Halaman

15 March 2014

Alumni 4B Terengganu bantu penduduk miskin

Pertubuhan Alumni 4B Terengganu menggerakkan program Cakna Masyarakat dengan menyasarkan bantuan kepada individu dan keluarga yang memerlukan dari semasa ke semasa.

 Dengan menarik penglibatan bersama generasi muda bagi menyemai keprihatinan mereka, program itu dimulakan melalui usaha bergotong-royong membaiki dan memperbesarkan kediaman seorang penduduk di Kampung Alor Binjai, Kubang Parit di sini kelmarin.

Usaha itu dijayakan dengan kerjasama para penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan penduduk setempat, melibatkan peruntukan sebanyak RM10,000.

 Ia membawa kegembiraan Tengku Rohaya Tengku Embong, 47, yang kesihatannya terjejas akibat serangan angin ahmar bersama keluarga apabila bantuan itu membolehkan dia tinggal dalam keadaan lebih selesa bersama lima orang anak.

 Timbalan Pengerusi Alumni 4B Terengganu, Ir. Mohd. Johari Awang memberitahu, berdasarkan reaksi penerima, program sedemikian akan diteruskan sebagai suatu bentuk sumbangan kepada masyarakat. “

Jika tiada aral melintang, kita akan perluaskan program seperti ini yang digemblengkan hasil dana yang diterima daripada orang perseorangan dan sebagainya," katanya ketika ditemui semasa menjayakan program itu.

Yang turut hadir, Pengerusi Alumni 4B Terengganu, Datuk Matulidi Jusoh serta Naib Pengerusi pertubuhan itu, Othman Endut.

Sementara itu, anak kepada Tengku Rohaya, Nurul Rasyidah Mat Alusaini, 18, mewakili ibunya berterima kasih di atas keprihatinan Alumni 4B Terengganu yang menyifatkan bantuan itu sebagai suatu yang amat bermakna. “E

makya tidak boleh bercakap banyak sejak diserang angin ahmar awal tahun ini. saya tahu dia sangat suka. Rumah agak sempit dan beberapa orang adik-beradik kini tinggal bersama nenek," ujarnya.

 

Dato' JJ giat kempen BN di Kajang.

BINCANG...Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari sedang diberi taklimat mengenai kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Kajang oleh seorang petugas BN di Bilik Gerakan Barisan Nasional Bandar Kajang di Kajang, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Cawangan Bandar Kajang, Adzhaliza Md.Nor (kiri)

Dato' Jailani atau lebih dikenali dengan panggilan Dato' JJ itu adalah Ketua Kontinjen UMNO Terengganu membantu BN di Kajang. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu merancang beberapa strategi kempen bersama kira-kira 40 orang rombongan UMNO ke PRK itu bagi membantu jentera kempen.

Adzhaliza memberitahu sesuatu kepada Jailani
Bilik Gerakan Barisan Nasional Bandar Kajang yang terletak di Jalan Metro Evenue itu adalah markas UMNO Bahagian Bandar Kajang. Rombongan UMNO dari Terengganu berkumpul di situ bagi merancang beberapa strategi kempen termasuklah berkunjung dari rumah ke rumah bertemu pengundi.

Antara yang pernah hadir di bilik gerakan itu ialah Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, Setiausaha BN Terengganu, Komsa Chik dan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Fatimah Hamat.

Dalam pada itu, beberapa ceramah politik oleh kedua parti bertanding untuk kempen PRK itu diadakan di beberapa tempat di Bandar Kajang.-Aminudin Ismail.
Sempat bergambar kenangan dengan penduduk Sungai Jelok.

Dato' JJ ketika bersalaman dengan seorang penduduk Sungai Jelok.

 

550 terima BR1M di Langkap.

Orang-ramai berbaris terima Br1M
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 550 penduduk di kawasan Langkap menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Tong, Setiu, kelmarin.

