KEMAMAN 17 Jan – Sumbangan berjumlah RM5 juta disalurkan
Petronas kepada seramai 21,000 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir di
seluruh Pantai Timur dengan sesi pengagihannya dijangka selesai sebelum akhir
bulan depan.
Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Petronas, Norliza
Kamaruddin berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial
korporat (CSR) pihaknya kepada mangsa banjir di tempat mereka beroperasi iaitu
di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“Untuk di Kemaman, bantuan ini akan disalurkan kepada
kira-kira 15,000 keluarga mangsa banjir. “Sementara selebihnya iaitu bantuan
kepada 6,000 lagi keluarga di Kuantan dan Pasir Mas dijangka selesai pada akhir
Februari depan,” katanya selepas menyerahkan replika cek bantuan berjumlah
RM3.4 juta kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam program di Masjid
Pasir Gajah, Air Putih, hari ini.
Katanya, simbolik penyerahan replika cek itu menjadi fasa
pertama pengagihan bantuan itu kepada mangsa banjir di Terengganu.
“Diharap sedikit
sumbangan ini mampu meringankan beban penderitaan keluarga mangsa banjir di
Pantai Timur,” katanya.
Setiap keluarga
mangsa banjir akan menerima satu set alas tidur dan baucer dari Petronas
bernilai RM150 untuk membeli barangan dan keperluan di Kedai Mesra Petronas
serta membeli minyak di stesen itu.