Halaman

27 May 2018

Muaz Force Sumbang Pakaian Raya Kepada Kakitangan

Ahmad Samsuri menyarungkan baju melayu kepada kepada seorang kanak-kanak sempena Majlis Sumbangan Pakaian Raya Di Mydin Mall Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan, Muaz Force Sdn Bhd mengambil inisiatif membantu kakitangannya yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sumbangan berbentuk baucar pakaian raya sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. 

Terengganu Mahu Rampas Juara SUKMA 2018


Terengganu akan memastikan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018 di Perak pada September ini menjadi milik mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengatur persiapan serta perancangan rapi bagi menghadapi temasya tidak lama lagi itu. 

Katanya, Terengganu yang sebelum ini gah dalam persada sukan tanah air sudah dua kali gagal mempertahankan kejuaraan SUKMA pada temasya terdahulu. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri (tengah berbaju hijau) bersama Wan Sukairi turun padang memberi sokongan bersama tetamu kenamaan lain bagi menyaksikan bola sepak akhir Liga Juara-Juara, Liverpool menentang Real Madrid dalam Program 'Meh Tengok Bola' di Gelanggang Budaya Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, awal pagi tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kali terakhir Terengganu muncul juara sukan dwitahunan itu adalah pada 2012, selepas bergelar juara bertahan sejak edisi 2008 lagi.

26 May 2018

Kelek JB Prihatin Sedia Juadah Sahur Petugas Malam

Adun Ajil, Maliaman Kassim menyampaikan sumbangan juadah untuk bersahur kepada kakitangan Hospital Hulu Terengganu sempena Program Singgah Sahur anjuran Kelek JB semalam.

Di saat orang lain lena dibuai mimpi, ada insan-insan yang sedang gigih melaksanakan tanggungjawab demi menjaga kesejahteraan masyarakat pada waktu malam 'petugas malam'. 

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan itu sekumpulan anak muda daripada Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek JB) yang aktif dalam aktiviti luar menyediakan juadah untuk bersahur.

Presidennya, Mohamad Hanif Mat Rasat berkata, program ini dilaksanakan bagi menyantuni warga hospital yang terdiri dari para doktor, warga perubatan, jururawat dan pegawai keselamatan yang bertugas sepanjang malam di wad. 

"Mungkin pada masa kita tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar demi menjaga kesihatan masyarakat. 

"Kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas. 

"Sumbangan sekecil ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan dan membuatkan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Sahur Muhibah Ramadan Anjuran Kelek JB, di Hospital Hulu Terengganu, malam tadi. 

25 May 2018

Kerajaan Negeri Sasar Jadikan Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa




Kerajaan negeri mensasarkan untuk menjadikan Terengganu sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Batik Dunia sekaligus membangunkan industri pelancongan dan sokongan pelancongan di negeri ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu mempunyai banyak kapasiti yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan. 

"Sekarang ini, negara kita yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia termasuk dari Timur Tengah tetapi sebahagian besar tidak berkunjung ke negeri ini. 

"Jadi tumpuan kita sekarang ini adalah kita menarik mereka untuk datang ke negeri Terengganu,"ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar dan Porfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri bersama pengiat-pengiat industri pelancongan di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam. 


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman. Katanya, Terengganu sepatutnya menjadi destinasi pilihan sekiranya pelancong ingin melihat keindahan alam semulajadi dan seni warisan budaya. 

24 May 2018

Pelajar Madrasah Moden Besut Berbuka Bersama Keluarga Di Padang Sekolah



Seramai 500 pelajar Madrasah Moden Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Kampung Padang Landak, Jertih memecah tradisi apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga di padang sekolah berkenaan, kelmarin. 

Pengetuanya,Jusoh Mamat berkata, pihaknya mengadakan majlis itu bertujuan bagi merapatkan hubungan kekeluargan antara pelajar, ibu bapa dan pengurusan madrasah berkenaan pada bulan yang penuh rahmat dan keberkatan itu. 

Katanya, ibu bapa boleh hadir menemani anak dan berbuka puasa bersama-sama pada setiap Sabtu untuk memeriahkan program berkenaan. 

Beliau berkata, program pertama kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada keluarga yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk bertemu mata anak-anak selain berbuka puasa bersama ahli keluarga. 


“Alhamdulilah majlis yang diadakan petang semalam berjalan lancar dan keadaan cuaca baik menyebabkan program itu dapat diadakan di padang sekolah,” katanya. 

TDM Rekod RM448.8 Juta Hasil Pendapatan 2017




Kumpulan TDM Berhad kembali mencatatkan perkembangan positif dengan merekodkan hasil pendapatan sebanyak RM448.8 juta bagi kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY2017), peningkatan 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM428.5 juta.

Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, keuntungan sebelum cukai Kumpulan (PBT) pula melonjak 49 peratus kepada RM52.3 juta untuk (FY2017) daripada RM35.1 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

“Peningkatan dalam prestasi kewangan didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan juga juala isirong yang lebih tinggi. 

23 May 2018

Penjawat Awam Perlu Jaga Integriti Masa



Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti masa dan bukannya bersikap acuh tidak acuh sewaktu dalam tempoh lapan jam bekerja. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, berkata budaya itu tidak elok diamalkan oleh penjawat awam kerana mereka diamanahkan untuk bekerja dan tempoh itu sewajarnya dimanfaatkan dengan tugas-tugas yang diberi. 

Katanya, setiap tugasan adalah amanah daripada Allah SWT, oleh itu, mereka perlu menjalankan tugas sebaik mungkin kerana setiap masa bekerja akan dibayar mengikut kadar penjawatan masing-masing. 


“Untuk mendapatkan keberkatannya, setiap penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin, tidak bersikap seumpama biskut `chipsmore’ atau dengan kata lain sekejap ada, sekejap hilang. 

“Saya mengakui, masih ada penjawat awam di mana-mana jabatan di negeri ini masih bersikap acuh tidak acuh dalam tugasan yang diberi selain suka mencuri masa dengan melakukan kerja tidak berfaedah ,” katanya. 

Bantuan Perayaan Aidilfitri 2018 Dibuka Mulai Esok


Permohonan Bantuan Perayaan Aidilfitri 2018 secara dalam talian akan dibuka kepada mereka yang berkelayakan mulai esok (24 Mei) sehingga 31 Mei depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata mana-mana individu yang telah membuat permohonan melalui kerajaan sebelum ini boleh digunapakai dan tidak perlu membuat permohonan baharu. 

Katanya, permohonan dalam tempoh seminggu itu, hanya dibuka kepada mereka yang mahu mengemaskini maklumat dan membuat permohonan baru. 

Boleh melayari laman sesawang iaitu http://idana.terengganu.gov.my “Syarat kelayakan juga masih sama iaitu pemohon yang berpendapatan ketua isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan serta mestilah rakyat Terengganu dan perlu mendaftar sebagai pengundi. 

Kerajaan Negeri Bantu Mangsa Kebakaran, Bina Dua Rumah Baharu


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan TDM Berhad dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri membina dua buah rumah baharu untuk keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar, malam tadi. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hampir RM100,000 diperuntukkan bagi pembinaan dua buah rumah itu yang bakal disiapkan sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri. 

“Agensi kerajaan negeri iaitu Maidam dan juga anak syarikat kerajaan negeri TDM Berhad bertanggungjawab mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini. 


“Kita mengharapkan supaya sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu ini rumah-rumah ini mampu disiapkan dan mangka kebakaran boleh menjalani ibadah puasa di rumah baharu selepas ini dan menyambut hari raya puasa dalam keadaan yang lebih baik,’ ujarnya selepas menziarahi mangsa rumah terbakar di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu, hari ini. 

Turut sama dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim. 

Katanya, pihak Maidam akan memperuntukkan RM58,000 untuk pembinaan sebuah rumah manakala TDM Berhad dalam lingkungan RM40,000 untuk sebuah rumah lagi bagi meringankan beban keluarga tersebut. 

“Kita turut mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat untuk turut menyumbang supaya kita dapat menyiapkan dan melengkapkan lagi rumah itu dengan lebih baik.


“Pembinaan kedua-dua rumah ini juga akan dipantau dari semasa ke semasa supaya dapat disiapkan dalam tempoh yang kita jangkakan,” ujarnya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam tadi, dua rumah musnah dalam kebakaran itu, bagaimanapun kesemua lima belas mangsa termasuk warga emas 73 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Kerja Untuk Rakyat, Lipatgandakan Khidmat Untuk Mereka - MB



Penjawat awam di negeri ini dibawah pentadbiran baharu diseru meneruskan kerja untuk rakyat dan melipatgandakan khidmat untuk mereka. Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, adalah menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang seharusnya dilakukan secara kerjasama.

 “Masa yang ada di saat ini ialah masa untuk kita meneruskan kerja. Saya mengajak seluruh warga kerja Wisma Darul Iman (WDI) untuk kita memulakan kerja besar untuk rakyat dan melipatgandakan khidmat untuk mereka.

 "Tanggungjawab melaksanakan kerja yang berat ini hanya boleh dilakukan secara bersama dan hubungan yang erat diantara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan yang menjadi jentera bagi menggerakkan negeri yang kita dicintai untuk mencapai kemakmuran,” ujarnya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Warga Kerja WDI, di Dewan Besar WDI, hari ini.


 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohamad Wan Ibrahim, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Zainal Abidin Hussin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.