Halaman

20 February 2014

SAIS juara MSSDS edisi ke 23.

KENANGAN..Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor (lima dari kiri) menunjukan tanda bagus ketika bergambar kenangan bersama-sama kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu, guru-guru dan pelajar selepas merasmikan penutup Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Setiu (MSSDS) di SM (Sukan) Bukit Nenas, Langkap, Setiu, hari ini.

Dalam ucapanya, Sabri meluluskan sumbangan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada MSSDS dan insentif RM200 atlit yang berjaya menang pingat emas dalam kejohanan sukan MSST nanti dan beliau mahu atlit MSSDS bertanding dengan penuh bersemangat pada kejohanan MSST nanti dan seterusnya dapat mewakili negeri dan negara.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Rahim berkata, insentif itu akan memberi semangat kepada atlit MSSDS untuk memenangi emas dalam kejohanan peringkat MSST nanti

"Terima kasih kepada YB Dato' Sabri atas sumbangan dan insentif itu dan ini tentunya boleh membantu peningkatan pencapaian atlit dari MSSDS ini," katanya.

Menurutnya, Sekolah Menengah Sains Setiu (SAIS) muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah manakala kategori sekolah rendah pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh dalam kejohanan edisi ke 23 itu.-Aminudin Ismail.

 

Fitnah adalah sifat tercela- Prof. Dr. Sudirman.

Oleh: Aminudin Ismail. 

ISLAM menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah, kata Prof.Madya Dr. Sudirman Abdul Fatah, Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Bestari, Setiu, Terengganu.

Menurutnya, fitnah itu adalah satu Mazmumah dan surah Al Baqarah ayat 191 menyebut bahawa Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan manakala dalam surah Al Qalam ayat 29 pula Allah berfirman “Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah.

Oleh itu, Ustaz Dr.Sudirman berkata, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output dan katanya, di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

“Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi.

"Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6),”, katanya.

Katanya. sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

BALASAN TERHADAP PEMFITNAH ORANG ORANG BERIMAN

Dr. Sudirman berkata, walaupun dosa memfitnah hanyalah di antara manusia dengan manusia, namun ia tetap tidak akan diampunkan oleh ALLAH kecuali orang yang difitnah itu mengampunkan orang yang memfitnah.

“Namun pada hakikatnya, perbuatan memfitnah amat dicela kerana boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat sekali gus boleh menyebabkan terhindar daripada memasuki syurga. “Rasulullah menegaskan dalam sabdaNya, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

“Dosa menyebarkan fitnah umpama api yang membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti,” katanya.

ANTARA YANG KENA FITNAH DI ZAMAN NABI S.A.W DAN PARA SHAHABAT.

Menurutnya, Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah yang menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Saidina Uthman bin Affan yang berpunca daripada fitnah dan disebarkan oleh sekumpulan ekstremis agama.

“Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah.

 “Pesanan Rasulullah SAW, Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebarkan khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan ALLAH dengan balasan azab yang amat pedih. “Maksud firman ALLAH SWT dalam surah an-Nur, ayat 19 yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat.Dan ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (24:19),”

Katanya, ayat diatas diturunkan setelah peristiwa yang menimpa Rasulullah SAW apabila isterinya Saiyidatina Aisyah dituduh melakukan hubungan tidak baik dengan sahabat bernama Safwan.

“Berita bohong ini terjadi selepas peperangan Bani al-Mustaliq yang disertai kaum munafik.Dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongan tentera Islam singgah di satu tempat.

“Sayidatina Aisyah keluar dari kenderaannya untuk qada hajat dan kalungnya terjatuh.Ini menyebabkan beliau kembali ke tempat itu untuk mencari kalung tersebut.

“Pada masa yang sama, tentera Islam berangkat meneruskan perjalanan ke Madinah yang pada sangkaan mereka Sayidatina Aisyah berada dalam tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalungnya, dia terus ke tempat persinggahan tentera Islam.

“Alangkah terkejutnya Sayidatina Aisyah apabila mendapati tiada lagi tentera Islam yang tinggal. Sayidatina Aisyah terlelap kerana kepenatan dan beliau dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Mat’al yang kebetulan tercicir daripada kumpulan tentera Islam.

 “Safwan yang mengetahui Sayidatina Aisyah adalah isteri Rasulullah SAW segera mengucapkan ‘inna lillahi wa ilahi rajiun’ dan merendahkan tunggangannya untuk dinaiki Sayidatina Aisyah.

