Halaman

13 March 2014

KLIT 2014 tawar hadiah RM55,000

Oleh: Suriati Ali

 Kenyir Lake International Triathlon (KLIT) 2014 anjuran Lembaga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( KETENGAH ) menawarkan hadiah keseluruhan RM55,000 kepada peserta.

 Seramai 446 individu daripada 23 buah negara telah mengesahkan penyertaan untuk menyertai KLIT 2014 yang bakal diadakan pada 16 Mac di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


 Antara negara itu, termasuk Australia, Belgium, Brunei, China, Czech Republick, Francis, Myanmar, Singapura, New Zealand, Denmark, India, Spain, Thaidland, United Kingdom dan Hongkong.

Pengurus Besar KETENGAH, Wan Mat Amin Wan Daud, berkata KLIT 2014 merupakan acara tahunan siri ke-10 yang dianjurkan sejak 2005 pihaknya dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.

 Katanya, kejohanan bertaraf antarabangsa itu merupakan acara ‘sport tourism’ yang disenaraikan sebagai acara utama Kalendar Pelancongan Terengganu 2014 dan juga bersempena Tahun Melawat Malaysia.


 “Kaedah pertandingan menggunakan jarak olimpik ‘ olympic distance ‘ di mana peserta akan memulakan acara berenang 1.6km,berbasikal sejauh 45km dan berlari sejauh 11km.

 “Penganjuran acra ‘sport tourism ini merupakan pemangkin kepada produk pelancongan Terengganu, sekaligus mampu mempromosi Tasik Kenyir yang berkonsepkan `Taman Pelancongan Akua Eko’,” katanya dalam satu kenyataan.

 

UniSZA anjur minggu penyelidikan dan pertandingan inovasi

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi buat julung kalinya akan menganjurkan Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi 2014 (MPI 14) selama empat hari bermula 16 Mac bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA.

Penyelaras program MPI, Dr Khamsah Suryati Mohd yang juga merangkap Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (Bahagian Inovasi) berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan serta memperluaskan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh 100 penyelidik UniSZA kepada penyelidik dari universiti luar serta orang awam.

"Kita akan mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan yang telah berjaya dibuat oleh para penyelidik UniSZA dan kita dedahkan kepada penyelidik lain dan orang ramai supaya dapat menyumbang kepada penemuan baru yang berpotensi dapat dikomersilkan dan dimanfaatkan sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.

"Pada program ini juga para penyelidik di UniSZA akan membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam satu seminar yang mana mereka akan bentangkan hasil geran yang mereka peroleh,” katanya.

Menurutnya pelbagai aktiviti turut diadakan untuk pengunjung yang datang antaranya pembentangan projek penyelidikan, pertandingan inovasi, pameran penyelidikan dan inovasi serta ceramah industri.

"Untuk pelajar tahun akhir juga, kita akan bawa beberapa syarikat dan agensi luar untuk diadakan sesi ceramah industri dan temuduga untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar tahun akhir untuk ditemuduga supaya mereka mendapat tempat dalam pasaran kerja.

"Program ini juga dijangka akan dapat memperkasa serta membudayakan penyelidikan yang kreatif serta inovatif dan pihak kami menyasarkan 300 pengunjung dari luar dalam sehari," katanya.

Menurutnya program itu juga selaras dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan inovasi sebagai medium mencipta kekayaan negara dan dasar–dasar semasa kerajaan selain membina jaringan perhubungan dan perkongsian pintar antara penyelidik UniSZA dan pihak luar.

Program tersebut dibuka kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Dr Khamsah Suryati Mohd (013-3863244) dan Norazfani Abd Rahim (019-9347786).

 

12 March 2014

Pembinaan Pasar Payang tetap diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru empat tingkat yang berhawa dingin bagi mengantikan bangunan itu yang disahkan sudah tidak selamat didiami.

 Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB A. Latiff, berkata tambahan pula keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, bocor dan kotor, tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.


 “Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat.


 “Kita laksanakan semua itu untuk kemudahan orang ramai, terutama peniaga dan pelancong, bukannya seperti yang diperkatakan pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa mahu membunuh warisanTerengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri, baru-baru ini.

 Tinjauan Teganukita mendapati peniaga Pasar Payang masih meneruskan perniagaan masing-masing kerana belum mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berpindah ke bangunan sementara.

 Perniaga makanan tradisional Terengganu, Ramlah, Hamid, 40, apa yang dirancang dan bakal dilaksanakan kerajaan untuk membina Pasar Payang baru diterima dengan hati terbuka kerana baik untuk peniaga, pelanggan dan pelancong.

