Mohd Azraai yang juga bekas jurulatih Kedah dan Negeri Sembilan berkata sasaran berkenaan bertepatan dengan kekuatan dan keupayaan The Titans, namun jika mampu berada di tangga lebih baik, ia bonus untuk pasukannya.
"Kita tak ada pemain yang mempunyai nama besar dalam pasukan dan rata-rata pemain yang menganggotai skuad kali ini merupakan pemain skuad Piala Presiden T-Team, jadi kita kena berdepan dengan realiti," katanya kepada pemberita di sini.
Mereka menduduki tangga ketiga tercorot daripada 12 pasukan, pada musim lepas. Azraai turut menjangkakan saingan kali ini lebih seimbang dengan adanya pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Selangor serta Pahang yang muncul juara Piala Malaysia, musim lalu.
Menurutnya menjelang aksi pembuka tirai saingan Liga Super menentang Selangor di gelanggang lawan pada 18 Jan ini, rombakan kecil dalam kesebelasan utama akan dilakukan. Ia ekoran masih terdapat beberapa pemain yang masih dibelenggu kecederaan termasuklah dua pemain import, Evaldo Goncalves (Brazil) dan Nelson San Martin (Chile).
"Kita perlu memperbaiki beberapa kelemahan dalam pasukan terutamanya di bahagian serangan sebelum turun menentang Selangor kerana kita tidak mempunyai penggempur tempatan yang benar-benar berwibawa ketika ini.
"Sebab itulah dalam banyak perlawanan persahabatan sebelum ini, kita mencuba pelbagai gandingan di bahagian atas termasuklah Azlan (Ismail), Zul (Mohd Ramzul Zahini Adnan) dan Hattaphon (Bun An) untuk mencari gandingan terbaik," katanya.
Senarai penuh pemain T-Team dijangka diketahui sempena majlis menandatangani kontrak pemain dan memperkenalkan jersi bersama pasukan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di Kuala Terengganu, Selasa ini.