“Sepanjang perjalanan, mereka tidak bercakap walaupun sepatah perkataan sehinggalah sampai di Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam pun berhenti di tempat yang sama. Apabila dilihat tentera Islam yang ada di kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebarkan fitnah yang bukan-bukan berunsur fitnah kononnya Sayidatina Aisyah ada melakukan hubungan sulit dengan Safwan.

“Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai di Madinah. “Rasulullah SAW mengambil sikap mendiamkan diri sehingga turun wahyu bagi menjelaskan perkara sebenar," kata Sudirman.

 

Kesedihan terubat dapat rumah baharu

Oleh: Noraini Jusoh
Kesedihan sepasang suami isteri bersama lapan anak yang tinggal sehelai sepinggang ekoran kebakaran rumah mereka di Kampung Seberang Takir kini terubat apabila mendapat rumah baharu menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pasangan warga emas, Mamat@Mohamad Draman,67, bersama isteri Latifah Tahir,67, menerima rumah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di majlis penyerahan replika kunci rumah berkenaan sebagai simbolik, hari ini.

Mamat, bekas penarik beca yang tidak lagi mampu bekerja sejak dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dihidapinya, berpindah ke rumah baharu dua hari lalu (18 Februari) bersama isteri dan anak-anak setelah lebih sebulan menumpang di Balai Raya kampung itu.

Menurut Mamat, rumah yang didiaminya bersama isteri dan anak-anak berusia 21 hingga 42 tahun sejak 35 tahun lalu terbakar dipercayai akibat litar pintas yang bermula dari salah sebuah bilik sebelum merebak ke bahagian lain.

Katanya, ketika kejadian pada 28 Disember lalu kira-kira jam 9.30 pagi, cuma dia bersama isteri berada di rumah dan hanya sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak membakar rumah separuh kayu dan simen yang banyak meninggalkan kenangan buat mereka berdua.

“Saya bersama isteri sedang menonton televisyen ketika itu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dari arah bilik. Isteri yang terlebih dahulu menyedari api semakin marak berlari meminta pertolongan daripada jiran tetapi tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting kerana semuanya hangus terbakar dengan begitu cepat.

“Walau bagaimanapun, saya reda dengan ujian ini dan percaya apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya,” ujar Mamat yang turut menimbang cucu baru sama dengan tarikh dia berpindah ke rumah yang bernilai RM40 ribu itu.

Meskipun tidak pasti jumlah kerugian sebenar yang dialaminya, dia tetap bersyukur kerana keprihatinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat yang segera tampil dan turun padang membantu meringankan bebanan yang dihadapi mereka sekeluarga akibat kejadian malang itu.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat yang sudi membantu kami sekeluarga. Walaupun banyak kenangan manis di rumah lama yang pastinya sukar untuk dilupakan tetapi bantuan rumah ini sangat besar ertinya kepada saya sekeluarga untuk meneruskan kehidupan,” ujar Mamat yang juga penerima bantuan RM200 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

JHEAT bantu pesakit buah pinggang

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) memperuntukkan kira-kira RM900,000 bagi menyediakan kemudahan peralatan hemodialisis di Pusat Rawatan Dialisis (PRD) di Besut.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi membantu pesakit buah pinggang yang berpendapatan rendah.

 Katanya, usaha yang dilaksanakan sejak tahun lalu, nyata membantu pesakit yang terpaksa menanggung kos rawatan hemodialisis antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Kaedah lain turut diusahakan, termasuk menyalurkan bantuan secara terus kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan di PRD terdekat.

 “Bagi pesakit baru, mereka boleh memohon bantuan itu melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di daerah masing-masing,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

 Haji Mohd Rozali turut memberitahu, pihaknya menyediakan ‘Rumah Transit’ atau rumah sementara kepada mana-mana ibu tunggal, mualaf dan penduduk miskin di negeri ini.

 “Bantuan bayaran rumah sewa sehingga maksima RM300 sebulan turut disalurkan kepada golongan asnaf yang layak. Bayaran demikian diteruskan sehingga penerima itu mampu hidup berdikari.

