

Gembira...Abdullah (bersongok) bersama isteri menerima replika kunci dari Azman sambil diperhati Iskandar.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Seorang wargatua, Abdullah Soud, 74 tidak menyangka kunjungan Kelab Belantara 4x4 Besut pada bulan puasa tahun lalu membawa kepada perubahan dalam keluarganya apabila beliau mendapat sebuah rumah baru bernilai kira-kira RM40,000 yang dilengkapi perabut sumbangan Bank Rakyat.

Abdullah berkata, kelab 4x4 itu bersama sekumpulan pelajar universiti membuat lawatan ke rumahnya yang agak uzur dan menyampaikan bantuan.  Selepas itu, katanya, mereka membuat permohonan kepada pihak Bank Rakyat untuk membina rumahnya itu.

"Selepas beberapa hari kunjungan itu, pegawai dari Bank Rakyat pula datang ke rumah saya dan mereka memberitahu akan membina sebuah rumah baru untuk saya berhampiran rumah ini.

Baru...rumah baru Abdullah sebelah rumah lama.
"Pada bulan 10 tahun lalu, rumah ini mula di bina dan siap pada akhir bulan 12 lalu. Hari ini ia diserahkan kepada saya," kata Abdullah yang begitu gembira ketika ditemui di majlis ringkas penyerahan rumah sumbangan Wang Zakat Bank Rakyat itu di Kampung Gong Nangka, Besut, hari ini.

Abdullah tinggal di rumah barunya yang mempunyai tiga bilik itu bermula hari ini bersama isterinya, Fauziah Soh, 50 dan seorang anaknya yang cacat fizikal, Alias Abdullah berusia 18 tahun serta tiga lagi anaknya yang masih belajar manakala seorang lagi sudahpun bekerja.

"Kalau dulu saya tinggal di rumah yang sempit dan uzur bersama isteri dan anak-anak, kini saya begitu gembira kerana dapat tinggal di rumah yang lebih selesa iaitu tiga bilik dan dilengkapi perabot," katanya sambil berterima kasih kepada Bank Rakyat dan semua pihak yang membantunya sehingga mendapat rumah itu.

Berucap..Iskandar ketika berucap.
Turut hadir pada majlis peyerahan kunci rumah itu ialah Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Azman Mustaffa, Pengurus Wilayah Timur Bank Rakyat, Pengurus Bank Rakyat cawangan Jerteh, Ibrahim Harun dan wakil Kelab Belantara 4x4 dan beberapa pengerusi JKKK kawasan Dun Jabi.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, beliau berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana sudi menyumbangkan sebuah rumah kepada Abdullah bagi mengantikan rumahnya yang agak uzur. 

"Sebenarnya permohonan Kak Yah (Fauziah, pemilik rumah) untuk mendapatkan rumah PPRT sudahpun dalam perhatian saya tetapi saya berterima kasihlah kepada Bank Rakyat kerana terlebih dahulu memberi rumah yang serba lengkap ini kepada keluarga ini," katanya.
Antara tetamu yang hadir.

Azman...sumbangan duit zakat Bank Rakyat.

Iskandar memberitahu sesuatu kepada Azman.

Iskandar bergambar dengan wakil Belantara 4x4

Selesa..keadaan di dalam rumah Abdullah.

Tinjau..Iskandar meninjau keadaan bilik rumah Abdullah.

 

MB ketuai lawatan kerja ke Antartika 18 Jan-2 Feb ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal mengetuai lawatan kerja ke Antartika anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bermula pada 18 Januari hingga 2 Februari ini.

Lawatan kerja menerusi inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan ini bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan kendalian bersama dengan Institutor Antartico Chileno (INACH), Chile.

Pada masa yang sama, program itu membuktikan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang  menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, lawatan yang lebih bersifat eksplorasi saintifik ini juga merupakan susulan daripada lawatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 yang mahu melihat lebih banyak universiti-unversiti tempatan melibatkan diri dalam penyelidikan di Antartika.

