Halaman

23 February 2014

Ganjaran RM5,000 untuk pelajar cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu memperuntukkan hampir RM700,000 sebagai ganjaran kepada 137 anak negeri yang memperolehi keputusan cemerlang di peringkat ijazah pertama di universiti dalam dan luar Terengganu, pada tahun ini.

Pelajar tajaan YT yang mendapat anugerah Pingat Emas YT 2013, iaitu Anis Raihan Asmadi  bersama ibu dan bapanya.
Setiap pelajar berkenaan memperolehi wang tunai RM5,000 sebagai insentif terhadap kejayaan mendapat Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata anugerah itu sebagai galakan dan juga motivasi kepada pelajar lain di peringkat sekolah menengah dan universiti supaya menghasilkan kejayaan yang sama dan lebih baik lagi.

“Anugerah ini menjadi pencetus motivasi supaya lebih cemerlang di peringkat universiti terutama pencapaian akademik dengan memperolehi kepujian atau PNGK melebihi 3.75.

 “Dari semasa ke semasa kita akan menaikkan PNGK ini bagi memastikan kecemerlangan pelajar Terengganu terus berada pada tahap tertinggi,” katanya di Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) Kali ke-34, di Riyaz Heritage & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong; Ahli Parlimen Setiu, YB Che Mohamad Zulkifly Jusoh; Pengarah YT, Haji Azmi Razik dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YT, Prof Dato’ Dr Aziz Deraman dan Timbalan Pengarah Pendidikan YT, Encik Razali Mahmud. Selain anugerah Sarjana Terengganu, dua pelajar turut mendapat anugerah Pingat Emas YT 2013, iaitu Anis Raihan Asmadi, dan Muhamad Hamdan Syafieq Ahmad, masing-masing berusia 19 tahun, selepas melakar kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2012 serta aktif dalam kurikulum di sekolah.

Kedua-dua pelajar berkenaan memperolehi ganjaran berjumlah RM7,000 seorang termasuk wang tunai RM5,000, pingat emas, seunit komputer riba dan sehelai kot.

Ghazali berkata, berdasarkan perkembangan semasa, kerajaan negeri berbangga dengan tahap kecemerlangan anak negeri berikutan wujud persaingan sihat di kalangan mahasiswa berkenaan untuk berlumba-lumba menghasilkan keputusan cemerlang dan memperolehi ijazah Kelas Pertama dalam pengajian mereka.

“Ia bukan semata-mata sekadar pengiktirafan tetapi bermatlamat untuk membangkitkan semangat supaya pelajar berkenaan mampu menjadi insan yang cemerlang serta apabila tamat pengajian kelak mampu menabur bakti dengan berkhidmat di negeri sendiri, satu masa nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazali berkata, kerajaan negeri menjangkakan jumlah pelajar Terengganu yang cemerlang dan menerima Pingat Emas dan Sarjana Terengganu akan terus bertambah dari setahun ke setahun serta mencecah pembiayaan sehingga RM1 juta tahun depan.

Katanya, kerajaan bersedia untuk terus menganjurkan anugerah kecemerlangan dan pelbagai pengiktirafan lain supaya mampu menjadi nilai tambah kepada inisiatif untuk meningkatkan prestasi dan kualiti anak Terengganu di bidang pendidikan negara.


KPHPB Bangunkan 4,000 Unit Rumah di Terengganu


Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) akan membangunkan kira-kira 4,000 rumah di negeri ini menerusi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (Prima) dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi KPHPB, Dato’ Seri Mohd. Nazrul Mohd. Arsad berkata, projek yang dianggarkan menelan kos RM400 juta itu akan dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi penyediaan tapak untuk memudahkan rakyat memiliki rumah.

Katanya, pada masa ini beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan melalui projek berkenaan antaranya di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut.

Kemuka Rayuan Jika Tidak Terima BR1M


Mana-mana ketua isi rumah dan individu bujang yang telah mendapat surat memaklumkan mereka tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 boleh mengemukakan rayuan dengan segera.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, rayuan boleh dikemukakan dengan menulis surat rayuan dan pergi ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

Menurutnya, kerajaan melakukan semakan di pelbagai jabatan berkaitan bagi memastikan BR1M hanya diberikan kepada yang benar-benar layak, namun terdapat kes yang mana permohonan yang layak turut ditolak atas sebab tertentu.

160 Guru KAFA Sambung Tugas


Yayasan Islam Terengganu (YIT) menyambung semula perkhidmatan 160 orang daripada 240 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang membuat rayuan setelah kontrak mereka ditamatkan hujung tahun lalu.

Pengarah YIT, Md. Kamaru Al Amin Ismail berkata, mereka yang diberi peluang itu sudah melaporkan pada 3 Februari lalu dan hampir semuanya bertugas di tempat asal.

