Halaman

13 January 2014

150 belia sahut cabaran daki Everest

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Hampir 150 belia anak Terengganu termasuk 20 wanita hadir pada hari pertama sesi pemilihan peserta untuk Program Terengganu De' Everest 2015, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

YB Rozi Mamat (kiri) diberi penjelasan mengenai alatan mendaki gunung oleh Datuk Khalid Yunus sambil disaksikan peserta Terengganu De' Everest 2015 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, berkata mereka terdiri daripada kalangan pelajar, kakitangan awam serta swasta itu cukup bersemangat mendaftar diri walaupun rata-ratanya tidak mempunyai pengalaman mendaki ke puncak tertinggi di dunia itu.

 “Saringan pertama bermula minggu ini dengan 40 peserta akan mara ke peringkat seterusnya sebelum lapan dipilih menyertai misi itu bersama lima calon simpanan.


“Senarai pendek peserta yang layak mengikuti misi itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada penghujung April ini,” katanya.

 Presiden Persatuan Kembara Negara, Datuk Khalid Yunus berkata, pihaknya menyediakan program latihan lengkap termasuk di luar negara bagi membantu peserta yang akan bersaing merebut tempat.

"Bagi sesi dalam negeri, peserta perlu berlatih lima hari seminggu iaitu tiga hari pergi ke gimnasium untuk latihan menguatkan otot, satu hari latihan berenang dan satu hari lagi kena berlari selain mendaki sebuah gunung pada setiap bulan di negara ini.


"Sementara sesi latihan di luar negara pula, melibatkan pendakian puncak tertinggi di benua Afrika, Gunung Kilimanjaro diikuti latihan teknikal di Banjaran Annapurna, Nepal pada Mac dan April.

 "Ini disusuli latihan mendaki kedua di Gunung Elbrus, Rusia pada Ogos serta latihan mendaki ketiga yang juga boleh disifatkan sebagai praekspedisi ke Everest iaitu di Gunung Baruntse, Nepal pada September," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sesi pemilihan dan pelancaran program Terengganu De' Everest 2015 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini..

 Datuk Khalid turue memberitahu, selain mengadakan sesi latihan berterusan, peserta juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kecergasan mereka sentiasa pada tahap terbaik.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan memberi penerangan tentang halangan terutama sekali dari segi cara-cara dan teknik mendaki, soal pemakanan serta lain-lain yang berkaitan dengan pendakian itu," ujar beliau.

Projek Gunung Everest kali ini yang dijangka bermula pada Mac 2015, adalah hasil usaha sama kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Kembara Negara yang bertindak sebagai penggerak program.