Halaman

12 January 2014

Kerajaan BN berlaku adil agih bantuan banjir : PM

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Barisan Nasional (BN) berlaku adil mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira penyokong kerajaan atau pembangkang serta di kawasan kalah atau menang kerana mengutamakan nilai kemanusian berbanding pertimbangan politik, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak (tengah)  menunjukkan barangan yang diagihkan kepada mangsa banjir selepas menyampaikan baucer bantuan kepada mangsa banjir pada Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan Banjir di Kemaman, pagi ini.

“Dalam pada itu kita berlaku adil, tak kira mereka sokong kita tak sokong kita, tak kira kawasan menang, tak menang, kita tetap beri bantuan kerana nilai kemanusian lebih tinggi dari pertimbangan politik. Ini kerajaan kita.

“Sebab itulah hari ini selain sumbangan RM500 daripada kerajaan, tambah lagi dengan Kerajaan Terengganu RM1,500, kita buat sesuatu yang agak sukar dibayangkan, difikirkan dan dianggarkan sebelum ini kerana apa..kerana kita bagi dapur, mungkin selama ini ada kita bagi dapur, kita juga bagi bantal, mungkin selama ini kita ada bagi bantal, tilam pun kita bagi, mungkin sebelum ini pun ada tilam, tetapi kali ini kita tambah dengan peti sejuk dan televisyen. Saya pesan kepada Dato’ Sri Shabery Cheek sebab televisyen kita ambil dari dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dato’ Sri Ahmad Shabery bagitau kepada saya tak mengapa, boleh ambil kerana justifikasinya ada. Selain nak tolong mangsa banjir, kita juga boleh berkomunikasi dengan rakyat. Jadi apa jua maklumat akan sampai kepada rakyat melalui televisyen LED 32 inci,” katanya.

Beliau berucap demikian di Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, hari ini.


Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Umno Wanita, Dato’ Sri Shahrizat Abd Jalil.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan BN yang berpegang kepada falsafah rakyat didahulukan, sentiasa berusaha dan membuktikan bahawa kerajaan akan sentiasa bersama rakyat dalam senang dan susah termasuk ketika berdepan musibah banjir.

“Bukankah Kerajaan Umno dan BN sahaja (membantu rakyat). Oleh itu janganlah cuba hendak mainkan dalam kepala rakyat, sekali dua turun waktu banjir, sekali dua singsing seluar, keluar dalam Facebook kononnya dialah juara rakyat tetapi hakikatnya dari mula sampai akhirnya Umno dan BNlah yang membantu rakyat.

 “Tidak boleh kita nilai itu sahaja. Dari segi bantuan makanan, dari segi bantuan buruh, dari segi tenaga sukarela, wanita dengan Skuad Sayangnya yang turun walaupun sekejap semangat wanita tidak pernah luntur, sebab itu kita gelar wanita tulang belakang Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Mohd Najib meminta supaya rakyat tidak seharusnya tertipu dengan lakonan pemimpin pembangkang yang hanya keluar bertemu rakyat dan mengagihkan bantuan yang tidak seberapa ketika musim tertentu sahaja.

“Janganlah sebab sehari dua muncul, turun dan kibar bendera besar, tidak bolehlah.. dan tidak sampai, tidak sampai bantuan sebagaimana yang dihulurkan Kerajaan BN,” katanya.

Tambah beliau lagi, keprihatinan pemimpin BN dan Umno juga terbukti apabila ketika ramai pemimpin sedang mengikuti Perhimpunan Agung Umno 2013 yang lalu, Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Sri Ahmad Shabery sanggup meninggalkan tempat persidangan untuk meninjau dan bersama-sama rakyat yang dalam kesusahan.

Di majlis itu, seramai 30 daripada 19,205 keseluruhan mangsa banjir di Terengganu menerima sumbangan kelengkapan rumah iaitu televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan set dapur yang bernilai kira-kira RM5,000 yang akan disampaikan secara berperingkat-peringkat.

 Selain itu, setiap mangsa juga akan menerima bantuan RM500 dari Kerajaan Pusat dan bantuan RM500 hingga RM1,500 dari kerajaan negeri bergantung kepada nilai kerugian.