Bantuan berjumlah RM450 dan RM300 setiap seorang itu diberi selepas sehari sebelum bantuan yang berjumlah RM650 diberi kepada penduduk di majlis yang diadakan di Kampung Rahmat.

Turut hadir pada majlis penyampain BR1M itu ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Iskandar bersama penerima BR1M.
Sabri mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan pusat kerana meneruskan pemberian BR1M pada tahun ini dan beliau mengharapkan penduduk Langkap yang menerima bantuan itu memanfaatkan bantuan itu dengan membelanjakan wang itu dengan baik.

Dalam pada itu, Iskandar dalam ucapannya mahu orang ramai memahami punca kenaikan harga minyak dan manfaatnya kepada penduduk dengan kenaikan harga minyak berikutan penurunan subsidi yang membawa kepada pemberian BR1M.


Penduduk mendengar ucapan Iskandar.

 

Sokong BN elak kenaikan ketara harga rumah di Kajang- S/U Umno Bandar Kajang.

Sazlan..fikirlah sangat-sangat.
Oleh: Aminudin Ismail.

PENDUDUK Kajang perlu memilih BN pada Pilihanraya Kecil Dun itu pada 23hb ini sekiranya mereka mahu kenaikan ketara hartanah, harga rumah dan cukai pintu di Kajang tidak berlaku bagi memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan kecil mampu memiliki rumah sendiri, kata Mohd Sazlan.

Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Kajang, Mohd Sazlan Saaban berkata, kenaikan cukai pintu, hartanah dan harga rumah itu membeban penduduk Kajang terutamanya mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana.

"Sekarang ini kenaikan cukai pintu, hartanah dan harga rumah mendadak sangat. Harga rumah di Kajang ini terlalu mahal terlalu tinggi. Harga sebuah flat biasa yang saya tahu ialah atas RM80-RM90 ribu yang sememangnya tidak mampu dimiliki oleh golongan rendah yang memerlukan rumah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk Kajang perlu menukar kerajaan sekarang dengan memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional supaya segala bebanan yang ditanggung penduduk Kajang sekarang dapat dikurangkan.

PM kita Dato' Seri Najib sentiasa menyebut tentang kurangkan bebanan rakyat dan saya yakin sekiranya BN kembali memerintah Kajang, bebanan ini dapat dikurangkan supaya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mampu hidup dengan sempurna di Kajang ini," katanya.

Dalam pada itu, Sazlan berkata, kempen BN di Bandar Kajang sehingga kini berjalan lancar dan katanya, UMNO Bandar Kajang akan melipatgandakan usaha dalam masa terdekat ini supaya semua agenda kempen akan dapat dilaksanakan.

 

14 March 2014

Wanita UMNO Terengganu bantu Kempen BN di Kajang.

Kenangan..Wanita UMNO Terengganu bergambar di bilik gerakan BN di Bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KAJANG: Bagi mempastikan Barisan Nasional(BN) kembali mentadbir Kajang, 10 Wanita UMNO Terengganu bersama 10 Pemuda dan 10  Puteri UMNO berkampung sejak sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari pengundian 23hb Mac ini bagi membantu jentera kempen BN dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang. 

Ketika ditemui di Bilik Gerakan BN di Bandar Kajang, di sini, hari ini, Ketua Wanita UMNO Bahagian Dungun, Zainun Bakar, berkata semua Ketua Wanita Bahagian hadir secara bergilir-gilir di Kajang termasuklah beberapa ahli dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya ialah mengesan pengundi berdaftar.

"Wanita UMNO Dungun seramai tujuh orang tinggal di sini sehingga tamat tempoh berkempen manakala ketua-ketua wanita bersama beberapa ahli datang secara bergilir di Kajang ini.