 Katanya, jika tetap berniaga di bangunan uzur dan lama, bukan saja membahayakan peniaga malah pelanggan berasa tidak selesa.

 “Pada masa sama, pandangan orang ramai pun kurang elok kerana bangunan sekeliling Pasar Payang semuanya cantik dan moden,” katanya.

Seorang peniaga buah-buahan, Ramli Salleh, 30, dia tetap berpindah seperti yang diarahkan walaupun rasa berat hati untuk berniaga di lokasi baru.

“Pasar payang seakan sebati buat kami sekeluarga, kerana hampir 25 tahun kami sekeluarga mencari rezeki di sini.

“Perniagaan ini asalkan ayah yang mulakan sebelum saya mengambil alih tangunggjawab itu,” katanya

 

Chew jumpa pengundi di awal pagi

Oleh: Ruslan Abd Rahman 

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Chew Mei Fun seawal jam 7 pagi memulakan kempen turun padang menemui para pegundi hari ini (12 Mac).

 Katanya, dengan cara itu, beliau mempunyai peluang lebih banyak menemui pengundi secara bersemuka atau sentuhan yang lebih mesra berbanding mengadakan perjumpaan dalam majlis besar.

Ketika ditemui Pengarang Teganukita, pagi ini, di kawasan perumahan Sungai Jelok, berdekatan bandar Kajang, Selangor.


Chew berkata, dia yakin rakyat memberi sokongan dan kemenangan kepada BN.

Berusia 50 dan berkelulusan ijazah sastera Cina, calon BN ini cukup tinggi penghayataannya terhadap rakyat dan menjiwai pengundi pelbagai kaum. Lebih-lebih lagi pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini. 

“Kali ini saya akan buat yang terbaik, jika di pilih untuk menjadi wakil pembangkang yang berkesan di DUN Selangor pula. Iaitu memperkuatkan Check and Balance kepada kerajaan Selangor.

 “Saya amat mohon restu kepada para pengundi DUN Kajang,” katanya yang mengakhiri temubual ringkas dengan Teganukita.

 

UMT sedia komersialkan kajian saintifik teknologi rawatan air sisa

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia untuk mengkormesialkan hasil kajian teknologi rawatan air sisa mengunakan kaedah teknologi rawatan hijau bagi membantu mengembangkan bidang akuakultur di negara ini.
Profesor Kejuruteraan Air dan Air Sisa UMT, Ahmad Jusoh berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan pemain utama dalam indutri ini khususnya penternak ikan dan petani bagi membantu meningkatkan pengeluaran produk yang mereka usahakan.


“UMT mempunyai kepakaran dalam bidang akuakultur dan ada penyelidik yang pakar dalam bidang teknologi, baka ikan, penyakit ikan serta makanan ikan itu sendiri.

“Apabila bergabung ia akan memberikan faedah kepada kedua-dua pihak dan tidak mustahil produk ini boleh dikomersialkan suatu hari nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Syarahan Inaugural bertajuk ‘Wastewater Treatment Technology: A Green Application In Aquaculture’ di UMT, semalam.

Menurut beliau, teknologi rawatan hijau perlu digunakan dalam bidang akuakultur sebab ia berbeza dengan rawatan air biasa.

“Kita mesti menggunakan kaedah yang tidak merosakkan samada dari segi ikan atau alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, hasil kajian tersebut telah diimplimentasikan oleh seorang penternak ikan kerapu di Kampung Air Tawar, Setiu.

“Masalah yang dihadapi penternak ikan ini berpunca dari ammonia yang menyebabkan ikan yang dibela bersaiz dua inci sahaja. Sedangkan dia hendak besarkan ikan itu kepada saiz tiga inci.

“Dengan kaedah teknologi rawatan hijau ini, diharap dia akan berjaya menghasilkan saiz ikan yang dikehendaki,” ujarnya.

 

KETARA bantu penanam sayur di Jabi.

TABUR...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd sedang manabur benih sejenis sayuran ketika hadir di Majlis Pelancaran Projek Perintis Baja Organik KETARA di Kampung Oh, Jabi, baru-baru ini. 

Projek kelompok yang membabitkan seramai 65 penduduk di dua buah kampung itu iaitu Kampung Dalam Oh dan Kampung Gong Dasar mampu menghasil sayuran yang bermutu tinggi hasil daripada pengunaan baja organik itu.