”Ini hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan YIT pada 29 Januari lalu setelah 240 rayuan diterima daripada kalangan 303 orang yang ditamatkan kontrak mereka setelah berpuas hati dengan kesediaan mereka untuk meningkatkan prestasi dan mematuhi prosedur jabatan,” katanya baru-baru ini.

YT Terbangkan Anak Terengganu Ke Jerman Kuasai Kejuruteraan Automotif

Oleh: Fauzi Mohd

Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan menghantar pelajar tajaannya bagi mengikuti kursus kejuruteraan automotif di Jerman pada pertengahan Mac depan.

 Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, serentak dengan itu YT akan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) bersama pengeluar kenderaan terkemuka di negara itu termasuk Mercedes Benz dan BMW untuk penempatan pelajar Terengganu ketika menjalani latihan industri di negara itu.


 Buat permulaan katanya, enam anak Terengganu yang sedang menuntut di German-Malaysia Institute (GMI) akan dipilih.

 "Kita berusaha untuk menguasai kejuruteraan automotif kerana bidang itu antara industri kritikal yang sangat memerlukan tenaga pakar anak tempatan ketika ini.

"MoU itu antara langkah awal Kerajaan Terengganu dalam usaha merintis kejayaan lebih besar dalam bidang kejuruteraan automotif di kalangan anak jati Terengganu," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman semalam.

 Tambah Ahmad, jumlah pembiayaan enam pelajar itu sepanjang melanjutkan pelajaran ke Jerman, bagaimanapun masih belum diputuskan secara terperinci.

 "Ia sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan harus dimanfaatkan oleh rakyat, terutama generasi muda dan mencurahkan bakti untuk anak bangsa," katanya.

 

Pelajar dalami pengisian Wacana Pemikiran Islam

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata mahasiswa yang mengikuti Wacana Pemikiran Islam mengakui program itu selaras dengan kehendak kerajaan yang mahukan umat Islam di negara ini khususnya Terengganu terus bersatu.

Wacana sehari yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam mengupas isu `Perubahan dan Cabaran Pelajar- Pelajar Melayu’ dengan menjemput dua penceramah profesional.

Haji Zuklferee Ibrahim yang juga Naib Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) membentangkan tajuk Mendepani Globalisasi: Pemerkasaan Identiti Melayu Islam.

Manakala, Dato’ Raja Arif Raja Ali, Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri Putrajaya pula membawa isu Membina Idealisnme & Kecemerlanagan Pelajar Melayu Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Zubir Embong hadir merasmikan program penutup.

Program anjuran MBNT dengan kerjasama Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) dihadiri lebih 1,000 mahasiswa dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negeri ini.

Pengerusi MBNT, Encik Zaidi Muda, berkata dia yakin mahasiswa yang mengikuti wacana itu berupaya menjadi pelajar islam sejati selain bijak menghargai pelbagai pemberian kerajaan.

 “Kita akan meneruskan program seumpama ini dengan menjadikan pelajar sebagai fokus utama untuk menyampaikan hasrat dan inipati program.

 “Golongan itu diberi tumpuan istimewa, kerana mereka mudah menerima apa yang disampaikan selain mampu berfikir mana yang baik atau sebaliknya.,” katanya.

 

CIPTAAN TATI BERJAYA DI PERINGKAT ANTARABANGSA


 Kolej Universiti TATIuC telah diisytiharkan berjaya memperolehi pingat gangsa atau tempat ketiga di peringkat antarabangsa dalam International Invention & Innivation melalui penciptaan Sistem Pertanian Hidroponik dalam konteks penjimatan tenaga,.
 Ekspo itu diadakan semalam 22 Februari 2014, di Pusat Dagangan Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Dalam penciptaan itu, ia hanya menggunakan graviti bagi proses pertukaran larutan baja dari tangki ke pot penanaman yang dikenali sebagai “Agro Smart Valve” (lihat gambar).
 Ia amat sesuai dengan penghasilan sayuran dan buah-buahan sama ada untuk hobi mahupun komersial. Kejayaan ini sesungguhnya membuktikan bahawa Terengganu mampu bersaing hingga ke peringkatkan global dalam penciptaan dan inovasi

22 February 2014

Terengganu miliki 80 hektar kelapa Matag

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Pertanian Terengganu akan membelanjakan lebih RM1.5 juta tahun ini bagi meningkatkan penanaman kelapa hibrid Matag di kawasan seluas 80 hektar dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.
Pengarah jabatan itu, Encik Md Yusof Maidin berkata pihaknya merancang menanam 10,680 kelapa Matag atau nama saintifiknya Cocos Nucifera 'Matag', di kawasan seluas 60 hektar di Kubang Puyu Calok, Setiu.

 Katanya, selain itu, kelapa Matag juga akan ditanam di kawasan seluas 10 hektar masing-masing di Kampung Kelulut dan Kampung Batu Putih di Marang dengan anggaran 1,780 pokok.

 “Kira-kira 25 hektar kawasan di negeri ini ditanam dengan kelapa Matag, iaitu kacukan kelapa Filipina dan Malaysia dengan kos RM750,000, sepanjang tahun lepas.