Zainun (kiri) di rumah seorang pengundi.
"Antara aktiviti yang sudah kita laksanakan ialah berkempen dari rumah ke rumah dengan dibantu oleh UMNO Bandar Kajang dengan menjelaskan keadaan sebenar mengenai beberapa perkara yang menjadi isu sekarang ini," katanya yang juga Bendahari Wanita UMNO Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Zainun berkata, rombongan itu menghadapi sedikit kesukaran untuk bertemu pengundi PRK itu kerana kebanyakan penduduk tiada di rumah kerana bekerja.

"Kita mengharapkan sasaran kita untuk mengunjungi beberapa rumah lagi akan tercapai," katanya sambil mengharapkan penduduk Kajang membuat pilihan yang bijak dengan memilih kerajaan Barisan Nasional demi agama bangsa dan negara.

Rombongan wanita itu diketuai Ketua Wanita Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamad.

Ketua Rombongan ialah Datuk Jailani Johari, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Turut hadir ialah Adun Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman dan Setiausaha Barisan Nasional negeri, Komsa Chik serta 10 kakitangan UMNO negeri.

 

Staf Jabatan Perhutanan yang hilang ditemui.

Oleh: Aminudin Ismail.

KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Wan Saidi Amri Jusoh, 35, ditemui dalam keadaan selamat di Sungai Tongkat, Hulu Chalok, kira-kira jam 11 pagi ini.

Seorang anggota JPAM yang terbabit dengan operasi mencari mangsa, ketika dihubungi Teganukita memberitahu Wan Saidi ditemui oleh sekumpulan pemancing yang datang memancing di sungai berkenaan.

"Selepas menemui kumpulan pemancing itu, Wan Saidi terus menghubungi rakannya dengan mengunakan telefon milik seorang pemancing dan kini anggota penyelamat sedang membawa keluar mangsa yang agak sedikit keletihan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Abdul Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mangsa sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Semalam Teganukita melaporkan bahawa Wan Saidi hilang di hutan simpan Kampung Payong, Langkap, Setiu kira-kira jam 2 petang kelmarin, selepas terpisah dengan tiga lagi rakannya ketika membuat bancian balak di hutan simpan itu.

Usaha mencarinya dilakukan oleh PDRM, Bomba, JPAM, Rela dan beberapa kakitangan Jabatan Perhutanan serta beberapa penduduk kampung.

 

Nelayan bantu cari pesawat MH370

Bot-bot nelayan di Dungun turut mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

 Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Dungun Mohd Abdul Ghani berkata lokasi yang menjadi tumpuan ialah kawasan sekitar perairan Terengganu.

 "Kita menggunakan peralatan sonar untuk mengesan kapal terbang jika ia jatuh di laut," katanya .

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berkata banyak bot nelayan Dungun sekarang ini menangkap ikan di kawasan berkenaan.

 Katanya beliau sendiri mempunyai beberapa buah bot yang beroperasi di kawasan laut dalam dan turut terlibat membantu mengesan pesawat berkenaan.

 "Kita gunakan sonar iaitu peralatan untuk mengesan ikan bagi mengesan kapal terbang berkenaan," katanya menambah golongan nelayan turut bersimpati dengan nasib penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

 

Penonton dilarang timbulkan provokasi

Polis Terengganu memberi amaran kepada penyokong agar tidak menimbulkan provokasi melampau sepanjang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok (Sabtu).

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencetuskan kekecohan pada perlawanan tersebut.

 "Saya juga mengingatkan penyokong agar tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata tajam ke dalam stadium.

"Kami akan melakukan pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton di pintu masuk stadium," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

 Bagi memastikan kelancaran perlawanan tersebut, Jamshah berkata sebanyak 250 anggota polis daripada pelbagai cawangan akan ditempatkan di luar dan dalam stadium bagi mengawal keselamatan penyokong.

 

13 March 2014

Jadikan anak berjaya dalam pelajaran dan bermoral- Dato' Sabri.

Sabri ketika berucap merasmikan mesyuarat.
Oleh: Aminudin Ismail.

IBUBAPA perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai akhlak yang baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor berkata, tugas mendidik anak-anak bukan terletak di bahu guru semata-mata tetapi ibubapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mempastikan anak-anak mereka berjaya pada masa depan.

