Menteri Besar dan isteri melawat bayi yang digelar 'Anak Permata Maulidur Rasul' sempena sambutan Maulidur Rasul 1435H di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. |
Gambar oleh Zulkipli Putra
Terengganu mencatatkan seramai 44 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat sedang menyambut hari kebesaran Islam pada 12 Rabiul Awal atau bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Rata-rata ibu kepada bayi yang digelar `Anak Permata Maulidur Rasul’ itu menyatakan perasaan terharu dan berasa bertuah kerana dapat melahirkan anak ketika umat Islam sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w.
Situasi gembira itu turut dikongsi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said apabila sudi mengunjungi ibu dan bayi yang selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dato’ Dr Anwa Sulaiman Jabatan.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, seramai 27 bayi, termasuk 13 bayi lelaki selamat dilahirkan pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di HSNZ, mereka dilaporkan sihat dan tiada kematian dicatatkan.
"Bayi paling awal dilahirkan pada jam 7,30 petang, manakala bayi seberat 4.95 kilogram dicatatkan paling besar yang dilahir seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Puan Ramlah Awang, 41.
“Saya berharap ibu dan bapa dapat mendidik anak-anak ini, supaya menjadi insan berguna apabila membesar kelak.
“Ibu bayi sewajarnya berasa bertuah kerana dipilih Allah, melahirkan anak sama tarikh dengan kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w.,” katanya.