Halaman

15 January 2014

Abdullah dapat rumah dilengkapi perabot sumbangan Bank Rakyat.

Gembira...Abdullah (bersongok) bersama isteri menerima replika kunci dari Azman sambil diperhati Iskandar.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Seorang wargatua, Abdullah Soud, 74 tidak menyangka kunjungan Kelab Belantara 4x4 Besut pada bulan puasa tahun lalu membawa kepada perubahan dalam keluarganya apabila beliau mendapat sebuah rumah baru bernilai kira-kira RM40,000 yang dilengkapi perabut sumbangan Bank Rakyat.

Abdullah berkata, kelab 4x4 itu bersama sekumpulan pelajar universiti membuat lawatan ke rumahnya yang agak uzur dan menyampaikan bantuan.  Selepas itu, katanya, mereka membuat permohonan kepada pihak Bank Rakyat untuk membina rumahnya itu.

"Selepas beberapa hari kunjungan itu, pegawai dari Bank Rakyat pula datang ke rumah saya dan mereka memberitahu akan membina sebuah rumah baru untuk saya berhampiran rumah ini.

Baru...rumah baru Abdullah sebelah rumah lama.
"Pada bulan 10 tahun lalu, rumah ini mula di bina dan siap pada akhir bulan 12 lalu. Hari ini ia diserahkan kepada saya," kata Abdullah yang begitu gembira ketika ditemui di majlis ringkas penyerahan rumah sumbangan Wang Zakat Bank Rakyat itu di Kampung Gong Nangka, Besut, hari ini.

Abdullah tinggal di rumah barunya yang mempunyai tiga bilik itu bermula hari ini bersama isterinya, Fauziah Soh, 50 dan seorang anaknya yang cacat fizikal, Alias Abdullah berusia 18 tahun serta tiga lagi anaknya yang masih belajar manakala seorang lagi sudahpun bekerja.

"Kalau dulu saya tinggal di rumah yang sempit dan uzur bersama isteri dan anak-anak, kini saya begitu gembira kerana dapat tinggal di rumah yang lebih selesa iaitu tiga bilik dan dilengkapi perabot," katanya sambil berterima kasih kepada Bank Rakyat dan semua pihak yang membantunya sehingga mendapat rumah itu.

Berucap..Iskandar ketika berucap.
Turut hadir pada majlis peyerahan kunci rumah itu ialah Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Azman Mustaffa, Pengurus Wilayah Timur Bank Rakyat, Pengurus Bank Rakyat cawangan Jerteh, Ibrahim Harun dan wakil Kelab Belantara 4x4 dan beberapa pengerusi JKKK kawasan Dun Jabi.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, beliau berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana sudi menyumbangkan sebuah rumah kepada Abdullah bagi mengantikan rumahnya yang agak uzur. 

"Sebenarnya permohonan Kak Yah (Fauziah, pemilik rumah) untuk mendapatkan rumah PPRT sudahpun dalam perhatian saya tetapi saya berterima kasihlah kepada Bank Rakyat kerana terlebih dahulu memberi rumah yang serba lengkap ini kepada keluarga ini," katanya.
Antara tetamu yang hadir.

Azman...sumbangan duit zakat Bank Rakyat.

Iskandar memberitahu sesuatu kepada Azman.

Iskandar bergambar dengan wakil Belantara 4x4

Selesa..keadaan di dalam rumah Abdullah.

Tinjau..Iskandar meninjau keadaan bilik rumah Abdullah.