“Kadang-kadang guru tidak mampu untuk mendisiplinkan anak-anak, menjadikan anak-anak kita anak yang berakhlak.

“Untuk menjadikan anak-anak kita berjaya dalam akademik, guru boleh melakukannya tetapi kadang-kadang guru tidak boleh menjadikan anak kita anak yang berakhlak,” katanya.

Justeru itu, katanya ibubapalah yang bertanggungjawab untuk mempastikan akhlak anak-anak mereka baik dan tidak meletakan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

Sebahagian ibubapa yang hadir.
“Tanggungjawab selepas pulang dari sekolah adalah tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak-anak supaya menjadikan anak yang berdisiplin dan anak yang berakhlak serta anak yang bermoral.

“Tentulah kita tidak mahu anak kita yang cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak bermoral, apa yang kita mahu ialah anak kita berjaya dalam pelajaran dan mempunyai akhlak yang baik,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Agong PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu, hari ini.

Seramai kira-kira 200 ibubapa hadir pada mesyuarat itu yang turut mengadakan pemilihan untuk melantik jawatankuasa yang baru. Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Azmi Nazir.
Sabri menyampaikan hadiah cabutan bertuah.

Pelajar turut hadir mendengar ucapan Sabri

Azmi..mahu SMK Pelong cemerlang.

Antara jemputan yang hadir.

Sabri mencabut nombor bertuah.

Pencatat mesyuarat dan pengerusi majlis.

Seorang bapa sedang meneliti agenda mesyuarat.

Sabri bersama tetamu jemputan.

Ustaz membaca doa selamat.

 

Masih ramai pesakit tidak peka terhadap tanggungjawab tunai solat fardu

Oleh: Noraini Jusoh

Ramai pesakit yang mendapat rawatan di hospital masih kurang memahami kewajipan menunaikan solat fardu walaupun segala kelengkapan disediakan pihak hospital.

Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan apabila tidak boleh bangun, tangan berbalut dengan simen dan sebagainya memberikan pelbagai alasan kerana merasakan kesakitan yang dialami menjadi halangan untuk menunaikan solat.

Pelbagai usaha dilakukan pertubuhan, agensi mahupun badan kerajaan menerusi aktiviti seperti seminar bagi membolehkan pesakit melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Untuk itu, Persatuan Pembelajaran Pascasiswazah Perubatan (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengambil insiatif menganjurkan Seminar Mukmin Profesional dengan memberi kefahaman mengenai solat kepada pengamal perubatan supaya dapat berkongsi dengan pesakit.

Pengerusi PGMES, Dr. Nujaimin Udin (gambar) berkata, seminar sehari itu membincangkan topik mengenai matlamat kerja dalam islam, kerja sebagai ibadah serta kecemerlangan budaya kerja islam.

Katanya, seminar sempena Mesyuarat Agung Tahunan PGMES yang bertemakan ‘Mukmin Profesional’ itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pengamal perubatan supaya lebih peka terhadap tanggungjawab memberi pemahaman kepada pesakit mengenai kewajipan menunaikan solat fardu.

 “Sebagai pengamal perubatan yang peka terhadap kewajipan sebagai seorang muslim, telah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha memberi peringatan dan dakwah kepada pesakit khususnya untuk menunaikan solat lima waktu ketika mereka ditahan di wad hospital.

“Seminar Mukmin Profesional merupakan salah satu usaha pihak persatuan untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Seminar Mukmin Profesional sempena Mesyuarat Agung Tahunan PGMES, HSNZ di Hotel Permai, hari ini.

Seminar tersebut telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Haji Muhammad Pehimi Yusof .

Menurut Dr. Junaidi yang juga Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri HSNZ, melalui kajian yang dibuat pihaknya awal tahun ini, mendapati kurang daripada 20 peratus pesakit solat semasa berada di wad hospital itu.