 “Kira-kira RM500,000 disediakan bagi membiayai program itu, sepanjang tahun ini,”katanya

 

LTdL 2014 : TSG Pertaruh Pelumba Tempatan

Oleh: Fauzi Mohd

Terengganu Cycling Team (TSG) akan membariskan kesemua enam pelumba tempatan bagi menggalas cabaran pasukan itu menjelang perlumbaan berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang bermula 27 Februari hingga 8 Mac ini. 



Dalam saingan terbaru ini, mereka disasarkan mampu sekurang-kurangnya menjulang kemenangan dalam salah satu peringkat perlumbaan membabitkan jarak keseluruhan 1,495.9 kilometer.

Pelumba yang akan menggalas cabaran TSG di pentas perlumbaan berstatus 2HC (hor category) kali ini diketuai oleh pelumba sensasi, Anuar Manan.

Pelumba lain terdiri daripada Muhammad Adiq Hussaini Othman, Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saudi Mat Senan. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat berkata, keyakinan tinggi terhadap keupayaan serta pengalaman yang dimiliki oleh pelumba-pelumba tersebut menjadi faktor utama pemilihan mereka untuk mewakili TSG pada kali ini.

 "Keyakinan saya berasaskan kepada prestasi semasa mereka ketika ini yang mampu mencipta rekod tersendiri di dalam dan luar negara sepanjang tahun lalu.

 "Sasaran kita, TSG mesti naik podium," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pelumba TSG 2013 di Pantai Batu Burok, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua DUN Terengganu, Zubir Embong; Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Rozali Salleh.

Pada majlis itu, TSG menerima jumlah tajaan bernilai RM824,000 daripada enam syarikat iaitu EPIC Berhad sebanyak RM500,000; Kolej Universiti TATI (RM50,000); Kolej Tesdec Sdn. Bhd.; (RM50,000) serta tajaan produk daripada Moola Bar (RM100,000), Cyclo Motion (RM100,000) dan Proucell (RM24,000).

 

Terengganu Serah Tajaan Kali Ketiga LTdL RM1.5 Juta

Oleh: Fauzi Mohd

Kerajaan Negeri Terengganu malam tadi menyerahkan cek tajaan jersi kuning (pemenang keseluruhan) bernilai RM1.5 juta sebagai tuan rumah kepada tiga peringkat terakhir untuk kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL).



Cek diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat kepada Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal yang mewakili LTdL.

Rozi berkata, ini merupakan kali ketiga kerajaan negeri membuat penajaan sebagai sokongan berterusan kerajaan negeri kepada kejohanan lumba basikal terbesar Asia itu.

"Saya pasti penganjuran ini akan memberi impak yang besar dan membantu ekonomi negeri terutama aspek yang melibatkan sukan.

“Kerajaan negeri mahu menggunakan sepenuhnya peluang untuk mempromosikan negeri ini menerusi LTdL yang diakui antara acara sukan berbasikal yang besar di pentas antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua DUN Terengganu, Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah.

Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi peringkat Kuantan ke Marang (202.6 km), Bandar Permaisuri-Kuala Terengganu (111.1km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.7km). Kejohanan akan berlangsung dari 27 Feb hingga 8 Mac ini.

 



Terengganu carum RM757,440 untuk 25,248 ibu bapa tunggal

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib ibu dan bapa tunggal terus terbela apabila kerajaan negeri bersetuju mencarum RM757,440 menerusi Skim Takaful Ikhlas membabitkan 25,248 peserta tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dengan kadar caruman itu, semua peserta akan mendapat pelbagai faedah termasuk menerima RM22,000 untuk kematian dan kehilangan upaya kekal, RM750 untuk perbelanjaan perubatan, elaun hospital RM55 sehari dengan tuntutan maksimum sehingga 30 hari serta khairat kematian berjumlah RM2,500.

“Kita akan mula mencarum dalam tempoh beberapa bulan akan datang serta akan diselesaikan sebaik sahaja mendapat semua nama-nama ibu dan bapa tunggal berkenaan.

“Mereka akan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum nama-nama berkenaan disalurkan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga untuk urusan caruman itu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Dana Perubatan Kepada Jabatan Kesihatan Negeri, di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusuf dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman. 

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, perlindungan insurans seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini, bagaimanapun pada tahun ini ia ditambahbaik serta lebih meluas ke seluruh Terengganu dengan faedah yang lebih baik.