“Lawatan eksplorasi ini adalah inisiatif yang digerakkan oleh YDSM. University Malaysia Terengganu yang akan mengikuti eksplorasi kali ini telah pun meletakkan seorang penyelidik di sebuah stesen di Antartika yang dikenali oleh Korea Selatan selama tiga bulan.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam negara chile supaya Malaysia boleh memberi sumbangan yang lebih bermakna,”katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota-Anggota Majlis PBT Terengganu 2014-2015, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN),  Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, penglibatan Kerajaan Terengganu dalam misi ini mengambarkan sokongan padu yang bersifat proaktif terhadap usaha yang dijalankan di peringkat pusat dan global, sekali gus merintis usaha untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.

Dato’ Seri Haji Ahmad dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandun Persefahaman antara INACH dan Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di Antartika.

 “Dengan termeterainya  MoU ini, kita yakin dapat menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika. Ini akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan staf akademik terlibat dalam penyelidikan di Antartika,” katanya.

Dalam pada itu, Chile akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.


SAINTIS UMT YANG PERNAH KE ANTARTIKA HARGAI LAWATAN KERJA DAN USAHA PENTING MENTERI BESAR TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.
 Saintis Universiti Malaysia Terengganu, (UMT), Proffesor Madya Dr. Hii Yii Siang menyokong penuh dan mengalu-alukan lawatan kerja Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said , ke Antartika.
 Beliau menyifatkan usaha Menteri Besar Terengganu itu amat besar maknanya dalam merealisasikan Antartik sebagai hak milik bersama negara-negara di dunia dan bukannya di bawah penguasaan kuasa besar semata-mata atau disebut sebagai Konsep Warisan Bersama Manusia Sejagat.
 Dr Hii  menyifatkan Dato’ Seri Haji Ahmad seorang yang turut mengambil tanggungjawab dan daya usaha untuk memastikan warisan milik bersama manusia sejagat itu menjadi kenyataan.
Apatah lagi usaha awal sebenarnya telah dirintisi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu menjadi Yang Di Pertuan Agong Malaysia.
  Beliau berkata demikian sebagai mengalu-alukan lawatan kerja Menteri Besar Terengganu ke Antartika anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia yang digerakkan melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan bermula 18 Januari hingga 2 Februari ini.
  Sempena lawatan kerja itu, Dato’ Seri Haji Ahmad dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Instituto Antartico Chileno (INACH) dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan Antartika.
 (wawancara khas Pengarang Teganukita, Ruslan Abdul Rahman dengan Dr. Hii Yii Siang, saintis UMT yang pernah ke sana akan disiarkan ).

IMBASAN:

8 Oktober 2013:

USM Pulau Pinang: Biarpun tidak memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antartika, sebanyak 150 penyelidik muda dari Malaysia yang sedang membuat kajian peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah di benua itu mampu membanggakan negara.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, jika kecemerlangan tersebut diteruskan tidak mustahil Malaysia mampu memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antartika sekali gus melonjak nama negara di peringkat antarabangsa.
Baginda bertitah, menjadi visi kerajaan kejayaan di Antartika dikongsi bersama seluruh dunia dan penyelidikan berkenaan dapat dikekalkan.
"Hasil usaha yang ditonjolkan Malaysia menerusi 'Persoalan Tentang Antartika' yang dibangkitkan dalam Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu secara tidak langsung menjadikan Sistem Perjanjian Antartika (ATS) lebih telus kepada negara ahlinya.
"Penyertaan Malaysia dalam ATS juga adalah langkah tepat untuk membolehkan negara mempelbagaikan sumber bagi meneruskan penyelidikan di Antartika," titah baginda yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Keenam.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin dan Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ahmad Shukri Mustapha Kamal.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, Malaysia akan menjadi negara Asia pertama menganjurkan Persidangan Jawatankuasa Saintifik bagi Penyelidikan Antartika yang menggunakan format baharu pada 2016.
Menurutnya, penyelidikan dan penerokaan Antartika mampu membawa faedah kepada negara dan sejagat yang menghasilkan pelbagai fenomena unik seperti lohong ozon, ikan yang mempunyai protein penghalang beku dan pelbagai fenomena yang belum dikaji sebelum ini.
"Pada masa ini terdapat 27 negara yang telah memiliki stesen penyelidikan di Antartika dan kita akan menyertai mereka, namun apa yang penting adalah sokongan kerajaan serta kajian menyeluruh mengenai keperluan pembinaan stesen berkenaan," 

19 Julai 2012:

 YAYASAN PENYELIDIKAN ANTARTIKA SULTAN MIZAN TERIMA SUNTIKAN DANA LEBIH RM12 JUTA









Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan terima suntikan dana lebih RM12 juta bagi membiayai penyelidikan Antartika serta aktiviti yayasan itu.

Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM10 juta dan dana sepadan dengan jumlah maksima RM500,000 setiap tahun manakala kerajaan Terengganu RM2 juta dan selebihnya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UMT) RM100,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) RM50,000.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Maximus Johnity Ongkili berkata, penubuhan yayasan ini mengambarkan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap penyelidikan sains di Antartika dan Artik serta pembangunan sains global di negara ini.

Katanya, kehadiran Malaysia secara berterusan untuk menjalankan penyelidikan asas bagi menghasilkan pengetahuan baru adalah selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi masyarakat berilmu.



“Saya amat berbangga kerana yayasan ini adalah yang pertama ditubuhkan di negara ini bagi membantu aktiviti-aktiviti penyelidikan sains kutub,” katanya di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Julai).



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran itu. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Menurutnya, pada Oktober tahun lalu, Malaysia telah menandatangani Antarctic Treaty System (ATS) 1959 dan menjadi ahli Madrid Protocol yang memberi rangka kerja bagi pengurusan dan pentadbiran Antartika serta kerjasama antara semua pihak dan ahli ATS.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam ATS memberi peluang yang sangat luas kepada para saintis negara ini untuk menyertai komuniti penyelidikan antarabangsa dalam sains Antartika melalui Badan Bertindak Antartika dan Pusat Penyelidikan Antartika Nasional bertempat di Universiti Malaya sebagai pusat rujukan penyelidikan saintis Malaysia.

Katanya, sejak ia dimulakan (1999) hingga kini sebanyak 31 projek penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk sains atmosfera, polar mikrobiologi, ekologi, remote sensing, geo sains, dasar dan pengurusan Antartika berjaya dilaksanakan oleh penyelidik negara.

“Manakala sebanyak 151 penerbitan saintifik telah dihasilkan dan 105 graduan dan graduan lanjutan telah mendapat latihan dalam program ini,” katanya.
Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus menyarankan kerajaan-kerajaan negeri,sektor swasta dan individu untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan yayasan dari segi sumbangan dana dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yayasan,” katanya.






Kerajaan negeri timbang naik kadar cukai pintu MBKT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menimbang untuk menaikkan kadar cukai pintu bagi kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) seawal-awalnya tahun depan selepas menggunapakai tarif sedia ada sejak 1981.

Bagi 2014, MBKT masih mengekalkan cukai pintu mengikut nilai semasa tahun lalu, iaitu lima hingga 15 peratus  nilai tahunan harta dan pegangan merangkumi bangunan kediaman, bangunan komersial, bangunan industri dan tanah pertanian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertimbangan untuk menaikkan kadar itu berdasarkan beban yang terpaksa ditanggung oleh MBKT bagi kos pengurusan yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diperolehi menerusi cukai pintu yang amat rendah.

“Kita belum membuat keputusan (menaikkan cukai pintu) berkenaan tetapi kita akan menimbang berdasarkan permintaan pihak MBKT selain kajian yang dibuat kerana beban yang terpaksa ditanggung oleh MBKT terlalu tinggi.

“Sejak 1981 tidak dinaikkan dan tidak adil bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan. Bayangkan sejak 1981 sudah 32 tahun tidak naik cukai pintu, sedangkan aset semasa sudah meningkat berapa kali ganda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota-Anggota Majlis PBT Terengganu 2014-2015, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, kenaikan yang tidak melibatkan PBT lain dan hanya MBKT sahaja itu juga dijangka akan mengurangkan beban kerajaan negeri yang memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun bagi kos pengurusan PBT berkenaan.

Tambah beliau,  kerajaan negeri membayar pengambilan semula tanah dan rumah kepada penduduk mengikut pasaran semasa berikutan nilai aset berkenaan yang meningkat beberapa kali ganda dari tahun ke tahun, berbanding kadar cukai pintu yang tidak pernah dinaikkan sejak 32 tahun lalu.

“Daerah lain tidak banyak terlibat sebab pernah dibuat kenaikan cukai pintunya sedikit masa dahulu, cuma Kuala Terengganu sahaja (MBKT) yang menggunapakai tarif sejak 1981 hingga sekarang. Tidak menggambarkan nilai aset sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta rakyat dapat menerima perubahan serta kenaikan yang akan dilaksanakan itu dengan rasional memandangkan kos pengurusan yang semakin naik selain bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk.

