Halaman
16 January 2014
TERENGGANU DI ANTARTIKA- SUATU USAHA BERMAKNA DALAM MEMBUAT KAJIAN TERHADAP ALAM CIPTAAN TUHAN
Berikut adalah wawancara khas Pengarang Teganukita dengan penyelidik sains dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Professor Madya Dr Hii Yii Siang.
Pengarang Teganukita: Mengapa Dr amat bersetuju dengan pemergian Menteri Besar Terengganu ke Antartik?
Dr. Hii: Yii: Sebabnya ialah terutamanya dari segi menyokong polisi atau dasar hak milik semua ke atas kawasan itu. Suatu ketika dulu Tun Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia telah membawa isu ini ke PBB, iaitu Antartika kepunyaan manusia sejagat untuk bebas membuat kajian dan penyelidikan. Kita tidak mahu hanya negara-negara kuasa besar menguasai Antartika dan jika sekiranya kita tidak hadir ke sana, maknanya kita sekadar bercakap sahaja meminta kawasan itu hak milik bersama, tetapi apa erti milik bersama kalau kita tidak hadir dan melakukan apa-apa di sana.
Pengarang Teganukita: Maknanya pemergian Menteri Besar Terengganu mengetuai deligasi Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan itu amatlah penting.
Dr.Hii Yii: Selain dari segi sokongan kepada dasar tadi, ia juga sebagai sokongan kepada kajian ahli-ahli sains negara kita. Maksudnya pentingnya dari konteks Saintifik. Ini selaras dengan gesaan Tuanku Sultan Mizan sendiri semua ihak menyokong dan bekerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan dalam usaha meningkatkan penyertaan negara dalam penyelidikan saintifik di Antartika. Jadinya, Menteri Besar Terengganu adalah antara pemimpin kedua selepas Tun Mahatir ke sana bagi memperkukuhkan langkah Tun Mahathir sebelumnya. Ia juga sebagai rentetan kepada usaha DYMM Sultan Mizan yang juga difahamkan pernah sampai ke sana.
Pengarang Teganukita: Semasa Dr ke sana dulu apa yang dapat diperhatikan dan apa yang diperolehi sebenarnya?
Dr. Hii Yii: Ya, kami membuat kajian santifik di sana, khusus mengenai cuaca dan kaitan dengan angkasa lepas. Kawasan di sana teramat sejuk, sehingga udara menjadi kering dan tiada awan. Kajian saintifik mengenai sepsis yang sangat rendah, perubahan cuaca dan segalanya perlu dibuat kajian; kesemua itu perlu dilihat dalam konteks Longterm Research Antartika (LRA).
Pengarang Teganukita: Apa lagi yang Dr lihat perlu dan positifnya dengan pemergian pemimpin kita ke sana?
Dr.Hii Yii: Ia adalah misi penting untuk merealisasikan hasrat ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan yang pernah menitahkan Antartika menyediakan peluang yang baik untuk menjalankan penyelidikan sainstifik yang bermanfaat bagi manusia. Antartika merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik mengesan serta memantau fenomena alam sekitar di peringkat Antartika yang belum didedahkan.
Pengarang Teganukita: Apa harapan Dr dan rakan-rakan saintis yang lain dari Malaysia?
Dr.Yii Hii: Sebelum ini kehehadiran kita telah membuat jalinan dan perkenalan dengan pengkaji-pengkaji dari seluruh negara di dunia. Ini penting untuk saling bertukar ilmu dan pengalaman. Hubungan baik dengan penyelidik-penyelidik luar negara itu adalah suatu perkara yang amat penting sebelum kita meneroka lebih jauh.
Kita banyak bergantung kepada ekpidisi yang dianjurkan oleh pihak lain, misalnya tidak lama lagi penyelidik dari UMT, Dr.Wan Mohd Rauhan Wan Hussien akan bersama penyelidik dari Korea ke Antartik.
Adalah diharapkan suatu masa nanti kita juga dapat mengadakan ‘Base Station’ negara kita sendiri di Antartika supaya tidak selamanya bergantung kepada pihak asing. Jadi bagi saya usaha awal yang dibuat oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan mengadakan Memorandum Persefahaman untuk membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di Antartika yang akan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu nanti adalah sesuatu yang amat penting dan bersejarah.