Halaman

15 January 2014

MB ketuai lawatan kerja ke Antartika 18 Jan-2 Feb ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal mengetuai lawatan kerja ke Antartika anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bermula pada 18 Januari hingga 2 Februari ini.

Lawatan kerja menerusi inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan ini bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan kendalian bersama dengan Institutor Antartico Chileno (INACH), Chile.

Pada masa yang sama, program itu membuktikan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang  menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, lawatan yang lebih bersifat eksplorasi saintifik ini juga merupakan susulan daripada lawatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 yang mahu melihat lebih banyak universiti-unversiti tempatan melibatkan diri dalam penyelidikan di Antartika.

“Lawatan eksplorasi ini adalah inisiatif yang digerakkan oleh YDSM. University Malaysia Terengganu yang akan mengikuti eksplorasi kali ini telah pun meletakkan seorang penyelidik di sebuah stesen di Antartika yang dikenali oleh Korea Selatan selama tiga bulan.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam negara chile supaya Malaysia boleh memberi sumbangan yang lebih bermakna,”katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota-Anggota Majlis PBT Terengganu 2014-2015, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN),  Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, penglibatan Kerajaan Terengganu dalam misi ini mengambarkan sokongan padu yang bersifat proaktif terhadap usaha yang dijalankan di peringkat pusat dan global, sekali gus merintis usaha untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.

Dato’ Seri Haji Ahmad dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandun Persefahaman antara INACH dan Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di Antartika.

 “Dengan termeterainya  MoU ini, kita yakin dapat menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika. Ini akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan staf akademik terlibat dalam penyelidikan di Antartika,” katanya.

Dalam pada itu, Chile akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.