"Baja ini mereka buat sendiri daripada bahan-bahan asli seperti najis haiwan dan ia dibantu oleh KETARA untuk menghasilkan formula baja yang baik.

Iskandar memegang sayur yang segar.
"Hasilnya amat baik sekali kerana sayuran kelihatan begitu segar dan bebas daripada bahan kimia. Saya mengharapkan projek perintis ini akan menjadi permulaan kepada penanam sayur di kawasan Jabi ini untuk mengunakan teknologi baja ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegarah IADA Ketara, Mohamad Kaberi Ghani dan beberapa pegawainya serta penduduk kampung berkenaan.-Aminudin.

 

11 March 2014

KPI JKKK bakal dinilai

Oleh: Suriati Ali

Semua pejabat daerah di negeri ini diminta menwujudkan rekod petunjuk prestasi utama (KPI) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menilai prestasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang, berkata setiap pengerusi JKKK mempunyai tempoh dua tahun bagi mempamerkan prestasi, sekiranya gagal memenuhi KPI, mereka bakal berdepan ditamatkan perkhidmatan.

 Katanya, mereka yang tidak mampu memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi akan menimbulkan rungutan rakyat sekali gus menjejaskan imej kerajaan.

Beliau menarik perhatian, bagi daerah Marang, sebanyak tujuh JKKK telah digantung tahun lalu dan tugas mereka diambil alih penghulu mukim untuk sementara waktu.
 "Kalau prestasi dan KPI tidak memuaskan, mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa.

Kerajaan negeri berhak memberhentikan mereka sebab mereka dipilih oleh kerajaan dan kalau tidak layak, boleh diberhentikan.

"Memang ada JKKK yang bermasalah dan antara masalah serta kesalahan yang dilakukan ialah tidakmengaadakan mesyuarat, tidak buat laporan selain timbul banyak rungutan daripada orang kampung," katanya. A. Latiff berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri, di  Hotel Primula,Kuala Terengganu, semalam.

 Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, lebih 1,000 JKKK di negeri ini akan melalui proses transformasi untuk tujuan penambahbaikan bagi memastikannya benar-benar berperanan membantu menyampaikan agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat.

 Menurut beliau, proses itu merangkumi pelantikan pengerusi serta anggota JKKK baharu yang dijangka selesai Mei ini."Di seluruh negeri, 80 peratus JKKK adalah orang lama..

“Semua Pegawai Daerah diarah memantau KPI setiap JKKK di kawasan masing-masing secara berterusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat setempat.

"Tugasan JKKK bukan saja dalam pembangunan fizikal malah dalam pembangunan ekonomi dan sosial," jelasnya.

 

Dua sekolah mula kelas jam 9 pagi.

Jerebu  dipercayai daripada kebakaran di Lembah Bidong.
Oleh: Aminudin Ismail.

BERIKUTAN keadaan yang berjerebu di waktu pagi,  dua buah sekolah di kawasan Dun Batu Rakit terpaksa memulakan sessi persekolahan bermula jam 9 pagi sejak seminggu lalu setelah diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keadaan berjerebu di waktu pagi yang melanda beberapa kampung di kawasan Dun Batu Rakit itu adalah berpunca daripada pembakaran di beberapa kawasan belukar tanah gambut di Lembah Bidong yang berhampiran kampung itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit berkata, MKN mengarahkan kedua-dua sekolah itu memulakan sessi persekolahan agak lewat kerana keadaan berjerebu itu boleh menganggu kesihatan pelajar.

“Kedua-dua sekolah itu ialah SMK Batu Rakit dan SK Kampung Pagar Besi. Ini adalah arahan daripada Jabatan Alam Sekitar dan MKN bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar kedua-dua sekolah berkenaan.

“Saya harap keadaan akan kembali pulih supaya para pelajar ini dapat memulakan sessi persekolahan seperti biasa dan dapat belajar dengan sempurna terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR , PPMR dan SPM,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk Kampung Pagar Besi yang ditemui mengakui bahawa keadaan jerebu yang melanda kampung itu agak teruk sehingga jarak penglihatan tidak sampai 200 meter pada waktu awal pagi.

 

10 March 2014

Bersama tangani gejala rempit- Dato' Jamshah.

Jamshah...perlu kerjasama.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEMUA pihak perlu menangani masalah gejala ‘mat rempit’ yang berlaku di beberapa tempat di negeri ini termasuklah di Bandar Kuala Terengganu pada hujung minggu dan tidak hanya mengharapkan kepada penguatkuasaan oleh pihak Polis semata-mata.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustaffa berkata, merempit adalah satu budaya yang tidak sihat dan perlu ditangani dari akar umbi oleh semua pihak.