 “Kerajaan Terengganu mengagihkan kira-kira RM350 juta setahun untuk semua PBT. Sedangkan Kerajaan Selangor tiada pun PBT yang mendapat peruntukan kerajaan negeri sebab masing-masaing sudah boleh berdikari seperti Ampang Jaya, Kelang dan Shah Alam masing-masing mempunyai pendapatan lebih RM100 juta setahun. Bandar Raya Kuala Lumpur, hampir RM 4 bilion setahun mengatasi pendapatan sebuah negeri.

“Rakyat mahu perkhidmatan semakin baik, dari segi penyelenggaraan jalan dan longkang tetapi apabila mahu membayar cukai RM50 hingga RM100 setahun pun tidak mahu bayar dan tiada sumbangan dari rakyat,” katanya.

 

Tekankan pendidikan al-Quran

Oleh: Noraini Jusoh

“Rakyat negeri ini terutama ibu bapa perlu menekankan pendidikan al-Quran kepada anak-anak sejak dari awal usia mereka,” titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berkenan merasmikan sambutan Maulidul Rasul peringkat negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut baginda, Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kepada umatnya kitab suci al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, dipelajari, dikaji dan difahami maksud pengajarannya, bahkan untuk diamal bagi membolehkan masyarakat Islam membina empayar kekuatan sendiri dan membentuk jati diri muslim sejati.

“Beta mengucapkan syabas kepada kerajaan beta dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerana telah memberi kecaknaan dan fokus dalam pendidikan al-Quran sejak alam tadika lagi, sebagaimana yang telah dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan di negeri ini terutamanya oleh Yayasan Islam Terengganu.

“Beta juga difahamkan bahawa program menghafaz al-Quran di kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, dan juga di kalangan orang dewasa turut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang mana peruntukan kewangan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” titah baginda.

Titah baginda, kewujudan ‘Kelas Tamayyuz’ di beberapa buah sekolah menengah agama negeri Terengganu yang bermula dari tingkatan satu sejak beberapa tahun yang lepas diharap diterus dan diperkasakan lagi.

“Beta percaya kelas Tamayyuz ini sangat penting dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang kental dan berjiwa al-Quran,” titah baginda.

Malah baginda berharap, program menghafaz al-Quran hendaklah dijadikan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Agama Negeri Terengganu.



Tadika YIT Permaisuri adakan perarakan Maulid Nabi.

Selawat..kanak-kanak tadika menyertai perarakan.
BANDAR PERMAISURI: Seramai 141 murid Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) cawangan Permaisuri mengadakan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh pihak sekolah itu, di sini, pagi tadi.

Menurut Guru Besarnya, Che Rosmani Che Soh, perarakan itu bertujuan untuk menerapkan semangat cintakan Rasulullah dan memperkenalkan budaya berkumpulan.

Pegawai YIT Setiu turut serta.
"Perarakan peringkat sekolah ini adalah yang pertama kali kita adakan. Ianya bermula di perkarangan sekolah, melalui depan Bank Simpanan Nasional dan kembali semula ke kawasan Sekolah iaitu sejauh kira-kira 500 meter.

"Sebenarnya kanak-kanak ini sudah biasa dengan selawat ke atas nabi kerana ianya menjadi amalan murid sebelum memasuki kelas dan kanak-kanak ini begitu gembira menyertai perarakan itu," katanya.

Turut hadir pada perarakan itu ialah 21 kakitangan termasuklah 17 guru dan ustazah serta beberapa pegawai dari Yayasan Islam Terengganu Daerah Setiu.

Che Rosmani berkata, tadika itu pernah memenangi tempat pertama kategori Tadika pada pararakan Maulidul Rasul pada 2011 lalu.

 

MB lawat `Anak Permata Maulidur Rasul’

Menteri Besar dan isteri melawat bayi yang digelar  'Anak Permata Maulidur Rasul' sempena sambutan Maulidur Rasul  1435H di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu mencatatkan seramai 44 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat sedang menyambut hari kebesaran Islam pada 12 Rabiul Awal atau bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Rata-rata ibu kepada bayi yang digelar `Anak Permata Maulidur Rasul’ itu menyatakan perasaan terharu dan berasa bertuah kerana dapat melahirkan anak ketika umat Islam sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w.

