Oleh: Suriati Ali
Anak kelahiran Kampung Air Sejuk, Setiu, Mohamad Amirul Shah Alias, muncul pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri dengan pencapaian 11 A+, sekaligus memecah rekod Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit yang memperoleh A+ atau Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran diambil dalam peperiksaan berkenaan.
Mengakui tidak mempunyai rahsia tertentu, sebaliknya menurut Mohamad Amirul Shah, belajar secara berkumpulan dan sering memulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum memulakan pembelajaran antara amalan yang dilakukannya.
“Saya selalu meletakkan pendirian, di mana untuk seeorang itu berjaya adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh dan saya juga seperti mana pelajar-pelajar yang lain sering belajar secara berkumpulan.
“Ini kerana, melalui cara belajar sebegini orang kurang cerdik akan berkongsi ilmu dengan dengan orang yang cerdik, di samping menjadikan kejayaan pelajar terdahulu sebagai perangsang untuk kita berjaya,” kata anak bongsu daripada lapan beradik ini.
Katanya lagi, dia juga tidak meletakkan sebarang tempoh jam tertentu untuk belajar sendiri, sebaliknya sentiasa fokus ketika guru mengajar di dalam kelas.
“Malah, saya juga berpendapat rehat yang mencukupi juga penting bagi seseorang pelajar terutamanya dalam tempoh menghampiri peperiksaan,” katanya yang memperoleh keputusan 4A+ 5A dan 2A- dalam peperiksaan percubaan sebelum ini.
Menurut anak kepada pasangan Alias Che Soh, 65, dan Mek Eshah Che Muda, 58, ini lagi, kejayaan yang diraihnya itu mungkin tidak akan diperoleh tanpa adanya sokongan dan dokongan daripada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan keluarga.
“Kejayaan ini juga hasil daripada semua pihak dan saya ingin berterima kasih kepada semua terutamanya kedua ibu bapa, guru-guru dan rakan yang banyak membantu hingga saya mencapai kejayaan seperti mana hari ini (semalam),” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Mohamad Amirul Shah mengakui bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Sementara itu, ibunya, Mek Eshah mengakui Mohamad Amirul Shah seorang anak yang sentiasa mendengar kata dan gigih berusaha.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini (kejayaan Mohamad Amirul Shah) dan ternyata segala usaha dan penat lelahnya belajar selama ini terbalas dengan memperoleh keputusan yang cemerlang.
“Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak saya, di samping ingin melihat dia berjaya di dunia dan di akhirat,” kata surirumah itu