“Gejala mat rempit ini bukanlah elemen penguatkuasaan sahaja, tetapi ia melibatkan pelbagai agensi, (persatuan) belia, (Jabatan) pendidikan ada juga, majlis agama pun ada juga (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu), bukan Polis sahaja kerana ini masalah melibatkan semua.

“Jadi kita merangka satu pendekatan yang ‘intergrated’ untuk jangka panjang bagi menangani gejala ‘mat rempit’ ini,” katanya.

Jamshah berkata, pihaknya membuat pendekatan dengan melaksana operasi bersepadu bagi menghalang ‘mat rempit’ daripada melakukan pekerjaan yang tidak bermoral itu.

“Sekarang ini ‘aproach’ kita memang bersepadu tetapi tidak melibatkan tentera, kita melibatkan JPJ, Rela, JPAM, dewan bandaraya (MBKT),” katanya.

Dalam pada itu, Jamshah berkata pihaknya sedang merangka satu strategi yang lebih agresif bagi mengatasi masalah ‘mat rempit’ itu. Sehubungan itu, beliau mahu setiap masyakat memberi kerjasama bagi menangani masalah itu kerana tanpa kerjasama semua pihak usaha Polis agak sukar.

“Masyakat perlu memberi kerjasama sebab ini adalah masalah bersama, jika masyakat tidak memberi kerjasama kita tidak dapat melaksanakan tugas penguatkuasaan (dengan berkesan).

"Dalam hal ini, pertama sekali masyarakat kena elak daripada menjadi penonton dan perlu melaporkan diri manakala yang ketiga mereka yang tidak berkaitan jangan masuk ke dalam kumpulan ‘mat rempit’ itu,” katanya dalam satu majlis di Setiu, baru-baru ini.

 

Terenganu mahu tranformasi kemudahan ICT

Oleh: Suriati Ali

 Terengganu bersedia mentranformasikan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) yang diguna pakai jabatan kerajaan di negeri ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB A. Latiff Awang, berkata jabatan yang terlibat secara langsung berkaitan ICT diminta bersama-sama membantu kerajaan menjayakan hasrat itu.
 Katanya, pihaknya bertuah kerana Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) mempunyai skop yang luas dalam bidang ini, di mana setiap urusan ICT semua jabatan kerajaan dikendalikan agensi itu.

 “Sekiranya rakyat ingin mengetahui apa-apa maklumat atau berita berkaitan Terengganu pula, boleh dapatkan buletin Teganukita yang diterbit dan diedarkan secara dua kali sebulan oleh Unit Komunikasi Negeri (Ukom).

“Bila bercakap mengenai laman web, blog, facebook, twitter, whatapp dan sebagainya, kita ada pengendalinya, iaitu Unit Media Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Media anjuran Ukom di Primula Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengurus Unit Tranformasi, Pengurusan Prestasi & Pelaksanaan, Encik Zuwislan Awang, Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman dan Pengarah Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik.

 Lebih 40 pengamal media pelbagai agensi, termasuk Radio Televisyen Malaysia, Manis Fm, Bernama, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro hadir meraikan majlis bulanan itu.

 YB A. Latif turut memberitahu, pihak kami juga giat menyampaikan maklumat dan hebahan melalui radio rasmi Terengganu, Manis Fm.

“Tidak ketinggalan, anak syarikat Terengganu, Top IT Industries Sdn Bhd , yang berperanan menjayakan agenda ICT di kalangan pelajar. “Agenda besar berjaya dilaksanakan syarikat tersebut iaitu program e-Book,.

Kelas maya dan ‘Terengganu Brilliant Kids’ (TBKids). “Agensi-agensi ini setia membantu kerajaan memudah cara dan menyampai maklumat secara terus kepada rakyat di samping jabatan berkaitan mengadakan program kemasyarakatan, forum dan seminar kepada rakyat,” katanya.

Katanya, pihak kami turut menyarankan supaya pengamal media massa dan elektronik di negeri ini bersama-sama kerajaan menyampaikan perkara positif kepada rakyat melalui terbitan akhbar, saluran televisyen dan radio masing-masing

 “Langkah itu sangat wajar bagi mengelak rakyat terus dihasut pembangkang supaya membenci pemimpin dan kerajaan memerintah,” katanya