 Situasi gembira itu turut dikongsi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said apabila sudi mengunjungi ibu dan bayi yang selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.


Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dato’ Dr Anwa Sulaiman Jabatan.

 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, seramai 27 bayi, termasuk 13 bayi lelaki selamat dilahirkan pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di HSNZ, mereka dilaporkan sihat dan tiada kematian dicatatkan. 

"Bayi paling awal dilahirkan pada jam 7,30 petang, manakala bayi seberat 4.95 kilogram dicatatkan paling besar yang dilahir seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Puan Ramlah Awang, 41.

“Saya berharap ibu dan bapa dapat mendidik anak-anak ini, supaya menjadi insan berguna apabila membesar kelak.

“Ibu bayi sewajarnya berasa bertuah kerana dipilih Allah, melahirkan anak sama tarikh dengan kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w.,” katanya.

Ibu terharu dapat lahir anak pada tarikh istimewa

 Oleh: Suriati Ali

 “Cukup terharu dan bersyukur kerana dipilih Yang Maha Esa dapat melahirkan anak ke enam pada 12 Rabiul Awal atau bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

 “Tarikh ini sudah dijangka, kerana pegawai perubatan telah menetapkan 14 Januari sebagai tarikh pembedahan kerana anak yang dikandung agak besar.

 “Agak terkejut juga, anak yang dilahirkan ini seberat 4.95 kilogram sedangkan doktor hanya menjangkakan hanya 3.8 kg,” katanya seorang ibu yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Puan Ramlah Awang, 41.

Puan Ramlah berkata demikian ketika menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama rombongan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Seorang ibu muda, Nurul Zulaikha Mokhtar, 20, dia tidak menjangka dapat melahirkan anak sulung pada tarikh cukup istimewa kerana jangkaan sebenar pada 17 Januari ini.

“Saya dan suami Mohd Badrul Hisham Baharudin, 26, berazam membesarkan anak ini dengan penuh kasih sayang dan pendidikan yang sempurna supaya menjadi insan berguna apabila dewasa kelak,” katanya.

 

Penjawat awam perlu berazam tingkat prestasi

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Penjawat awam di negeri ini diminta berazam dan beriltizam untuk meningkatkan prestasi kerja bagi memenuhi aspirasi dan hasrat negeri melahirkan modal insan yang seimbang tercapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kualiti kerja merupakan nilai yang sentiasa berubah mengikut arus pergerakan masa. "Usaha kita untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penjawat awam hendaklah secara berterusan dan tidak terhenti selagi hasrt kerajaan tidak tercapai.


"Selain memberi perkhidmatan yang berkualiti kita juga haruslah mempunyai kewibawaan dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap urusan atau tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, YB Dato’ Azhar Abdul Hamid; Pegawai Kewangan Negeri, Dato Razali Kassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/ Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato, Haji Zulkifli Mohamad dan Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Yasim Awang.

Seramai 15 penjawat awam bagi tempoh Oktober hingga Disember dianugerahkan Pekerja Cemerlang Bulanan. Mereka termasuk Puan Noriyah Muda dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Khidmat Pengurusan; Puan Rohaya Mohamad (Pejabat Perbendaharaan Negeri); Enck Ali Abdullah (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Mohamad Salleh Omar (Pejabat Perbendaharaan Negeri).

Penjawat awam lain, Haji Yahaya Wan Zaina (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Razlan Mamat dari Unit Komunikasi Negeri.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu budaya kerja kelas pertama perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam dan seharusnya tidak ada kompromi dalam soal integriti kerana perkara ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap peringkat dalam perkhidmatan kerajaan.


Katanya, penjawat awam perlu mengamalkan tonggak 12 yang menggariskan 12 nilai murni yang sememangnya dapat mengekang daripada melakukan sebarang penyelewengan dan perlanggaran peraturan seperti penyalahgunaan kuasa, ketidakcekapan, pembaziran dan amalan negatif lain yang boleh melemahkan dan memberikan imej negatif kepada perkhidmatan awam.

 "Sebagai penjawat awam, marilah bersama-sama kita membentuk Perkhidmatan Awam Negeri yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang kita cintai,” katanya.