“Setakat ini, pihak kami telah menanam seluas 153 hektar kelapa Matag di seluruh Terengganu dan 30 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil sejak 2010,’ katanya.
 Encik Md Yusof berkata kelapa Matag boleh mengeluarkan buah antara 100 dan 120 biji setahun berbanding kelapa tempatan iaitu antara 50 dan 60 biji setahun.

 “Pihak kami akan menanam 25,000 pokok kelapa Pandan (Cocos Nucifera) di kawasan seluas 92 hektar di Kemaman, Dungun dan Marang tahun ini untuk menampung permintaan penjual air kelapa di negeri itu.

 “Kelapa pandan kini ditanam di kawasan seluas 456 hektar dengan 166 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil,” katanya.

 

YPKT-UniSZA pupuk gaya hidup sihat

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Komuniti Bersama Pelajar Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mampu menjadi platform berguna bagi memberi pendedahan mengenai gaya hidup sihat kepada kanak-kanak, ibu bapa dan juga guru.

Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Encik Mohd Nazri Yusoff, berkata program itu turut membuka ruang interaksi antara mahasiswa yang terlibat dengan guru serta ibu bapa selain berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai nutrisi yang sihat dan selamat.

“Program ini amat baik kerana bukan sahaja berkongsi ilmu dan pengalaman kepada pelajar yang terdiri di kalangan mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Dietetik, malah mewujudkan hubungan baik antara agensi kerajaan dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi mencapai matlamat disasarkan.

“Ia juga mampu menimbulkan kesedaran pemakanan yang sihat di mana seharusnya diamalkan oleh semua pengusaha serta pengasuh di taska khasnya,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Program Komuniti Bersama Pelajar Taska Permata, ‘Nutrisi Permata Hatiku’, di Dewan Utama, YPKT, baru-baru ini.

Program anjuran Dietetic Students Association (DECSA), Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA dengan kerjasama YPKT disertai lima penuntut Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) UniSZA.

Turut hadir, Ketua Jabatan Sains Kesihatan UniSZA, Dr Sharifah Wajihah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa dan pengarah program, Cik hasnah Mohamad.

Sementara itu, Dr Sharifah Wajihah berkata program itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi dan mempraktikan ilmu berkaitan kesihatan kepada masyarakat setempat, selain membantu komuniti terlibat meningkatkan kualiti kehidupan mereka terutamanya dari segi kesihatan.

Beliau berkata program komuniti julung kali diadakan antara mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) UniSZA dengan kerjasama YPKT itu juga bagi memenuhi keperluan jam kredit bagi subjek Penempatan Pemakanan dan Komuniti bagi semester keenam berkenaan.

 “Malah ia juga menjadi kayu pengukur dan termasuk dalam sebahagian penilaian akhir yang telah dilalui oleh anak-anak didik saya ini selama hampir lima minggu di Taska Permata Keluarga.

 “Mahasiswa ini telah dilatih untuk persediaan membuat program dan latihan praktikal sebegini di mana sebelum ini kita telah terbangkan beberapa orang dari anak-anak didik saya ini ke Aceh, Pekan Meulaboh iaitu tempat yang paling terkesan dengan bencana tsunami beberapa tahun yang dulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap program yang dijalankan ini dapat melatih pelajar untuk bergaul dan berinteraksi antara pelbagai lapisan masyarakat secara langsung tanpa mengambil kira peringkat usia. 

Katanya, semoga pelajar yang melalui program turut menyedari kepentingan berbakti dan berkhidmat kepada komuniti serta memupuk semangat kemasyarakatan.

 “Pendedahan kepada komuniti seperti ini juga mampu membantu mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari semasa proses pengajaran dan pembelajaran kepada komuniti dan sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan,” katanya.


RM 11,140 untuk murid SK Pulau Redang.

Oleh Aminudin Ismail

GEMBIRA…(dari kiri) Fatma Jasman (8), Umi Natasha Ghazali (12), Faiq Qushairi (12), Siti Nurfatin Johasman (12) dan Nur Aliza Abdullah (11), murid SK Pulau Redang gembira sambil menunjukan wang RM100 yang mereka terima di Majlis Penyampaian Dana Pakaian Sekolah yang diadakan di sekolah itu, semalam.

Seramai 114 murid sekolah itu menerima bantuan di majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Rata-rata ibubapa yang ditemui melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan atas penyampaian wang dana itu dan ianya dapat meringankan bebanan mereka bagi membeli pakaian sekolah anak-anak.

Dalam pada itu, dalam ucapanya Bazlan mengharapakan penduduk Pulau Redang terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional kerana hanya kerajaan BNlah yang mampu membela nasib rakyat di negara ini.

“Kerajaan sentiasa perihatin dengan masalah rakyat dan beberapa dana serta bantuan yang diberikan membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha membantu rakyat,” katanya.