“Setiap ibu dan bapa tunggal akan dicarum RM30 setahun melibatkan jumlah caruman lebih RM700,000. Bagaimanapun, jumlah caruman itu dijangka bertambah berikutan penambahan jumlah ibu dan bapa tunggal yang baru," kataya.

Menurutnya, kemudahan perlindungan insurans itu membuktikan kerajaan sentiasa mencari inisiatif bagi membela rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan.

 

AHMAD SAID HEBAT- CUEPACS PUJI MB TERENGGANU, KONSEP MPPNTNYA TELAH DIPERLUASKAN KE PERINGKAT PUSAT


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda menegaskan pihaknya amat mengalu-alukan konsep serta pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” atau MPPNT yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
 Bahkan kata beliau, apa yang digagaskan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad pada tahun 2008 itu telah diungkap pula selepas itu oleh Perkhidmatan Awam Malaysia dengan memperkenalkan konsep dan slogan “Merakyatkan Perkhidmatan Awam”.
 Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memperkenalkan Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam (MPA) dengan harapan agar setiap penjawat awam menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada rakyat dan sesungguhnya lebih berupaya memahami kehendak dan aspirasi rakyat.
 Manakala sebelumnya Dato’ Seri Haji Ahmad menegaskan dalam konsep MPPNT, segala hala tuju pentadbiran dan pembangunan mestilah berfokus kepada faedah untuk rakyat.
Azih Muda yang mencipta sejarah, anak Terengganu yang pertama memimpin CUEPACS berasa amat bangga kerana konsep MPPNT yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Terengganu itu telah diperluaskan dalam perkhidmatan awam di peringkat pusat.
 Beliau juga memuji langkah kerajaan Terengganu yang banyak membina rumah-rumah untuk rakyat, termasuk kepada kalangan anggota perkhidmatan awam, khususnya Rumah Mampu Milik.
  Dalam, satu wawancara khas dengan Pengarang Teganukita baru-baru ini, beliau menyatakan bila ada rumah dan tempat tinggal yang sesuai dan selesa kepada penjawat awam ia sekaligus akan membantu mereka menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.
 Katanya, terdapat kira-kira 22,000 penjawat awam di Terengganu termasuk yang berkhidmat dengan agensi pusat amat memerlukan tempat tinggal yang selesa dan mampu bagi mereka.
 “Bagi saya langkah kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad mengadakan rumah-rumah mampu milik ini amatlah bijak dan saya berharap penjawat awam juga diberi keutamaan untuk memilikinya kerana mereka tidak mampu untuk membeli rumah-rumah yang mahal dan mewah,” katanya.

50 belia Setiu berkayuh basikal.

Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 50 belia dari seluruh Daerah Setiu akan menyertai Program Kayuhan Santai Belia Daerah Setiu yang akan memulakan pelepasannya pada pagi sabtu ini jam 7.45 pagi di Perhentian Bas Bandar Permaisuri.

Program itu adalah anjuran Majlis Belia Daerah Setiu dengan kerjasama Pejabat Belia Daerah Setiu, Majlis Sukan Daerah Setiu, Yayasan Pembangunan Keluarga Setiu dan Gateh Setiu.


Pengerusi Majlis Belia Daerah Setiu, Zokri Othman berkata, program yang julung kali diadakan ini akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

"Program ini bertujuan untuk mendedahkan kepada belia tentang penjagaan kesihatan dengn cara berbasikal serta memberi ketahanan mental dan fizikal kepada peserta," katanya mengenai program kayuhan sejauh kira-kira 30 kilometer itu.

Menurutnya, kayuhan yang melalui Jalan Penarik ke Kampung Rhu 10 dan berakhir di Putera Jaya, Pak Kancil, Setiu itu  diharap akan dapat membentuk belia yang berdisiplin melalui sukan serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

 

Pantai Batu Buruk diwarta zon bebas asap rokok

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk mewartakan kawasan rekreasi Pantai Batu Buruk sebagai kawasan bebas asap rokok yang pertama di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata pusat rekreasi itu menjadi kawasan kedua selain kawasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang turut diwartakan sebagai zon larangan merokok di bandar ini.

“Kita sudah meluluskan perkara itu dalam mesyuarat Mingguan Exco pada hari ini, maka bermula minggu depan kita sahkan dan akan mewartakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Dana Perubatan Kepada JKNT, di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusuf dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata mereka yang merokok di kawasan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 iaitu denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun jika sabit kesalahan.