Oleh: Suriati Ali
“Tiada perkataan mampu diluahkan melainkan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana saya dan pasangan, Saodah Mat Amin, 64, turut terpilih menerima insentif perkahwinan.
“Wang yang diterima kami sebanyak RM4,000 ini akan digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan masa depan, selain menambahkan duit simpanan dalam Bank Tabung Haji,” penerima, Jusoh Ismail, 70.
Jusoh berasal dari Gemuroh dan bekerja sendiri antara 93 pasangan yang hadir menerima insentif itu pada Majlis Perasmian Karnival Pembangunan Keluarga & Masyarakat 2014, di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Majlis itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah. Hadir sama, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Pada majlis sama, Dato’ Mazlan turut menyampaikan pinjman modal jaya diri ibu tunggal, Insuran takaful berkumpulan ibu/bapa tunggal, bantuan persatuan ibu/ bapa tunggal dan bantuan pengurusan kelab warga emas.
Jusoh turut memberitahu, dia bertemu jodoh dengan isteri, hasil risikan kawan-kawan dan atas persetujuan anak-anak.
“Saya yang kematian isteri dua tahun lalu, bersetuju untuk disatukan dengan Saodah, kerana tertarik dengan budi pekerti, selain mengetahui keikhlasannya menjaga makan minum saya,” katanya.
Manakala Saodah yang kematian suami pada 2012 pula berkata, makcik terharu kerana ada pihak yang sudi memberikan kami RM4,000 atas perkahwinan kali kedua ini.
“Wang ini cukup berharga buat kami untuk membeli kelengkapan dapur, kerana sepanjang setahun usia perkahwinan, hanya bergantung kepada suami yang berkerja kampung dan sedikit sumbangan daripada anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Mazlan dalam ucapannya memberitahu kerajaan negeri melalui YPK memperuntukkan RM600,000 melibatkan 300 ibu atau bapa tunggal setahun, sebagai insentif perkahwinan.
“Setiap ibu dan bapa tunggal akan menerima insentif perkahwinan sebanyak RM2,000 seorang dan jika ibu tunggal bertemu jodoh dengan bapa tunggal mereka akan menerima RM4,000,” katanya.