Halaman

17 January 2014

Pusat Pemindahan Kekal, Kenderaan Amfibia Langkah Terengganu Hadapi Banjir

Oleh FAUZI MOHD
KEMAMAN 17 Jan.- Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemindahan kekal dan perkhidmatan kenderaan amfibia sebagai persiapan menghadapi bencana banjir setiap hujung tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, komponen pusat pemindahan pelbagai guna itu terdiri daripada dewan penginapan, surau, tandas, bilik mandi serta sistem bekalan air yang teratur.
Katanya, beberapa tempat yang sesuai dan selamat sedang dikenalpasti bagi tujuan itu.
"Selepas musim banjir atau tengkujuh pusat itu akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti aktiviti kemasyarakatan, belia dan sukan.
"Kita anggarkan kos pembinaan setiap satu RM500,000 dan kita akan bina beberapa buah di negeri ini seperti di Air Putih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan banjir sumbangan Petronas di Pasir Gajah, Air Putih, Kemaman hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerjaraya, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Petronas menyumbangkan RM3.4 juta kepada mangsa banjir di Kemaman dan Resort World Kijal turut memberi bantuan berbentuk barangan.
Mengenai perkhidmatan kenderaan amfibia kata Ahmad, kerajaan negeri bercadang menyediakan kemudahan itu hujung tahun ini.

Menurutnya, kenderaan itu bersaiz seperti lori atau bas yang mempu membawa kapasiti penumpang yang lebih besar dan muatan barangan sehingga 10 tan.
"Selepas tenkujuh, kenderaan berkenaan akan digunakan di Tasik Kenyir bagi tujuan pengangkutan pelancongan", ujarnya.